BAB 5

594 17 0
                                    

Selepas Maghrib Naurah tidak bergerak ke mana-mana. Dia hanya duduk di tepi jendela, dengan kain telekung yang masih lagi membaluti tubuhnya tanpa dibuka setelah selesai solat. Matanya yang bundar menyorot lemah memandang ke luar. Tiada apa yang kelihatan di waktu malam sebegini, melainkan kucing-kucing liar yang berteduh di sebalik cahaya lampu jalan di hadapan kedainya. Malam ini dia tidur berseorangan di tingkat atas. Kakaknya terpaksa pulang ke Nilai kerana urusan keluarga dan hanya akan balik pada keesokan hari. Naurah mengelamun jauh. Memerhatikan jalan yang basah selepas ditimpa hujan renyai ketika senja tadi. Guruh masih berdentum dan awan terlihat menghitam tanpa ada setompok pun bintang di langit. Malam ini pasti akan hujan kembali. Mungkin lebih lebat dari tadi.

Sesekali beberapa kenderaan melintas dengan perlahan. Naurah melihat ke sebuah kedai Tom Yam bertentangn rumah kedainya. Seorang pekerja lelaki menutup pintu dan beransur pulang dengan menaiki motor. Dia sempat menoleh ke arah kedainya, mendongak ke tingkat atas, seperti tahu Naurah sedang memerhatikannya. Namun keadaan yang suram di dalam bilik tidak memperlihatkan tubuhnya di tepi kekisi tingkap. Walaupun bayang-bayang sekalipun tidak nampak. Naurah melontarkan padangannya pada simpang jalan yang keluar dari taman perumahan. Sebuah kereta terlihat bergerak laju lalu berhenti di tepi jalan dengan mengejut. Hingga terdengar bunyi brek yang memekam masuk ke bahu jalan betul-betul di hadapan kedainya. Seorang gadis yang memakai T-Shirt putih, sebaya umurnya dan tidak memakai tudung terlihat keluar dari kereta dengan wajah yang sebal. Suaranya tiba-tiba menjadi tinggi, dan seorang lelaki, keluar dari kerusi pemandu dan bermula pertengkaran antara dua pasangan tersebut. Beberapa minit mereka saling bertikam lidah dengan diperhatikan Naurah dari tingkat atas. Dia hanya melihat tetapi sedikitpun tidak berasakan apa-apa. Hatinya bagai telah mati. Sama seperti gadis di bawah kedainya itu. Sebentar lagi hati gadis itu juga akan mati kerana dipermainkan oleh lelaki sebegitu.

Melihatkan pasangan terbabit mengingatkan Naurah pada kejadian siang tadi. Ketika teman lelakinya datang dalam keadaan yang marah-marah. Mereka bertengkar seperti pasangan tersebut. Bahkan bukan sekali dua ianya berlaku dan semakin lama bertambah buruk. Hanif yang dikenalinya dahulu tidak seperti ini. Seorang lelaki tampan dan budiman yang pertama kali membuatkan dia jatuh cinta. Juga orang yang sama menyakiti hatinya dengan seteruk ini. Hampir sahaja dia mahu membunuh diri kerana Hanif. Siang tadi Hanif melafazkan kata putus. Walaupun sudah beberapa kali kata itu dilafazkan tetapi Naurah masih lagi berharap Hanif akan menerimanya semula.

Melihatkan Hanif berlalu pergi membuatkan Naurah menjadi kesal. Seorang wanita yang tewas dan hanya membungkam untuk menangisi kebodohon diri sendiri. Malang datang merundung. Seperti ada sial dan bala yang melekat di tubuhnya. Sama seperti dia yang dahulu, ketika peristiwa hitam di mana dia dan adiknya terlibat dalam kemalangan. Naurah mengingati waktu malam tersebut ketika dia yang mabuk membawa kereta dan melanggar pembahagi jalan. Tuhan menyimpankan nyawanya tetapi membawa adiknya pergi buat selama-lamanya. Naimah adiknya yang diambil dari sebuah pusat tuisyen meninggal di tempat kejadian dan dia koma selama beberapa hari sebelum tersedar dengan bahunya yang memikul segala beban dan dosa. Segalanya hilang dengan sekelip mata. Ayahnya mencela dan meminggirkan dirinya yang menjadi punca kepada segala yang telah berlaku. Hampir setahun lamanya kejadian itu menjadikan Naurah tak ubah seperti sebuah patung yang benyawa. Naurah mengambil keputusan untuk memakai niqab, mendekatkan diri dengan Tuhan dan bertukar pusat pengajian di tempat yang baru. Dan ketika itulah cinta yang juga mengambil tempat dan memberikannya kehidupan semula.

Dalam kemurungan itu, datang Hanif yang memberikan kembali semangatnya yang pudar. Naurah kembali ceria dan menjadi semakin rapat. Mereka berdua ke kuliah bersama, keluar ke kota berhibur di hujung minggu dan ke mana-mana sahaja mengekor seperti belangkas. Sehinggalah datang satu hari, ketika waktunya Hanif berpindah ke tamat berpindah ke Singapura. Naurah diberitahu bahawa ianya hanya untuk sementara sahaja, namun Hanif menghilang tanpa mendapat khabar berita lagi. Sehingga satu hari, dia dikejutkan perkhabaran bahawa Hanif akan melangsungkan pernikahan dengan seorang gadis lain.

Kata-kata untuk bersama sehidup semati hanyalah satu penipuan. Hanif datang bersemuka hari ini setelah lama menghilangkan diri. Dengan suaranya yang tinggi. Wajahnya yang merah padam membawa kemarahan bagaikan iblis yang kerasukan. Matanya membulat kemerahan. Berjelaga seperti api dari perut bumi. Mungkin ini adalah yang terakhir kalinya dia melihat lelaki itu. Melihat susuk tubuh seekor syaitan yang keluar dari hidupnya buat selama-lamanya.

Gadis di tingkat bawah rumah kedainya terlihat berlalu pergi. Begitu juga teman lelakinya yang membawa kereta menyonsong arah. Bunyi bising di luar menjadi senyap semula. Tiada lagi pertingkahan dan yang tinggal hanyalah air mata gadis muda tersebut. Naurah bangkit dan menutup tirai jendela dan melihat gadis itu buat kali terakhir. Di dalam kegelapan dia berjalan melalui arah menuju ke Bukit Tadun dan hilang di dalam kesamaran malam.   

BERCAKAP DENGAN JUNWhere stories live. Discover now