BAB 7

1.2K 37 27
                                    


Saigon melompat ke dalam semak dan terus menghilang. Lariannya terlalu laju hingga membuatkan saya termengah mengejar dan berhenti mencari nafas. Saya memanggil-manggil namanya dengan perlahan sambil meredah lalang. Laluan itu menembus ke sebuah rumah yang jarang saya lalui. Pada bahagian paling terceruk di Cekur Manis. Ia tidak terlalu jauh dari rumah saya namun kedudukannya yang berada di pinggir hutan membuatkan saya jarang pergi ke situ. Saigon masih lagi tidak kelihatan membuatkan saya risau. Suaranya tidak terdengar bahkan dia tidak menyahut walaupun saya memanggil berkali-kali. Saya takut jika Saigon diapa-apakan oleh orang yang bersenjata. Keadaan yang gelap membuatkan saya berjaga-jaga dan melangkah dengan cermat menuju ke sebuah rumah yang tertegak sebuah pohon jelutung.

Lampu dikepala dipasang kerana keadaan terlalu gelap. Pokok-pokok di sini hidup subur dan tinggi melangut membuatkan kawasan di sekitar menjadi suram dan kelam. Setelah melalui rimbunan pokok-pokok besar yang menutupi langit, saya berhenti pada sebuah rumah apabila tersuluh punggung Saigon yang sedang tercegat di hadapan pintu. Saya memanggil Saigon beberapa kali namun dia tidak menoleh ke belakang. Perlahan-lahan saya berjalan dan memegang kolar lehernya. Saigon bergeruh dengan lebih kuat seperti hendak menerkam ke arah sesuatu. Saya meninjau di sekitar, pada luar pintu pagar yang tidak kelihatan apa-apa kenderaan yang dipakir sebelum berpaling melihat pintu rumah yang terpelahang.

"Arghhhhhh!"

Jeritan suara wanita kedengaran kuat dari dalam rumah. Mendengarkan suara yang senyaring itu membuatkan saya terperanjat lalu tersadung jatuh ke tanah. Suara itu benar-benar menakutkan. Jeritan yang bertambah kuat dan bergema disulami salakan Saigon yang membuatkan keadaan menjadi bingit.

Bulu roma saya meremang. Itu adalah suara jeritan yang paling menakutkan pernah saya dengar selama ini. Saigon juga tidak berhenti menyalak dan kesabarannya sudah menipis. Dia bergegas masuk meninggalkan saya di hadapan pintu. Keadaan bertukar senyap kembali. Saya pernah berjumpa dengan segala macam jenis hantu dan suara mereka tidak sebegini. Suara itu seperti sedang menanggung kesakitan yang teramat sangat. Namun di tempat yang sebegini sunyi dan juah dari penempatan membuatkan saya menjadi risau. Setongkol kayu yang berada di tanah ditarik rapat ke dalam genggaman. Saya bangkit dan berjalan dengan tangan yang menggengam kuat kayu tersebut. Jika ada yang ingin mengenakan saya, kayu ini akan dihunjam ke kepalanya hingga bersepai segala isi otak. Peduli apa.

Setapak demi setapak saya melangkah dan mendapati Saigon sedang tegun di ruang tamu. Tidak seperti tadi dia hanya senyap dan tidak menyalak lagi. Namun suara yang merintih itu masih lagi kedengaran. Saya berpaling ke kiri dan kanan. Terlihat kosong dan tiada siapa-siapa yang menyorok di sekitar sebelum saya terkaku di belakang Saigon. Kami berdua terpekin dan ternganga, dan terperanjat apabila melihat seorang gadis yang sedang dalam ketakutan bersandar di dinding.

Gadis itu berpaling apabila cahaya lampu di kepala saya menyuluh ke wajahnya. Keadaan gadis tersebut tidak terurus dan macam orang gila. Dengan rambut yang mengerbang dan wajah yang basah bermandi peluh. Baju tshirt putihnya berdebu dan kain skirt labuhnya tersingkap yang hingga ke pangkal paha. Dadanya berbolak-bolak dan bernafas dengan berat seperti seekor lembu yang disembelih. Saya menyangkakan dia adalah gadis yang sama dilihat sebentar tadi namun gadis itu ternyata orang lain dari pakaian yang dikenakannya.

Matanya melirik tajam dari rambutnya yang berjurai menutupi sebelah wajahnya yang berpeluh. "Aa...Awak tak apa-apa?" Kata saya, perlahan-lahan cuba menuju ke arahnya. Baru setapak melangkah, gadis itu mengerang kembali. Seperti ada suis yang membuatkan dia tersiksa dan menjadi gila. Boleh jadi memang betul. Dia sebenarnya gadis kurang siuman yang tersesat hingga ke sini. Saya melangkah lagi dan dia mengesot dan cuba untuk bangkit namun cepat-cepat saya mengangkat tangan mengatakan saya tidak berbahaya. (Sebelum tersedar yang ditangan saya terpegang kayu dan diangkat tinggi ke arahnya) Kayu itu dicampak ke tepi dan saya menunjukkan tangan saya yang kosong. Dia berpaling ke arah lain apabila saya merapatinya. Langkah saya serta-merta termati apabila lampu menyuluh sesuatu. Saya menunduk melihat ke lantai. Terlihat cecair yang melekit membasahi di hujung kaki saya yang berdebu. Baunya meloyakan dan cepat menanjak ke hidung. Saya memerhatikan tompokan cecair itu yang menuju ke arah celahan kangkang gadis tersebut. Mata saya terbeliak dan terkaku. Ia bukanlah tompokan air tetapi darah beserta lendir. Waktu itu ketakutan kembali menjengah. Kali ini lebih dahsyat apabila mengetahui tentang keberadaan gadis itu di sini. Dia menjerit bukanlah kerana dia wanita gila atau disampuk hantu. Tetapi kerana sakit melahirkan anak.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 30, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

BERCAKAP DENGAN JUNWhere stories live. Discover now