Saya mengenali Kuala Lumpur lebih dari seekor tikus mengenali lubangnya sendiri. Saya tahu setiap lorong-lorong yang gelap, jumlah lantai berbatu marmar di siar kaki kompleks, gerai beratap kanvas di tepi asfal berlopak air, bahkan, kedalamannya juga saya tahu. Saya boleh berjalan dengan hanya menutup mata tanpa ada masalah. Saya boleh menghidu mangsa dari jauh. Menyusup di celahan tempat yang tak terjangkau. Sama sahaja seperti tikus yang merayap tanpa diketahui orang. Saya tak ubah seperti tikus. Makhluk parasit yang hanya tahu mengenyangkan perutnya sendiri dan membikin kemusnahan, termasuk wabak. Tinggal lagi saya tidak membunuh orang dengan air kencing saya sendiri, itu sudah tentunya.
Bunyi memekam kedengaran setiap kali monorel berhenti di stesen. Terdengar bunyi elektrik di atas bumbung koc. Seperti percikan api, agaknya, namun saya tak pernah melihat pun apa yang terjadi di atas sana. Hanya bunyi itu berdecit diselang-seli dengan bunyi terpekam-pekam sebelum monorel berhenti. Orang berdiri di tepi landasan, di belakang garisan kuning. Sekarang adalah waktu puncak. Setiap koc sudah padat tetapi masih lagi lautan manusia cuba untuk masuk ke dalam. Walau terpaksa berasak-asak, mereka tidak apa-apa. Semua orang sama sahaja ketika berada di dalam koc. Mereka sama ada berdiri atau duduk. Memakai baju pejabat atau pelajar kolej yang kasual. Membezakan adalah bau yang lahir dari tubuh mereka.
Setiap hari bau-bau ini tidak sama. Bergantung pada penumpang yang naik. Pekerja buruh pembinaan dari Teluk Bengal yang selalunya berbau masam, budak-budak sekolah dengan pewangi cologne murah mereka dan lelaki-lelaki lanjut usia yang berbau keras, memakai Brut dan Aramis. Saya sentiasa suka untuk dekat dengan gadis. Haruman yang meradak dari leher dan pergelangan tangan mereka itu sungguh menenangkan. Di dalam koc lebih ramai perempuan berbanding lelaki. Tentunya orang muda. Gadis-gadis 9-5 yang bekerja di dalam bilik hawa dingin dan mengadap komputer. Mereka pandai bergaya dan sentiasa berbau harum. Bibir yang sentiasa hidup dioles gincu, pipi yang merah, rambut yang beralun dan bersinar. Tinggal lagi mereka tidak suka untuk senyum. Saya menoleh ke hujung gerabak dan memandang lama pada sekelompok manusia yang sedang berdiri. Tidak hanya gadis-gadis muda, bahkan sebenarnya, tiada siapa yang suka senyum di kota besar ini.
Sama seperti orang-orang di kota. Saya memakai pakaian seperti orang ke pejabat. Kemeja lengan panjang yang dilitupi jaket dan berseluar slack. Tinggal lagi saya tidak memakai kasut kulit hitam yang fancy, berkilat dan mewah. Saya hanya mengenakan kasut sukan. Apa yang lebih penting dari seorang penyeluk saku selain tangannya yang seperti magnet adalah kaki yang menghayun laju. Kasut sukan berguna ketika saya berlari apabila dikejar orang jika ada perkara buruk yang berlaku. Setiap langkah akan menjadi lebih teratur dan selamat kerana tapak kasut yang mencengkam walau di permukaan jubin yang licin. Tambahan juga pakaian saya mengurangkan syak wasangka orang di sekeliling. Lagipun, wajah saya terlihat naif. Tiada siapa menyangka saya seorang penyeluk saku dengan perwatakan sebegini.
Di dalam monorel, selalunya saya duduk di kerusi yang terhujung sekali. Dekat dengan pintu. Setiap kali monorel mengambil selekoh, penumpang turut mengikut sama dan cuba untuk melawan arah. Pagi ini saya mendapat tempat duduk. Melihat seorang gadis yang berdiri di hadapan saya. Tubuhnya menyenget ketika monorel mengambil selekoh. Saya memerhatikan kakinya yang sungguh panjang tersebut. Dia tinggi lampai dengan bahu yang lebar, agak kekar dan mempunyai lengan yang panjang. Teteknya yang besar di sebalik baju singletnya terhinggut-hinggut atas dan bawah. Kiri ke kanan. Dia seakan tahu saya sedang memerhatikan tubuhnya namun dia tidak menjegilkan biji mata, bahkan dia tersenyum. Saya tarik balik kata-kata saya tentang semua orang di kota besar kedekut dengan senyuman. Gadis di hadapan saya itu terlihat peramah dan baik hati. Saya kembalikan senyumannya dan dia memandang ke kiri dan kanan sebelum mengemam bibir bawahnya dengan gigi kacip. Jemarinya diangkat menunjukkan angka lima lalu menjuih ke arah teteknya yang anjal. Saya terpempan. Cepat-cepat saya menggeleng. Dia menurunkan dua jari. Tiga jarinya yang runcing, dan kukunya yang panjang itu berkilau di bawah lampu. Saya geleng lagi bahkan lebih laju dan melarikan bola mata ke arah luar tingkap tanda tak mahu.
YOU ARE READING
BERCAKAP DENGAN JUN
Mystery / ThrillerKematian ibunya meninggalkan kesan yang mendalam pada kehidupan seorang anak kecil. Sejak itu dia memencilkan diri dan hidup bersendirian di sebuah taman perumahan kosong dan terpinggir di ceruk hutan. Orang kampung mengatakan dia lelaki gila di rum...