BAB 4

659 29 5
                                    


Sayur yang paling senang untuk ditanam adalah kangkung. Dan belacan adalah ciptaan terhebat orang melayu. Gabung kedua bahan tersebut akan menghasilkan makanan yang paling enak sekali. Cara memasaknya juga tidak susah, hanya lima minit untuk disediakan dan dibiarkan di atas api yang menyala. Saya meninggalkan Saigon yang tersungkuk menjamah makanannya di dalam mangkuk. Dia makan dengan lahap dan langsung tak menoleh ke arah saya yang sedang mencabut kangkung di tepi pagar, di bawah sebuah pohon mempelam. Dalam kesemua pokok yang saya tanam, pokok mempelam itu tidak pernah berbuah walau sekali pun. Lebih enam tahun sehingga pokok itu tinggi melangut dan menutup separuh rumah. Selang beberapa bulan saya akan mencantas dahannya yang merimbun untuk membenarkan cahaya matahari masuk melalui jendela bilik hadapan. Sampai sekarang saya tak tau kenapa pokok itu tidak mahu berbuah. Orang kata pokok mempunyai perasaan. Boleh jadi dia merajuk. Atau ketika waktu saya tanam dahulu saya tidak membaca bismillah.

Saya masuk kembali ke dalam rumah yang suram setelah memetik sayur kangkung. Tanpa elektrik dan air, setiap pekerjaan harus dilakukan dengan perlahan dan cermat. Di tepi jendela bersebelahan pintu masuk terletaknya sebuah meja kayu. Di atasnya terdapat sebatang lilin yang terpacak pada tin. Saya mennyalakan api lilin dan duduk di sebuah bangku sambil membuka kasut. Di luar sudah tidak kedengaran suara Saigon menjamah makanannya. Mungkin dia sudah kenyang dan masuk tidur. Setiap malam Saigon akan berehat di dalam pondoknya. Jika ada orang yang melintasi di hadapan rumah, dia tidak akan menyalak. Kadang-kadang orang hanya menaiki motor dan melintas sahaja. Saya mengajarnya untuk bertenang dahulu sehingga orang itu betul-betul menghampiri ke rumah ini. Waktu itu baru dia akan bertindak ganas. Seperti seekor harimau lapar yang menerkam mangsa. Dia tidak akan melepaskan rahangnya sehingga saya menyuruhnya berbuat demikian. Buat masa ini Saigon tidak pernah menggigit sesiapa lagi dan hanya mengacah-acah burung yang terbang ke sini sahaja.

Rumah ini tidak besar dan hanya dilengkap tiga bilik dan satu bilik air. Ruang tamunya hanya 20 kaki persegi. Ruang dapur juga kecil yang bertentangan dengan dua bilik yang dibina sebelah menyebelah. Yang luas sedikit hanyalah bilik utama yang bersebelahan ruang tamu. Bilik kelamin yang mengadap jalan utama di hadapan rumah ini menjadi bilik saya untuk tidur. Jika mak masih hidup lagi, ini akan menjadi bilik tidurnya. Mak pernah datang ke sini dahulu. Tetapi bukanlah sebagai hantu atau roh atau ilusi melainkan sewaktu dia masih hidup ketika saya berumur 11 tahun. Kami berdua datang ke sini untuk melawat rumah yang sedang dibina.

Pagi itu emak menyiapkan saya dengan memakaikan pakaian yang cantik. Rambut yang disisir rapi dan bedak yang berselepong. Kata emak, dia mahu melawat ke rumah baru kami. Pembinaan masih lagi berjalan tetapi emak kata sudah hampir siap. Ada ramai sudah pergi melawat dan minggu itu mak mendapat cuti dan mahu membawa saya sekali. Kami datang waktu pagi dengan menaiki bas dan turun di pekan Kuang. Dari situ kami menaiki teksi sehingga ke kawasan perkuburan dan berjalan kaki naik ke atas menuju ke Cekur Manis.

Kami tiba setelah mendaki bukit bertanah merah dengan peluh yang membasahi tubuh. Wajah emak tampak gembira apabila menemui rumahnya yang terletak di lorong belakang. Dindingnya sudah berdiri bahkan dicat. Bumbung juga sudah lengkap dipasang kerana rumah kami adalah yang pertama sekali dibina di dalam taman tersebut. Kami beririgan masuk dan pertama kali emak melihat biliknya yang luas. Dia tersenyum lebar hingga ke telinga apabila melihatkan bilik itu selesa berbanding rumah kami yang lama. Mata emak menceritakan segala-galanya. Walau tidak terpacul sepatah kata di mulutnya itu, emak kelihatan cukup bahagia sekali. Saya masih ingat lagi cahaya pagi yang menyuluh ke wajah emak dari jendela yang terbuka. Emak berdiri lama, memandang ke luar dan mengelamun jauh. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya. Sama ada doanya yang dimakbul Tuhan, jerih perihnya bekerja siang malam untuk membeli rumah ini akhirnya menjadi kenyataan. Atau mungkin saja emak terlalu rindu kepada abah. Saya memanggil dan emak berpaling ke arah saya yang berada di hadapan pintu. Air matanya jatuh dan cepat-cepat diseka lalu menguntumkan senyuman yang lebar.

