PROLOG: Lari!

4.3K 86 10
                                    

Dia berlari sekuat hati. Sekali-sekala cuba mengelak ranting dan duri daripada tumbuhan yang memenuhi kawasan ini. Kegelapan malam menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada refleksi tubuh. Naluri untuk terus hidup menjadi panduannya kini. Pun begitu, dia bukan seorang Wira, bukan seorang yang menguasai ilmu pertempuran, maka tubuhnya tidak begitu tangkas mengelak halangan-halangan, menyebabkan badannya kini mula calar-balar, dan dia sudah beberapa kali terguling jatuh.

Namun dia bangkit kembali dan tetap meneruskan larian.

Di dalam hutan tebal, dia berharap dirinya tidak akan dijumpai.

"Ayahanda!" Dia meninggikan suara. Riak wajahnya tegang. Marah bercampur terkilan. Langkahnya deras menuju singgahsana. Terdapat seorang lelaki separuh abad, sedang duduk santai dilayani dayang-dayang berpakaian mengghairahkan, sambil di kiri dan kanan singgahsana terdapat beberapa orang pengawal.

Langkahannya dihentikan pengawal sebelum sempat dia memijak anak tangga pertama singgahsana itu. Namun lelaki yang sedang dilayani para dayang mengangkat tangan, lantas halangan tersebut diangkat. Dia mara sehingga mampu bertentang mata dengan lelaki tersebut.

"Apa yang engkau hajati anakanda?" Lelaki itu bersuara. Bersahaja. Namun ada tona sinis di sebalik soalan tersebut. Terpapar jelas pada pangkal senyumannya. Sebelum senyuman itu hilang kerana mulutnya disuap anggur oleh salah seorang dayang di sisinya.

"Mengapa ayahanda meletakkan perempuan-perempuan itu di dalam kamar anakanda?" Suaranya meninggi.

"Apakah engkau tidak gembira?" Lelaki tersebut menggunakan isyarat tangan, membuatkan dayang-dayang di sekelilingnya berhenti memberikan layanan, dan beredar dari singgahsana. Lelaki tersebut kini berdiri, jubahnya terbuka mempamerkan tubuh badan yang sasa.

Walaupun sudah berusia separuh abad, lelaki di hadapannya ini jangan sesekali dipandang rendah.

"Ayahanda cukup tahu bahawa anakanda tidak gemar dengan cara hidup sedemikian? Apakah tujuan ayahanda meletakkan perempuan-perempuan itu di dalam kamar anakanda, bertelanjang pula. Apakah ayahanda mahu memaksa anakanda mengikuti cara hidup ayahanda?" Matanya menjegil. Geram.

"Ya!" Lelaki itu menempelak. Giliran lelaki itu pula menjegilkan mata. Menggerunkan.

Spontan bulu romanya naik. Dadanya berdegup kencang.

"Engkau anakku. Aku mahu engkau mengikuti jejak langkahku. Menjadi Raja Teragung untuk dunia ini. Keengganan dirimu untuk seronok dengan segala apa yang telah aku punyai ini membuatkan aku tidak senang!"

"Kehidupan anakanda ialah pilihan anakanda. Ayahanda tidak sesekali berhak memaksa anakanda terhadap apa yang anakanda tidak suka!" Dia memberanikan diri.

"Derhaka!" Lelaki tersebut pantas mencengkam lehernya. Terapung dia di atas tangga singgahsana.

Hikayat Satria-Satria Sejati: Generasi BaruWhere stories live. Discover now