BEG pakaian yang berada di atas lantai dicapai.
Mereka mula melangkah keluar dari restoran.
"Hang nak pi mana ni?" soal Luthfi sambil mengemaskan pegangan pada beg pakaian.
"Cameron Highland," jawab Fatih senada tanpa memandang wajah sahabatnya. Jam di tangan kiri dikerling. Awal lagi.
Langkah Fatih diekori. Bahu sahabatnya ditepuk perlahan. Sebaik sahaja Fatih berpaling ke arahnya, wajah serius ditayangkan.
"Cameron je hang mampu lari?" soal Luthfi sinis seiring dengan langkah mereka menuju ke kereta.
"Siapa kata aku lari? Kita nak pi naik kereta, kan?" balas Fatih.
"Aku tanya betul-betul la ngong. Hang nak pi situ aja ka?" tanya Luthfi.
"Awat? Ada masalah ka kalau aku nak pi sana?" soal Fatih kembali sebaik sahaja mereka betul-betul berdiri di sisi kereta.
Pintu kereta dikuak namun dia masih tercegat berdiri di sisi kereta. Tangan kanan berpaut pada bumbung kereta. Matanya tertumpu pada kelibat Luthfi yang sedang menyimpan beg pakaian di tempat duduk belakang.
"Kalau aku nak lari, aku dah sampai kat London dah." Pintu kereta ditutup. Luthfi beralih ke tempat duduk penumpang, turut berdiri di sisi kereta.
"Sure orang tak boleh cari. Hang tu, nak kata tak dak duit, ada. Tapi... kedekut nak mampus!" Tawa Luthfi meledak.
Mereka memboloskan diri masuk ke dalam kereta.
Sah, memang nak kena tikam bertubi-tubi mamat ni. Desis hati Fatih. "Buat apa nak berhabis duit pi sana?"
"Huh?" tanya Luthfi.
"Dekat Malaysia pun ada tempat cantik, menenangkan dan boleh buat fikiran tenang. Lainlah kalau nak pi sana sebab ada kerja, nak belajar. Aku ni nak pi tenangkan fikiran, kat Malaysia pun banyak tempat menarik. Setakat nak tercongok kat overseas menganga ja lebih, perasan yang dah jejak kaki ke tempat orang, baik tak payah. Buat rugi duit ja," komen Fatih.
"Tapi... pi negara orang boleh tengok benda baru, faham culture orang lain. Hang pun penah pi sana, kan?" Luthfi tak mahu mengalah.
"Aku tau, aku pun pernah pi luar negara. Banyak tempat aku dah pi. Tapi, gaya hang cakap tu... 'Cameron ja hang mampu lari'... seolah-olah hang memperlekehkan tempat-tempat di Malaysia. Siapa lagi nak hargai Malaysia kalau bukan kita sendiri. Apa salahnya aku nak pi sana? Kenapa mesti pi luar negara? Hang jangan dok cakap macam tu depan aku lagi, never, never ever!" kata Fatih dengan serius, sekali gus memberi amaran.
Buat apa nak mengagung-agungkan negara luar sedangkan orang luar sibuk nak mencelah masuk dalam negara ni?
Terdiam Luthfi.
"Simpan duit untuk masa depan jugak. Ingat, hantaran la ni tinggi. 'Gayat' semua kaum Adam. Nak kahwin pakai duit banyak. Kita ni lelaki... nak jaga anak orang, jadi prepare la awal-awal..." tambah Fatih lagi.
"Yelah, hang menang lagi. Aku kalah. Peluk la stereng tu kat hang buat hadiah. Peluklah kuat-kuat. Cium sekali!" Luthfi berkata malas. Kalah mati dia hari ni... dah macam Jerman belasah Brazil semasa World Cup 2014.
Hanya senyuman sinis Fatih membalas kata-kata Luthfi. Enjin kereta dihidupkan dan kereta mula dipandu keluar dari perkarangan restoran nasi kandar itu.
"Hang ni dari dulu sampai la, usung ja gitar tu pi mana pun, tak rimas ka?" soal Luthfi setelah lama mendiamkan diri. Jari telunjuk dihalakan ke bahagian tempat duduk belakang. Mata memandang sahabatnya.
YOU ARE READING
Piano
General FictionTanpa Fatih sedar, dia telah 'membangunkan' roh-roh yang tidak aman tatkala dia menyentuh piano di dalam banglo itu. Maka, dialah yang dinanti-nantikan untuk menyudahkan melodi yang tergantung selama ini. Habiskan melodi terindah... Fatih sering dig...