Bab 5: Mencari Diri

485 49 6
                                    

Pagi itu seawal jam 8 pagi lagi, Daniel sudah bersiap-siap mahu keluar. Dia sebenarnya tidak tahu ke mana arah tujuannya pagi itu. Namun sekiranya dia terperuk sahaja di rumah, lagilah membuatkan dirinya bertambah stress. Daniel juga yakin bahawa pasti dia akan teringatkan sesuatu sekiranya dia berjalan di sekitar kawasan bandar itu.

Sejak dia pulang dari hospital, Daniel sebenarnya masih belum menyelongkar keseluruhan rumahnya itu. Disebabkan semasa hari pertama dia kembali dia sudah kepenatan mengemas rumahnya itu, dia terlupa untuk menyelongkar setiap almari dan juga laci yang ada di dalam rumahnya itu. Siapa tahu mungkin ada sesuatu yang boleh membantunya dalam memulihkan ingatannya kembali.

Semasa Daniel sedang menyikat rambutnya itu, tiba-tiba anak matanya terpandang akan sebuah almari yang berada tidak jauh darinya. Almari yang bersaiz sederhana itu sudah tidak mempunyai pintu lagi, membuatkan segala isi di dalam nya mampu dilihat dari luar. Di dalam almari itu, terdapat sebuah laci yang terkeluar sedikit dari landasannya.

Entah kenapa secara tiba-tiba hati Daniel tergerak untuk membukanya. Sambil tangannya itu masih menyikat rambutnya, dia berjalan menghampiri almari tersebut. Dilihat dari atas ke bawah lalu laci yang terkeluar sedikit itu ditarik perlahan. Terdapat sebuah kotak dan beberapa barangan lain di dalam laci tersebut. Diambilnya kotak tersebut, lalu dibawanya keluar dari biliknya itu.

Di ruang tamu rumahnya itu, Daniel merebahkan punggungnya di atas sofa. Diletakkan kotak itu di atas meja bersebelahan dengan sikat yang dari tadi dipegangnya. Daniel kemudiannya membuka kotak itu perlahan lalu dia tergamam.

"Dddddduuuuuuuiiitttttt?" Terpacul perkataan itu dari mulutnya.

Di dalam kotak tersebut, terdapat sejumlah wang yang agak banyak juga nilainya. Walaupun bukan lah semuanya wang bernilai RM50, namun jika dikira mahu hampir seribu juga jumlah wang yang terdapat di dalam kotak itu. Daniel yang masih lagi tergamam, mula mencapai beberapa keping wang RM10 lalu dia melipatnya kemas sebelum memasukkan nya ke dalam poket bajunya itu.

"Kalau dah duit ni dalam rumah aku, maksudnya duit ni duit kau lah kan. Alhamdulillah, ada jugak rezeki aku. Kalau tak macam mana lah aku nak hidup." Monolog Daniel dengan air wajahnya yang kelihatan gembira.

Daniel kemudiannya menutup rapat semula kotak tersebut lalu dia masuk ke dalam biliknya itu untuk meletakkan kembali kotak tersebut di tempatnya. Semasa dia sedang cuba untuk meletakkan kotak itu, dia terperasan terdapat sebuah kotak lagi di dalam laci tersebut. Sedang dia berusaha untuk mengeluarkan kotak itu, tiba-tiba kedengaran bunyi pintu rumahnya itu diketuk dari luar.

"Assalamualaikum." Kedengaran suara seseorang memberi salam dari luar.

Daniel yang agak gementar cuba menjengah gerangan siapakan yang berada di luar rumahnya itu. Setakat ini dia hanya mengenali Siti sahaja, tiada orang lain yang terlintas di dalam benak fikirannya itu. Dan suara yang memberi salam itu pula, bukanlah suara Siti. Suara itu lebih lembut dan tenang. Daniel mula risau.

"Assalamualaikum." Sekali lagi suara itu memberi salam sambil diketuknya pintu rumah Daniel kuat.

"Waalaikumsalam." Jawab Daniel dalam nada yang teragak-agak.

Sebuah kunci dicapai lalu dimasukkan ke dalam ruang kunci yang ada lalu dia memulas tombol pintu rumahnya itu perlahan. Sedikit sahaja pintu itu dibuka, itu kerana Daniel mahu melihat dahulu siapa yang berada di luar rumahnya itu.

"Ooohhhh Mak Cik, ingatkan siapa tadi." Jawab Daniel yang mula mengubah suaranya itu sambil mengukir senyuman yang paling manis sekali.

Tolong Hantu! Jangan Ganggu AkuWhere stories live. Discover now