BAB 2

1.1K 34 4
                                    


Pekan di sini kecil sahaja. Setengah orang memanggilnya pekan koboi. Kecuali tanpa kuda, pistol dan pintu berayun di hadapan kedai, segalanya tampak sama. Selalu saya merasakan masuk ke zaman yang lain apabila keretapi tiba di stesen Kuang. Dari bangunan pencakar langit, dinding kaca berbingkai besi dan lampu bewarna-warninya, kemegahan kota berakhir di sini. Di hadapan stesen, keluar sahaja dari pintu tersergamnya banggunan-banggunan lama. Era kolonial pelombong arang batu. Cat kusam dibiarkan berlumut dan papan tanda yang samar berdebu. Orang-orang tua senang terlihat melepak di kopitiam menghirup kopi O' dan menghisap rokok daun. Mereka duduk berbual dari pagi hingga ke senja. Hanya menunggu matahari berlabuh untuk menggerakkan punggung naik ke atas motor cabuk dan beransur pulang ke rumah. Selepas azan segalanya menjadi sunyi. Kegelapan menyelebungi pekan ini seperti vampir yang menerawang di atas kepala. Segalanya berulang. Orang luar tidak bertandang dan penduduk pekan melakukan rutin yang sama setiap hari.

Hari sudah senja dan langit mula betukar kelabu. Saya melangkah keluar dari stesen KTM Kuang dan berjalan mendapatkan basikal yang ditambat rantai pada sebatang tiang lampu. Basikal itu sudah terlalu buruk untuk dicuri orang. Walaupun tidak ditambat, ianya tetap akan berada di situ menunggu kepulangan saya. Ianya tidak merupa basikal melainkan seperti sebuah besi buruk yang melekat sepasang tayar. Basikal itu dihadiahkan oleh Pak Akob, seorang lelaki tua yang mempunyai sebuah kedai runcit yang tak jauh dari rumah. Sebelum ini saya hanya berjalan kaki dan tak kisah sangat. Namun Pak Akob hatinya terlalu lembut dan menjadi tidak senang melihat saya yang berulang alik berjalan kaki di hadapan kedainya. Basikal itu bukanlah basikal baru pun ketika saya terima. Ianya memang basikal buruk, namun basikal tetap basikal selagi ada dua biji tayar, handel, rantai dan pedal pengayuh. Ia menjadi kenderaan yang serba guna dan tahan lasak juga.

Basikal dikayuh perlahan-lahan melewati sebuah balai polis di simpang tiga. Balai Polis itu kecil sahaja. Bersebelahan balai terdirinya blok kuaters dua tingkat. Juga kecil yang hanya terdapat tiga pintu senirai. Seorang anggota polis duduk di pelana motorsikal yang tidak dihidupkan enjin di hadapan pintu pagar balai. Dia seperti menunggu seseorang. Lelaki itu menyedari saya yang sedang melintasinya dan cepat-cepat mengangkatkan tangannya tinggi ke udara. "Baru balik kerja?" Katanya tersenyum. Saya mengangkatkan tangan kembali dan mengangguk membalas senyumannya itu. Basit seorang anggota Polis berpangkat koperal sudah lama berkhidmat di pekan Kuang. Orangnya peramah dan baik hati. Dia sama sahaja seperti yang saya kenal 10 tahun yang lalu. Bermisai tebal dan berperut boroi. Pangkatnya tidak pernah naik melebihi dua calit di bahu. Rumahnya di tingkat lantai kuaters tersebut. Satu-satunya rumah yang ada kereta produa Kancil bewarna putih. Itupun kereta peronda Polis.

Seorang budak kecil, lingkungan umur 6 tahun keluar dari rumah dan berlari mendapatkan Basit. Saya mengenali anak Basit tersebut cuma tak ingat namanya. Muka budak itu saling tak tumpah dengan si ayah. Macam fotostet cuma tanpa misai. Berperut gendut juga. Budak itu memeluk rapat kaki ayahnya sebelum Basit mengangkat dan diletakkan di dalam raga hadapan. Basit menghidupakan motor dan berlalu pergi membawa anaknya meronda-ronda di pekan Kuang. Saya meneruskan kayuhan melalui jalan Kundang untuk terus pulang ke rumah. Langit terlihat begitu kelam. Seperti memberat air hujan. Baru separuh jalan, saya berhenti mengayuh dan menoleh ke arah sebuah kedai dua tingkat yang terdapat di seberang. Bau biskut mentega terhidu dengan kuat dari sebuah kedai roti. Kedai Basmallah Bakery terlihat lengang tanpa ada pelanggan. Pintunya terlepangah seperti memanggil-manggil saya untuk masuk ke dalam. Sejak dahulu saya memang kalah dengan bau yang datang dari kedai tersebut. Baunya mengingatkan tentang kesedapan dan betapa rapuhnya biskut mentega itu apabila dimasukkan ke dalam mulut. Ia mencair di lidah, mengeluarkan perasaan yang gembira dan menenangkan.

Basikal disandarkan di sebatang pokok di hadapan kedai Basmallah Bakery. Saya masih lagi memegang handel basikal dan berfikir (lama juga), mengingati kembali sama ada semalam saya ada singgah ke sini atau tidak. Saya tak risau sangat tentang duit. Di dalam jaket saya sahaja ada lebih lapan dompet dan beli biskut mentega tak luak mana pun. Tinggal lagi saya tinggal seorang dan takut membazir kerana sudah menyimpan stok biskut di rumah.

BERCAKAP DENGAN JUNWhere stories live. Discover now