BAB 3

295 18 5
                                    

Setelah lebih dari 4 jam lebih Fatih memandu, kini mereka sudah tiba di Cameron Highland dan sebuah banglo dua tingkat bercirikan ala-ala Inggeris terpampang di hadapan mata. Dia melilau memandang sekeliling sebaik sahaja keluar dari perut kereta lantas merenggangkan badan sekadar mahu menghilangkan lenguh-lenguh kerana memandu terlalu lama. Si Luthfi tu bukan nak tolong ganti pandu kereta, tapi senang lenang saja dia tidur, sampai berdengkur lepas tu mengigau! Habis dashboard kereta aku ditendang. Teruk punya perangai. Bebel Fatih di dalam hati.

Mata dipejam rapat. Nafas ditarik sedalam-dalamnya dan dilepaskan seiring dengan kelopak mata yang dibuka perlahan.

Tenang! Itu sahaja perkataan yang muncul di kotak fikiran. Berada di atas bukit... sejuk, matanya pula disajikan dengan pokok dan rumput yang menghijau. Bunga yang cantik dan berwarna-warni. Di hadapan villa ini, boleh tahan lapang. Di bahagian belakang pulak, terdapat beberapa batang pokok, nak kata hutan tebal, tak jugak.

Dadanya yang sesak dan otaknya yang kusut kini menjadi lapang. Percutian koboi kali ni pasti dia akan kenang sampai bila-bila.

"Woi," panggilan dari Luthfi mematikan lamunan Fatih.

Wajah sahabatnya dipandang sekilas sebelum tumpuannya kembali pada permandangan yang indah itu. "Apa dia?" soalnya sepatah.

"Berangan sakan. Hang berangan hang tengah nyanyi kat ladang teh ka? Tak pun dok berguling dekat rumput ni..." jari telunjuk dihalakan ke arah rumput yang terbentang luas di hadapan rumah itu. "Dah berkali-kali aku panggil, dok buat pekak pulak. Aku taboh naya."

"Aku ni sedang menikmati keindahan alam ciptaan Allah. Tadi dalam kereta aman ja bila hang lena. Tapi bila hang bukak mata, dengan sekali mulut hang bukak. Bising. Hang ni tak letih ka ha? Tak reti diam ka? Banyak cakap betul la."

"Memang aku tak reti diam. Ada masalah ka?"

"Ada masalah. Sistem pendengaran aku terganggu. Faham?"

Kata-kata Fatih dibalas dengan cebikan. Terganggu konon. Kalau aku diam nanti hang pulak yang hairan kot. Gumamnya sambil mengerling ke arah banglo yang tersergam indah di depan mata.

"Rumah siapa ni?" soal Luthfi senada sambil menjuihkan bibir ke arah rumah yang berada di hadapan mereka.

Hairan. Fatih kembali memandang Luthfi. Riak wajah sahabatnya serius. Kenapa suara mamat ni langsung tak teruja dengan apa yang terpampang di hadapan mata? Nada seolah-olah seperti tidak puas hati pun ada juga. Hai, rumah sebesar ni pun tak reti nak puas hati lagi ka? Omel Fatih di dalam hati.

"Rumah ni, rumah pak cik aku. Dia baru ja beli enam bulan lepas. Dia yang cadangkan aku datang sini. Dia cakap kalau nak tenangkan fikiran kena datang ke tempat yang jauh dari kota. Hijau, sunyi... tapi,"

"Tapi apa?"

"Aku silap besaq sebab bawak hang. Mulut hang tak reti nak diam. Lagu mana aku nak tenang kalau macam tu?" sempat lagi Fatih memerli Luthfi.

"Tak guna! Mengata aku sakan. Kalau hang nak bercuti dekat tempat yang hijau, rumah tepi bendang pun boleh, dalam kebun getah ke? Tapi kenapa Cameron?" Luthfi menyoal lagi.

"Yang hang selalu nak membantah ni pahai?" Fatih cekak pinggang dengan tangan kiri. Rambut di belakang kepala disikat dengan menggunakan jari tangan kanan.

"Bendang aku dah selalu tengok, kebun getah pun. Jadi aku pilih nak mai sini. Sini sejuk." Fatih menghela nafas pelahan.

"Cameron ni, bagi aku tempat yang cantik. Setiap kali aku datang sini, aku akan rasa teruja, aman. Beban dalam kepala ni rasa macam hilang. Tapi, ni first time aku datang ke rumah ni. Selalunya aku stay kat hotel ja..." kata Fatih bersama senyuman nipis pada bibir. Pandangannya pada setiap inci banglo dua tingkat itu. Namun sebaik sahaja memandang tingkap di bahagian tepi sebelah kanan rumah, matanya dikecilkan. Langsir itu bergerak? Takkan angin? Sedangkan di luar pun tak ada apatah lagi di dalam rumah. Erm, perasaan hang ja tu. Fatih cuba berfikir positif.

PianoWhere stories live. Discover now