BAB 3

813 28 3
                                    


Hujan mula turun dengan renyai. Mujur tidak lebat walaupun awan nampak menghitam di langit. Macam sudah malam dan jalan raya yang ketiadaan lampu membuatkan saya lebih berhati-hati mengayuh basikal. Saya membawa sedikit laju untuk segera sampai ke rumah — sambil menyuap biskut mentega yang diletakkan di dalam raga hadapan. Tidak sedar biskut yang dibeli sudah tinggal sedikit. Ketika itu baru saya teringat, pagi tadi saya hanya makan sekeping roti potong dengan planta. Tengah hari tanpa menjamah apa-apa dan mengalas perut dengan sekotak air teh bunga. Dalam kepala saya teringatkan ikan sardin yang masih lagi berbaki setin di dapur. Saya akan gunakanya pada malam ini. Ikan sardin bersama kentang. Digaul bersama nasi panas, kicap dan telur dadar. Makan malam yang paling enak diwaktu sejuk seperti ini. Saya tersengih-sengih sehingga air liur bertakungan di dalam mulut.

Azan maghrib berkumandang. Beberapa biji motor memintas saya menuju ke masjid dan mereka membunyikan hon agar saya ketepi. Saya memberikan laluan dan tersenyum mengangkat tangan walaupun mereka tak membalas balik. Melepasi Dewan Merdeka terdapat sebuah masjid jamek dan beberapa buah rumah kampung. Jalan di sini cepat lengang dan sunyi pada waktu malam. Tidak banyak rumah yang ada di kawasan Batu 20 ini, dan kawasannya sejuk kerana terletak di kaki bukit.

Saya melewati kedai Pak Akob yang terlihat sunyi dari seberang jalan. Tanpa ada pelanggan yang berada di dalam kedai melainkan cucunya sahaja yang bermain hujan di luar. Pak Akob bertempik mengarahkan masuk. Bekas pesara tentera itu memang seorang lelaki yang garang. Tetapi hatinya baik. Jika tak kerana Pak Akob yang menghadiahkan basikal ini, mungkin saya akan berjalan kaki hingga ke rumah. Pak Akob yang tercaduk memandang langit tak perasan saya yang sedang melintasi kedainya.

Hujan berhenti apabila sampai ke sebuah pondok berbumbung biru. Pondok yang menjadi teduhan di kuburan itu baru sahaja dibina baru. Terdapat air untuk membasuh kaki dan lantainya berjubin marmar. Di sebelah pondok terdapat sebuah pohon yang besar dan tinggi. Pokok itu sudah mati. Tidak berdaun dan berdahan melainkan hanya sebuah batang kayu tua yang merekah menunggu untuk tumbang. Rumah saya terletak di belakang tanah perkuburan ini sahaja. Terdapat satu lagi jalan lain namun ianya sedikit jauh kerana terpaksa berpusing dan tentunya membuang masa. Saya turun dan menolak basikal ketika melepasi pintu masuk dan berjalan di antara deretan kubur di kiri dan kanan. Tanah perkuburan di sini sudah hampir penuh. Ianya berbukit dan bertanah merah. Pada waktu dinihari kabus-kabus tebal mengapung, seperti ombak, ditiup angin beralun dan menenggelamkan batu nesan. Tampak menyeramkan bagi orang yang penakut. Saya tak takut apa-apa. Ia panorama yang biasa dilihat setiap hari. Lagipun, mereka semua sudah mati. Jika mereka hidup kembali sebagai hantu pun, mereka seekor hantu yang membosankan dan ingin berhibur sahaja.

Saya menoleh ke arah sebuah kubur yang terletak di sebelah kiri. Ianya kubur emak yang meninggal ketika saya masih kecil dahulu. Setiap kali saya melintasi kubur emak, saya akan memberikan salam kepadanya. Kubur itu terlihat bersih. Tidak ditumbuhi daun dan lalang. Selang beberapa minggu saya akan datang mencabut rumput, menyiram air dan membacakan doa. Tak banyak doa yang saya tau, kecuali doa makan dan doa-doa pendek lain. Saya tidak bersekolah selepas kematian emak. Mujur, saya tidak buta huruf kerana sempat menghabiskan pengajian di darjah lima. Boleh membaca dan tahu mengira.

Di belakang tanah perkuburan ini direntangi hutan-hutan berkayu keras yang menuju ke Bukit Tadun. Setengah dari bukit ini diteroka dan ditanam sawit, namun rumah saya terletak di pinggir bukit ini sahaja dan masih lagi berhutan tebal. Ia digelar Taman Cekur Manis. Rumah rakyat kos rendah milik kerajaan yang terbengkalai dan tak siap dibina pada tahun 90-an dahulu. Ditinggal kerana pemaju projek perumahan yang cabut lari dan pembinaan berhenti separuh jalan. Jika kubur sebentar tadi menakutkan, kawasan perumahan saya lebih dari itu lagi. Taman Cekur Manis terlalu terpencil dan jauh dari penempatan penduduk. Ia tidak terlihat seperti taman langsung melainkan seperti bongkahan batu yang terbina di tengah-tengah hutan. 83 buah rumah dibina dan kesemuanya kosong tanpa penghuni. Saya tinggal seorang diri di situ sejak kematian emak. Sesetengah orang di sini tau saya menetap di situ, namun tiada siapa tahu di rumah yang mana satu. Mereka tidak pernah menghampiri kerana bual-bual mulut mengatakan tempat ini keras berpenunggu. Orang-orang kampung memanggil saya lelaki gila. Anak hantu yang lahir dan menjaga tanah tersebut. Saya tak ambil peduli sangat.

BERCAKAP DENGAN JUNWhere stories live. Discover now