KEMBARA 4: Memikul Tanggungjawab!

935 30 0
                                    

Lama sungguh mereka berbual." Ariki mengerutkan dahi. Memerhati anjung rumah dari tengah tanah lapang.

Aifer yang duduk tidak jauh dengannya mengangguk.

Matahari sudah naik dua penggalah. Kabeer dan tiga sahabatnya itu masih lagi bersembang. Mereka bersembang sepanjang malam, dan hanya berhenti untuk melakukan solat pada waktu Subuh, sebelum menyambung kembali perbincangan mereka.

Ariki melirik kepada Aifer, yang sedang bermain-main dengan rumput, sekitar dua depa daripadanya. Sepanjang duduk di rumah ini, tinggal bersama mereka, Ariki tidak pernah punya kesempatan untuk menikmati keindahan wajah Aifer. Rutinnya terlalu sibuk, dan apabila dia mempunyai masa lapang, tubuhnya terlalu penat, maka dia sama ada berehat atau tidur.

Mereka jarang berbual sebenarnya, selain bertukar beberapa patah perkataan, dan apabila Ariki bertanyakan sesuatu, lebih-lebih lagi berkait agama yang dianuti Aifer dan ayahandanya. Hinggalah beberapa hari kebelakangan ini, baru mereka berdua banyak bertukar bicara. Beberapa hari kebelakangan ini juga, baru Ariki tahu yang Aifer sebaya dengannya. Walaupun itu sudah dalam jangkaan Ariki.

Wajah Aifer mulus. Kulitnya cerah. Bibirnya halus. Matanya bundar dikelilingi warna biru cerah. Dagunya hampir tajam, tidak besar, tidak kecil. Itulah sahaja wajahnya yang terpapar. Selebihnya Aifer dilitupi kain litup di kepala, labuh hingga ke dada, bersama pakaian yang tidak menunjukkan bentuk tubuhnya. Namun wajahnya cukup membuatkan Ariki seperti berada di awang-awangan.

Sedikit sebanyak, Aifer mengingatkan Ariki kepada bondanya.

Aifer menyatakan yang bondanya terbunuh ketika beberapa Wirawan berjaya mengetahui lokasi bapanya, dan memburu mereka sekeluarga. Dikatakan, bondanya juga salah seorang dari Satria-Satria Sejati.

Ariki meminta maaf, tetapi Aifer nampaknya tidak lemas dalam emosi, dan mampu memisahkan antara Ariki dan regim ayahandanya. Pun begitu, sedikit sebanyak, Ariki rasa bersalah.

Aifer sangat tabah dan cekal. Adab dan kesantunannya tidak menghalang diri wanita itu untuk bersikap tegas, menguasai seni tempur dengan baik, dan mempertahankan haknya. Aifer tidak kekok pergi ke pasar menjual bulu dan daging biri-biri dalam keadaan berpakaian asing, tidak seperti kebanyakan perempuan di perkampungan itu. Mujur sahaja di perkampungan kecil ini, Kabeer merupakan satu-satunya penternak biri-biri. Jika tidak, Ariki menjangka bahawa penduduk kampung ini tidak akan membeli daripada Aifer hanya kerana pakaiannya yang melambangkan agamanya.

Islam memang didiskriminasi di dalam jajahan Mukan'Aja.

Orang Islam yang mendapat layanan dan penerimaan, hanyalah orang Islam yang tidak benar-benar mengamalkan Islam. Hanya Islam pada nama. Tidak pada gaya hidup. Ariki tahu akan hal itu kerana bukan sekali dua dia melihat orang-orang Islam datang ke Mukan'Aja dan berhibur dengan gaya hidup seperti ayahandanya.

Kerana itu, Ariki tidak pernah berminat hendak benar-benar mengambil tahu akan agama yang satu ketika dahulu, atau sehingga kini, menjadi tentangan ayahandanya itu.

Hikayat Satria-Satria Sejati: Generasi BaruWhere stories live. Discover now