Bab 18: Haydar

294 50 38
                                    

Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

---

24 Disember 2013

+963535577691: Assalamualaikum Ruslan. Ini abang. Abang minta maaf sebab tinggalkan kamu semua tanpa apa-apa pesan. Abang sekarang ni di Syria. Ruslan apa khabar?

+963535577691: Ruslan?

+963535577691: Mesti Ruslan marah dan kecewa pada abang, kan?

---

28 Disember 2013

+963535577691: Assalamualaikum. Sihat tak? Lama tak dengar khabar kamu.)) Sekarang di Ufa dah malam, kan? Abang rindukan kamu semua di Ufa ....

---

30 Disember 2013

+963535577691: Assalamualaikum Ruslan. Cuaca hari ini cerah walaupun sejuk. Ruslan dah makan? Sihat tak? Mama masak apa pagi ni?

---

2 Januari 2014

+963535577691: Assalamualaikum. Abang tahu Ruslan masih marah pada abang. Maafkan abang sebab buat keputusan tanpa beritahu Ruslan.

+963535577691: Bila Ruslan tak balas mesej abang macam ni, abang rasa sedih. ((

+963535577691: Cuaca hari ni mendung. Seperti mendungnya hati abang sekarang. +963535577691: Balaslah mesej abang ni. Susah tau nak dapatkan talian internet di sini. ((

---

8 Januari 2014

+963535577691: Assalamualaikum. Walaupun abang tahu Ruslan tak akan balas mesej abang, tapi, abang masih nak taip mesej ni. Ruslan dah makan? Jangan tak makan tengah hari pula walaupun sibuk di hospital. ))

+963535577691: Hari ini cuaca sejuk. Tapi abang rasa musim dingin di Rusia lebih sejuk berbanding Syria. Ingat tak dulu kita selalu berlawan buat orang salji di laman rumah? Rasa macam dah lama sangat masa tu berlalu.

+963535577691: Abang sayang dan rindu kamu semua. Balaslah mesej abang ni.

---

"Abang tipu, kan? Kalau abang sayang kami, abang takkan buat macam ni," ujar Ruslan, sebal. Perbuatan Aslan mengundang tangisan ibu dan kekecewaan ayah. Itu sudah cukup menukar rasa kasihnya pada si abang kepada kebencian.

"Penipu!" Ruslan menuduh sambil memadam satu-persatu mesej yang dikirimkan Aslan.

*****

Latakia, Syria

Cuaca hari itu cerah. Namun suhu rendah bulan Januari di Syria memaksa penduduknya memakai berlapis-lapis pakaian bagi menghangatkan tubuh. Abu Bakar dan Abu Usman turut tidak terkecuali. Mereka berdua memakai tiga lapis baju dengan jaket camo di lapisan paling luar.

Abu Bakar memasukkan telefon pintar ke dalam poket seluar. Sebentar tadi, dia baru sahaja menghantar mesej kepada Ruslan. Dalam hati dia berharap Ruslan akan membalas mesejnya. Abu Bakar menoleh sebelah. Abu Usman sedang khusyuk menaip sesuatu pada skrin telefon pintar.

'Lama juga dia ni buka akaun VK,' bisik hati Abu Bakar.

Jalan berbatu yang mereka lalui ketika itu tidak terlalu luas. Dua kereta dari arah bertentangan tidak dapat melalui jalan tersebut pada masa yang sama. Kiri dan kanan jalan pula dipenuhi dengan semak samun. Akan tetapi, tiada usaha dilakukan untuk membersihkan kawasan semak samun di sepanjang jalan kerana ia sendiri berfungsi sebagai camouflage untuk menyembunyikan kedudukan markas mereka daripada bidikan senjata tentera rejim.

FREESIAWhere stories live. Discover now