Bab 34: Sergey

224 42 35
                                    


Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

Anastasia dan Natalya duduk menonton televisyen di ruang tamu rumah. Telenovela 'Bednaya Nastya' sedang ke udara di saluran STS. Natalya yang merupakan penggemar telenovela tersebut, menonton dengan penuh khusyuk dan minat. Sesekali wanita 54 tahun itu mengetap gigi menahan geram apabila heroin telenovela, Anna, dibuli oleh watak antagonis.

Anastasia yang berada di situ sekadar menemani ibunya. Fikirannya melayang pada perbualannya dengan pak cik Ivan lima hari lalu. Dia masih memikir cara terbaik untuk memberitahu ibunya akan hal itu. Di pasti ibunya tidak mahu datang ke Orenburg. Walau untuk melawat neneknya sekali pun. Natalya pernah memberitahu yang dia sangat tidak menyukai keluarga sebelah bapa Anastasia kerana meminggirkan mereka, membiarkan hidup mereka terumbang-ambing selepas kematian suaminya, Yuri.

Tapi menurut pak cik Ivan, nenek dan datuk Anastasia selalu mengirim surat kepada mereka namun tidak pernah dibalas. Adakah Ivan sengaja mereka cerita untuk meraih simpati kerana ibunya sedang tenat? Jika benar, pak ciknya itu sememangnya tidak tahu malu. Bukan sahaja tidak mahu mengaku salah kerana mengabaikan mereka, Ivan malah sanggup membuat cerita kononnya mereka yang bersalah kerana tidak membalas pertanyaan khabar dia dan ibu bapanya.

Sedang Anastasia sibuk melayani perasaan, telefonnya berdering. Panggilan segera diangkat, tidak mahu bunyi deringan mengganggu konsentrasi ibunya yang khusyuk menonton telenovela.

"Hello," sapa Anastasia.

"Hello. Nastya, apa khabar? Ini datuk."

Anastasia terdiam. Dia mengerling ibunya yang kini mengesat air mata. Gadis rambut perang itu bangun lalu berlari masuk ke dapur.

"Hello Nastya. Nastya masih di sana?" Datuk Anastasia, Sergey, menyoal.

"Ya, ya. Saya di sini. Datuk apa khabar?" soal Anastasia sedikit tergagap. Dia langsung tidak menyangka akan menerima panggilan daripada lelaki tua itu setelah sekian lama.

"Datuk khabar baik. Nastya di mana ni? Datuk mengganggu ke?"

"Saya di rumah. Tak mengganggu pun," jawab Anastasia.

"Maaf sebab tiba-tiba telefon kamu. Datuk ada perkara nak bincang dengan kamu."

"Datuk nak saya dan mama datang ke Orenburg untuk lawat nenek, kan?" teka Anastasia.

Sergey menghela nafas.

"Ya. Itupun kalau Nastya dan Natasha* sudi datang melawat. Nenek tenat sekarang. Makan pun kena disuapkan."

"Saya tak dapat datang. Mama pasti tak setuju." Pantas Anastasia membalas.

"Nast -"

Kata-kata Sergey dipintas. "Datuk dah abaikan kami sejak berbelas tahun. Tanya khabar pun tak. Kenapa baru sekarang cari kami balik?"

Terdengar keluhan berat Sergey di hujung talian. "Nastya ... kamu masih tak tahu tentang 'hal itu', kan?"

Anastasia mengerut dahi. "Hal itu?"

"Masalah mama dan papa kamu sebelum papa kamu meninggal di Chechnya."

Tergamam Anastasia. Hatinya terkejut bukan kepalang mendengar ayat tersebut.

Chechnya? Sejak bila papanya meninggal di Chechnya? Bukankah papanya meninggal dalam pertempuran dengan pengganas di Dagestan?

FREESIAWhere stories live. Discover now