BAB 6

643 21 4
                                    


Sekejap saja duit sudah habis dikira, diikat dengan getah dan jumlahnya ditulis dalam sebuah buku kecil. Wang hasil menyeluk saku hari ini agak lumayan berbanding semalam. Mungkin hari ini hari bertuah saya. Tapi kerja ini tak tentu juga, sebab kadang-kadang saya hanya pulang dengan wang tak sampai lima puluh ringgit pun. Tak ada benda bagus akan datang terus dari langit. Setiap kali menyeluk ke dalam poket orang, saya tak tau apa habuan yang akan dapat. Zaman sekarang orang lebih bergantung kepada kad kredit. Yang memakai pakaian yang mahal-mahal, kulit muka yang licin dan pandai bergaya hanya membawa duit yang sedikit. Berbanding orang yang terlihat selekeh, tak terurus dan berselipar, kadang-kadang mereka membawa wang yang banyak dan duit yang berkepuk. Ada dompet yang nipis namun duit seratusnya berkeping-keping. Ada yang hanya berisi dua ringgit dari dompet yang tebal dipenuhi kad dan resit. Semuanya tentang tuah dan nasib.

Kotak duit ditutup dan dikunci semula. Diletakkan dengan cermat ke dalam tempat simpanan dan ditolak kabinet menutupi lubang rahsia peti besi tersebut. Saya termengah dan bersandar ke dinding, mengelap peluh yang berjurai di wajah. Kepala saya menjadi pening apabila menghidu bau badan saya sendiri. Di dalam bilik ini ada macam-macam aroma. Bau kertas dan resit, bau foto dan lumut, ditambah bau dompet dan peluh saya sendiri. Bilik ini berbau seperti sebuah muzium antik. Bau-bau ini cepat melekat di badan yang berpeluh.

Saya berjalan keluar menarik kain tuala yang tersangkut di pintu lalu diselimpang ke atas bahu. Sebuah baldi yang berada di dapur diambil, beserta sebuah gayung yang berisi syampoo, berus gigi dan sabun mandi. Di hadapan meja makan terletak para yang melekat di dinding dengan tin sardin dan juga botol-botol rempah. Baru teringat yang saya belum lagi menanak nasi apabila melihat tin sardin tersebut. Saya menunduk di bawah dapur gas dan melihat tong kecil yang berisi beras. Biji mata terbeliak apabila penutup tong itu dibuka. Saya menepuk dahi dengan kuat, sakit juga, tapi lebih sakit hati apabila mendapati beras tinggal segenggam dan tak cukup untuk menanak nasi pun. Saya berpaling melihat ke bekas gula, kotak teh dan juga botol kicap di atas para. Ketika itu baru saya teringat yang barang-barang dapur sudah mula menyusut. Telur dan tepung juga tinggal sedikit. Saya bangkit dengan mengeluh panjang dan masuk ke dalam bilik lalu keluar dengan sehelai kertas dan sebatang pen. Satu persatu barang ditulis dengan laju, dicampur perasaan yang marah, geram dan sakit hati gila. Saya akan keluar membeli barang dapur ketika pulang dari kerja esok. Malam ini saya akan berpuasa kerana kebodohan saya sendiri kerana terlupa untuk membeli barang dapur siang tadi. Hanya kerana terbuai dengan kesedapan biskut mentega, saya terlupa pada yang lebih penting. Kertas yang ditulis ditenung dan dibaca dengan kuat sambil berjalan menuju ke ruang tamu. Kertas itu ditempek pada paku di belakang pintu agar senang nampak ketika keluar esok. Saya berkata, 'padan muka engkau tak dapat makan malam ni'. Tapi dalam hati.

Pintu dibuka dan Saigon yang sedang tertidur memanggung kepala melihat saya. Mulutnya terkuap-kuap luas dan bangkit dengan malas. Dia tahu yang saya telah bersiap untuk mandi dan dia juga mahu mengikut sama. Saya mengenakan lampu suluh yang dipasang di kepala dan berjalan keluar ditemani Saigon.

Di dalam rumah tiada air dan saya terpaksa keluar berjalan selang beberapa rumah dari sini. Sebuah rumah yang dikhususkan hanya untuk mandi. Di hadapan rumah tersebut mempunyai sebuah pili bomba. Saya membuat sedikit modifikasi dan memasangkan paip beserta pili air . Sengaja saya tidak menyalurkan paip itu terus ke rumah saya kerana takut-takut pihak berkuasa perasan. Walaupun taman perumahan ini kosong, saya kena beringat sebelum datang masalah yang lain. Jika ada orang yang datang dan mengikut arah paip itu disalurkan, rumah saya akan dipecah masuk dan digeledah. Buat masa ini saya tidak ada masalah sangat tentang air. Segalanya sempurna. Selepas mandi saya akan membawa pulang air untuk disimpan di dalam baldi di rumah. Untuk mencuci muka dan membasuh.

Baldi di kedua belah tangan terbuai-buai saat saya mengelak dari terpijak lopak. Kain tuala yang diselimpang di bahu sudah semakin melorot ke bawah. Saya berjalan lebih laju dengan diikuti Saigon di belakang menuju ke pili bomba yang tidak berapa jauh kelihatan. Malam ini terasa dingin dan suram. Setiap lorong terlihat kelam dan sunyi. Di beberapa tempat senang terlihat kelip-kelip yang beterbangan. Bunyi suara cengkerik melawan sahutan katak. Angin yang menghempas-hempas daun pintu dan desiran lalang dan rumput kering yang berkeresek seperti sedang berbisik ke telinga. Mewujdukan kombinasi intim antara romantis dan angker.

BERCAKAP DENGAN JUNWhere stories live. Discover now