Bab 8

10.5K 123 14
                                    

TERTUNDUK-TUNDUK, Daliya meraba ke dalam beg. Mengeluarkan kunci dan telefon pintar. Menyentuh skrin, nama Ibu Maryam dicari. Memaklumkan dia akan datang menjemput wanita itu yang ditumpangkan di rumah salah seorang tetangga. Namun tidak sempat dia membuat panggilan ketika suara dehaman garau dan dalam bergema dari arah belakang.

Spontan berpaling, renungannya berlaga dengan Hazrul. Berdiri tegak sambil sebelah tangan diletakkan di dalam poket.

"Call siapa? Grab?"

Menghadiahkan jelingan, Daliya kembali memusingkan tubuh. Menghadap laman rumah Hajah Dian yang luas lebih menyenangkan berbanding Hazrul yang tidak lekang dari riak sinis.

"None of your business." Skrin telefon kembali jadi tatapan.

Keluhan Hazrul terhambur dalam bisu. Sejak awal pertemuan, dia dan Daliya tidak sepi dari perbualan-perbualan sinis yang saling menyakiti. Jika dilihat orang luar, tentu mereka tidak menyangka yang dia dan Daliya pernah saling menyayangi. Pernah mengecap bahagia di bawah bumbung yang sama.

Menyaingi Daliya, Hazrul mengeluarkan kunci kereta.

"Let me give you a ride home."

Daliya yang sibuk menaip di papan aksara segera mengangkat kepala. Sedikit terkejut dengan tawaran Hazrul yang tiba-tiba.

"Tak perlu susah-susah. I drive sendiri."

Kunci dalam genggaman digoyang-goyang. Biar Hazrul sedar, dia bukan perempuan lemah yang perlu bergantung dengan orang sekeliling. Terutama pada lelaki yang baginya tiada kaitan apa-apa.

"Oh, kalau macam tu I temankan you balik."

Mengerutkan dahi, Daliya merengus perlahan. Hairan. Dia bagai dapat menghidu usaha Hazrul mencari ruang untuk berdua-duaan dengannya.

"Kenapa dengan you?"

Mata Daliya yang bersinar garang dipandang seketika. Menyusuri kedegilan dan ketegasan yang masih sama. Tetap macam dulu.

"Tak ada apa yang tak kena dengan I. I just nak temankan you balik. Tak elok you balik seorang waktu malam macam ni. Come."

Hazrul menyentuh lembut belakang siku kanan Daliya. Mengajak wanita itu segera berlalu. Namun langkahnya terhenti apabila Daliya menjauh. Penolakan drastik si isteri sudah dijangka. Maka dia tidak terkejut ketika tangannya ditepis kasar.

"Jangan sentuh I!" Buntang matanya menikam renungan Hazrul. Liur ditelan sebelum dia menyambung kata.

"You tak perlu pening kepala risaukan keselamatan I. Tahulah I jaga diri sendiri. Bukan tu ke yang you ajar waktu you selalu tinggalkan I kat rumah dulu?"

Kali ini anak mata Hazrul berubah tajam. Nada Daliya yang naik satu oktaf menarik perhatian tetamu yang melewati mereka. Terus sahaja lengan wanita itu dicengkam lembut. Menarik tubuh Daliya menjauh.

"Kedegilan you tak membantu apa-apa, mo gra. Come, show me your car." Keras suaranya menahan getar rasa. Sekali gus memberi amaran pada Daliya yang memperlecehkan emosinya.

Mendengar kelainan ton Hazrul, Daliya tidak jadi menghamburkan kemarahan. Sebaliknya merengus kuat. Mengenali lelaki itu, dia tahu Hazrul sedang membendung kesabaran. Tentu lelaki itu tercuit dengan tingkahnya.

Merentap pergelangan tangan, menonong kaki menghala ke arah kereta. Tidak diendahkan Hazrul yang mengekori. Menekan alarm, sempat jelingan dihadiahkan pada si suami. Selamba membuka pintu di sebelah pemandu.

Lelakimu Yang Dulu [TERBIT] Where stories live. Discover now