Bab 3: Hijab Yang Terbuka

508 50 17
                                    

Malam itu suhu di dalam rumah Daniel agak panas. Mungkin kerana saiz biliknya yang kecil, malah tingkap di dalam biliknya itu juga ditutup rapat membuatkan Daniel merasa kehangatan bahang lalu menyukarkan matanya untuk terlelap. 

"Haishhh apasal lah panas sangat bilik ni. Macam mana lah aku boleh hidup dalam rumah ni sebelum ni." Monolog Daniel yang sudah tidak tahan lagi dengan kepanasan yang dirasa di dalam biliknya itu.

Pandangan matanya dilemparkan jauh ke atas syiling biliknya itu. Sekali lagi Daniel mengeluh.

"Ada kipas pun macam haram. Baik tak payah ada kalau perlahan macam ni haishhhh!"

Daniel kemudiannya berdiri lalu mencapai 2 biji bantal yang berada di atas tilamnya itu lalu berjalan keluar menuju ke ruang tamu rumahnya itu. Dia memandang ke arah sekeliling rumahnya itu dahulu sebelum dia melabuhkan tubuhnya di atas sofa. Melihat kelibat lelaki tua itu tiada di situ membuatkan dirinya lega lalu mula merebahkan dirinya di atas sofa tersebut. 

Sedang Daniel cuba untuk melelapkan matanya, tiba-tiba dia terdengar bunyi hentakan tapak kaki seakan ada seseorang yang sedang berlari-lari di ruang tamu rumahnya itu. Terkejut dengan bunyi itu, Daniel dengan segera terus duduk lalu cuba untuk melihat siapakah yang sedang berlari-lari di dalam rumahnya itu.

Beberapa saat berlalu, namun tiada sesiapa pun yang berada di situ. Daniel menarik nafas lega lalu dia memusingkan kembali badannya itu untuk direbahkan di atas sofa tersebut. Belum sempat dia menoleh, dari lirikan matanya itu dia dapat melihat kelibat seseorang sedang berlari menuju ke dalam biliknya itu. Tubuhnya kecil sahaja, seperti seorang kanak-kanak. 

Daniel mula merasa marah. Sudah lah tadi dia terganggu dek kepanasan di dalam biliknya itu. Kini ada pula yang mahu bermain-main dengannya. Daniel bangkit dari sofa itu lalu menuju ke arah biliknya dengan keadaan yang marah. Dia menjengah sedikit lalu meraba-raba mencari suis lampu untuk dihidupkan. 

Belum sempat dia membuka sius lampu tersebut, dengan jelas dia melihat kelibat seorang budak perempuan sedang berlari menuju ke arahnya. Daniel terkejut lalu dia menutup matanya itu menggunakan kedua-dua belah telapak tangannya. Saat itu, tubuh Daniel dilanggar oleh budak perempuan itu lalu Daniel pun tersandar di dinding. Daniel yang masih lagi ketakutan, menutup rapat matanya itu.

Sudah lah dilanggar, kini Daniel mula mendengar hilaian ketawa budak perempuan itu. Dia seakan-akan sedang berlari-lari di hadapan Daniel sambil ketawa dengan riangnya. Daniel ketakutan.

"Pergi! Pergi! Jangan kacau aku! Ini rumah aku! Kau pergi dari sini." Jerit Daniel cuba untuk menghalau budak itu pergi.

Tiba-tiba bunyi telapak kaki dan juga hilaian ketawa itu hilang. Daniel diam seketika, dia cuba untuk mendengar tanpa membuka matanya. Setelah dia pastikan yang budak perempuan itu sudah tiada, dia memberanikan diri untuk membuka matanya itu.

"Cakkkkkk." Jerit budak perempuan itu sebelum dia kembali berlari-lari di ruang tamu tersebut. 

Daniel yang sudah hampir separuh nyawa terkejut di situ mula merasa geram. Boleh pulak budak perempuan tu bermain-main cak cak dengannya. Daniel berdiri lalu menuju ke arah pintu rumahnya itu. Dicapainya sebuah kunci yang terletak di atas rak lalu dia membuka pintu rumahnya itu luas. 

"Keluar sekarang! Kalau kau tak nak keluar, siap kau aku kerjakan! Keluar!" Jerit Daniel ke arah budak perempuan yang masih berlari-lari di dalam rumahnya itu.

Kerana sudah tidak tahan menahan geram, akhirnya Daniel menuju ke arah budak perepuan itu lalu cuba untuk menghalaunya keluar. Dia cuba untuk mencapai bahu budak tersebut namun tidak berjaya. Untuk seketika, Daniel sebenarnya terlupa bahawa budak perempuan itu bukan lah manusia. Daniel semakin geram.

Tolong Hantu! Jangan Ganggu AkuWhere stories live. Discover now