Di pintu yang sama, saya masih lagi berdiri dengan tangan yang terpegang lilin; melihat tirai yang terbuai-buai ditiup angin. Merenung ke jendela yang kosong.

Suara salakan Saigon terdengar di luar mengejutkan lamunan saya. Dia kadang-kadang menyalak kecil, boleh jadi dia mengigau atau bersin. Tak tau berapa lama saya tercegat di hadapan pintu sehingga tak sedar mata saya berair dimasuki asap lilin. Saya berjalan masuk ke dalam bilik dan menutup jendela, melepaskan pakaian dan hanya berseluar pendek, tanpa berbaju dan menggalas jaket di atas bahu menuju ke dapur. Terdapat sebatang lilin di atas meja makan dan saya hidupkan sebelum bergerak ke belakang pula untuk menerangi kawasan tandas. Seisi rumah kini sudah terang dengan cahaya lampu lilin.

Kunci pintu bilik belakang dibuka dan saya masuk ke dalam meletakkan lilin di atas kabinet kayu. Bilik yang paling kecil di dalam rumah ini, dan satu-satunya bilik yang berkunci setiap masa. Saya menyimpan barang-barang hasil curian di sini. Segenap tempat dipenuhi barang-barang lama. Bau kulit terhidu kuat saat melewati masuk ke dalam bilik. Macam masuk ke kandang lembu. Di sebelah bahagian dinding terdapat foto-foto yang melekat dengan seragam. Tiada satu pun gambar saya melainkan gambar-gambar ini adalah dari dalam dompet yang saya curi. Foto bersaiz passport, ada juga foto keluarga, rakan-rakan dan gambar-gambar percutian.

Saya berjalan dan duduk mengadap di hadapan sebuah kabinet yang besar. Kabinet itu saya buat untuk menyimpan barang-barang yang pernah saya curi. Dari dompet selalunya. Saya jarang mencuri benda yang susah untuk dighaibkan. Yang melebihi saiz telapak tangan. Jemari saya menggagau-gagau poket di dalam jaket dan mengeluarkan satu persatu dompet yang dicuri. Lapan dompet kesemuanya dan setiap satu berlainan tebal dan bentuk. Juga bau yang tengit. Dompet lelaki sememangnya berbau hamis. Seperti kepingan kayu tua yang dihayutkan sungai, atau macam roti benggali yang mereput di tanah lumpur. Kadang-kadang bau seperti tilam getah yang terbakar dituang minyak gasolin. Tak kisah macam mana baunya kerana bau yang lebih penting ada dalam dompet tersebut. Bau duit. Anehnya sebusuk-busuk mana pun dompet, tetapi di dalamnya duit berbau wangi.

Satu persatu dompet saya buka dan diperasingkan mengkut jenis ke dalam laci. Kad bank, kad pengenalan, lesen memandu, syiling, setem, surat saman, kad kredit, warkah cinta, foto, kad perniagaan dan barang-barang yang lain. Kecuali resit, saya masukkan ke dalam tong sampah. Setiap laci berlainan barang. Saya adalah orang yang klasik agaknya dan suka mengumpul barangan lama. Barang-barang ini seperti sebuah trofi walaupun saya tak pernah melihat kembali barang-barang yang disimpan di dalam laci tersebut. Kecuali duit, setiap wang yang saya peroleh akan dimasukkan ke dalam sebuah peti yang berkunci. Peti itu disimpan di dalam lubang yang saya gali di bawah sebuah almari. Ditutup dengan karpet dan tersorok dari pengetahuan orang yang mungkin memecah masuk.

Sekeping foto dikeluarkan dari dalam dompet yang saya gunakan untuk membeli biskut mentega sebentar tadi. Foto lelaki itu bersama isterinya yang sedang sarat mengandung. Mereka terlihat bahagia, tersenyum sampai ke telinga dengan berlatarkan taman bunga. Mungkin di dalam perut itu adalah anak pertama mereka yang bakal lahir. Sekeping lagi foto dijumpai tersisip di belakang dan seperti yang saya telah, ia adalah foto anak mereka dalam gambar imbasan perut. Foto hitam putih itu diterbalikkan dan tertera tarikh pada hari ini. Saya merenung lama dan melihat ke kalender di dinding. Memang tarikhnya tepat pada waktu dan ketika ini. Patut la wajahnya terlihat gusar. Mungkin dia bergegas pulang ke rumah kerana isterinya bersalin. Atau sebenarnya sudah bersalin kerana dia dilihat berjalan dengan laju menuruni tangga.

Kedua-dua foto tersebut dilekatkan pada dinding di ruangan yang kosong. Saya berdiri dan melihat ke setiap keping gambar. Pelbagai aksi dan rupa wajah. Beraneka warna kulit dan bangsa. Setiap satu wajah tersimpan pelbagai cerita dan perjalanan hidup yang berbeza. Mereka tidak pernah berjumpa antara satu sama lain, tetapi berkumpul di dalam sebuah bilik yang kecil. Kini mereka seperti sebuah keluarga yang besar.

Bunyi perut berkeroncong kuat. Baru teringat yang saya belum memasak nasi lagi. 

BERCAKAP DENGAN JUNWhere stories live. Discover now