Bab 20: Pertemuan

317 53 74
                                    

Bukit Indah, Johor, Malaysia

Zafirah menatal satu-persatu mesej yang terpampang pada skrin laptop. Segala mesej yang dipintas Adam di Syria kini boleh diakses dengan mudah menggunakan ZARA versi web. Hampir dua minggu dia mengambil masa untuk membangunkan laman web ZARA.

Reka bentuk ZARA oleh Adam sangat tersusun dan mudah diintegrasi dengan bahasa pengaturcaraan lain. Zafirah hanya perlu menghantar permintaan kepada salah satu API* ZARA, dan API tersebut akan memproses permintaannya dan menghantar sambutan yang terdiri daripada mesej-mesej yang diambil daripada pangkalan data. Selain itu, dia juga boleh memadamkan mesej yang tidak berkenaan.

Zafirah tahu apa yang dilakukannya ini ialah satu jenayah siber kerana menceroboh privasi orang lain melalui pengintipan. Dia tertawa perlahan apabila teringatkan cadangan Adam yang menyuruhnya menjadi polis. Belum jadi polis, dia sudah melanggar undang-undang. Ini kan pula bila dia sudah menjadi polis nanti.

Walaupun Zafirah menyukai senjata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menyertai pasukan yang menjaga keamanan negara.

Sebelum mengenali Adam, Zafirah tidak tahu apa yang ingin dia lakukan dalam hidupnya. Hidupnya sekadar mengikut arus yang telah ditetapkan. Bangun, ke sekolah, belajar, kelas shotokan, makan, dan tidur. Rutin yang sama berulang setiap hari.

Zafirah sendiri sudah naik jemu. Dia tidak tahu adanya cara lain untuk mengisi hidupnya yang terasa kosong. Apabila Adam menghulur sebuah persahabatan kepadanya, dunianya perlahan berubah.

Adam memberitahunya yang mengejar impian ialah sesuatu yang menguja dan membahagiakan. Kata Adam, jika Zafirah masih belum menemukan impiannya, mahukah Zafirah mengejar impian yang sama sepertinya?

Tanpa ragu, Zafirah memilih untuk berdiri di atas landasan yang sama dengan Adam. Impian Adam menjadi impiannya. Matlamat Adam menjadi matlamatnya.

Apa yang disukai Adam, Zafirah turut menyukainya. Menembak, pengaturcaraan, roket, kapal angkasa, kedai buku, langit malam, taman tema, dan patung matryoshka. Hari-hari yang berlalu tidak lagi kosong. Saban hari Zafirah menanti mesej daripada Adam dengan rasa teruja. Kadang kala mereka saling berbalas mesej sampai tertidur di atas meja belajar masing-masing.

Siapa sangka pertemuan mereka berdua lima tahun lalu di Kazakhstan bakal mencorak diri Zafirah yang sekarang. Ketika itu, dia menyertai rombongan pelajar yang terpilih untuk melihat roket buatan Rusia melepaskan satelit milik Malaysia di Kosmodrom Baikonur. Zafirah dan rombongan dari Malaysia melihat acara pelancaran tersebut beberapa kilometer dari lokasi pelancaran.

Adam turut berada di lokasi yang sama dengan rombongan pelajar Malaysia dan beberapa negara lain. Sudah lama dia ingin menyaksikan pelancaran roket dari jarak dekat. Namun bukannya mudah ingin memasuki Baikonur. Pelawat asing memerlukan pra-persetujuan daripada pihak berkuasa Rusia dan Kosmodrom untuk mengunjungi bandar Baikonur. Nasib baik pak ciknya merupakan salah seorang arkitek perisian yang bertugas di Kosmodrom Baikonur dan boleh menjamin keberadaan Adam di Baikonur.

*****

Jun 2009

Cuaca dingin dan berangin pagi itu mendatangkan kesyukuran buat rombongan pelajar dari Malaysia yang bakal menyaksikan detik bersejarah saat satelit milik Malaysia berlepas ke angkasa. Mereka berkumpul bersebelahan khemah yang telah disediakan beberapa kilometer dari tapak pelancaran. Taklimat ringkas diberikan oleh pegawai pengiring berkenaan kepentingan satelit tersebut kepada Malaysia. Mereka juga dinasihatkan untuk menjaga kelakuan masing-masing memandangkan bukan rombongan mereka sahaja yang berada di tapak khas itu. Zafirah mendengar dengan teliti sambil mencatat maklumat di dalam buku nota kecilnya.

FREESIAWhere stories live. Discover now