Bab 1

19.3K 233 16
                                    

BOSAN! Memerhati Faiqa berlama-lama memilih sepasang jam tangan boleh membuatkan Hazrul gila. Menyedari betapa lambatnya waktu berlari mengundang keluhan. Dia bingkas berdiri. Raut tertekan dihidangkan pada Faiqa yang terpinga-pinga.

"Nak pergi mana?" Faiqa tengadah.

"Aku tunggu kat luar. Panggil aku bila kau dah siap."

Keluar dari kedai menjual jam, Hazrul melingarkan pandangan ke sekitar ruang. Tercari-cari perkara yang menarik minat. Sekurang-kurangnya dapatlah dia menghiburkan hati sementara menunggu Faiqa yang entah bila akan menamatkan sesi pemilihan hadiah sempena ulang tahun perkahwinan ibu bapanya.

Tanpa tujuan, Hazrul mengatur langkah. Melepasi satu kedai ke satu kedai. Tiada apa yang berupaya memancing tumpuan. Bilangan pengunjung semakin bertambah membanjiri setiap tingkat bangunan membeli-belah. Terasa sesak kepala berjalan di celah-celah keramaian.

Rimas!

Ikutkan hati, mahu saja Hazrul kembali ke tempat letak kereta. Menunggu di sana lebih baik berbanding terpaksa berasak-asak dengan orang ramai.

Baru hendak berpatah arah, perhatian Hazrul dicuri kelibat seorang wanita yang melintasi. Ukiran senyum di rekahan bibir nipis milik wanita itu membius saraf.

"Daliya..."

Nama itu terus meniti di bibirnya. Sebaris nama yang mengundang bermacam rasa. Sekonyong-konyong dada dicengkam kesakitan. Sakit yang belum sepenuhnya terhapus biar dua tahun perpisahan melanda.

Bibit cemburu menguasai tatkala figura Daliya yang senang tertawa menerpa ke pandangan. Betapa tidak, wanita itu bebas bergelak gembira sedangkan hatinya terluka rabak.

Kaki Hazrul angkat mahu menghala ke arah si isteri. Isteri yang meninggalkannya saat dia memerlukan. Isteri yang tidak setia!

Tapi langkah Hazrul terhenti apabila perasan kewujudan bayi kecil dalam pegangan Daliya.

"Anak siapa?" Hazrul tertanya sendiri.

Melihat mesranya anak kecil itu memaut leher Daliya, cukup untuk mengatakan hubungan erat yang terjalin antara kedua-duanya. Macam ibu dengan anak.
Benak Hazrul berperang sendiri.

'Daliya sudah berkahwin lain?'

'Sejak bila ikatan perkahwinan mereka terputus? Seingatnya, dia tidak pernah melontar lafaz cerai. Atau Daliya sudah menuntut fasakh?'

'Tetapi tidak pula dia menerima sebarang surat daripada mahkamah.'

Kelihatan Daliya mula bergerak dan entah dirasuk apa, Hazrul ikut mengekori.

Berselindung di celah keramaian, Daliya yang ditemani wanita lebih tua di sebelahnya diperhati penuh minat. Perasaan ingin tahu gagal dibendung. Dia benar-benar ingin tahu gerangan anak kecil dalam dakapan Daliya.

Ikut berhenti, Hazrul sekadar memandang Daliya berbual dengan wanita di sebelahnya sebelum mereka berpisah haluan.
Sementara wanita yang lebih berumur bergerak ke kedai berdekatan, Daliya mengorak langkah ke arah deretan bangku yang tersedia. Beg plastik diletakkan di atas bangku. Tubuh si anak dibetulkan. Cekap Daliya menggagau botol susu dari dalam beg yang disandang sejak tadi. Si kecil dalam pangkuan mulai beransur diam tika puting botol susu disumbat ke dalam mulutnya.

Menjalar perasaan tidak enak sewaktu Daliya leka mengusap kepala si kecil. Renungan penuh kasih yang muncul di sepasang mata bundar milik Daliya membuat Hazrul resah sendiri. Sesak kepala disendati persoalan yang tiada jawapan.

'Dari mana datangnya anak kecil itu?'

Aturan kaki semakin mendekat. Namun mujurlah cepat Hazrul tersedar. Menjaga jarak. Didesak rasa ingin tahu, hampir saja dia menyingkap kewujudannya ke pengetahuan Daliya.

Lelakimu Yang Dulu [TERBIT] Where stories live. Discover now