Bab 2

18.4K 212 14
                                    

LIUR diteguk. Kesat. Sungguh, soalan yang terlantun tidak pernah dijangka. Setidak-tidaknya bukan dari mulut lelaki di hadapannya. Tidak sampai setengah jam datang bertandang, lelaki itu sudah melanggar batas privasi mengundang ketidaksenangan hati.

"Heidi Isyraf tu anak siapa?"

Sekali lagi soalan itu Idlan ulang setelah Daliya membatu tanpa kata. Hanya mempamer riak jengkel bersulam resah. Kebisuan si gadis meretakkan tembok kesabaran. Keras pendirian Daliya tidak selari dengan raut lembut di wajahnya.

"Kenapa tak nak jawab? Sebab tak tahu siapa bapak dia?"

Hilang sudah nada formal yang dibawa Idlan. Sebaliknya berganti sinis dan provokasi dengan harapan akan membangkitkan semangat Daliya membela diri sekali gus menyingkap kebenaran.

Dahi Daliya berkerunyut seiring dengusan kasar.

Ternyata perangkap Idlan mengena menerbitkan senyum di tepi bibir lelaki itu.

"Kalau pun Heidi tak ada bapak, kau peduli apa?" Melayang tutur sopannya. Marah dengan pertanyaan berbau penghinaan yang dicampak Idlan. Maruah diri persis berada di bawah telapak kaki Idlan yang tadi memperkenalkan diri sebagai kenalan lama.

Awalnya Daliya ragu tetapi sekejap saja. Perasaan itu lesap setelah Idlan menyebut nama penuh dan sedikit sebanyak latar belakangnya yang tidak semua orang tahu. Hatta Ibu Maryam dan Nazli sekali pun!

Namun kini, kesal menjalar dalam dada. Mempelawa lelaki itu minum bersama bukanlah dapat merungkai tanda tanya. Sebaliknya menambahkan sakit hati.

"Atau mungkin Heidi tu anak haram? Anak yang tak sah taraf?"
Terasa darah naik ke kepala. Frasa 'anak haram' menjentik emosi. Semerta Daliya diamuk kemarahan yang meluap-luap. Ibu mana yang suka mendengar tohmahan yang dilempar pada anak yang dikandung selama sembilan bulan? Siapapun Heidi, Idlan tidak berhak mempersoalkan taraf satu-satunya anak yang dia punya!
Menolak kerusi ke belakang, Daliya bangun. Sepasang mata bundar melempar renungan tajam. Memberi amaran pada Idlan yang beraksi selamba.

"Kalau kau datang nak menghina aku, menghina anak aku, kau boleh berambus dari sini! Pergi! Aku tak nak tengok muka kau!" Nadanya sudah meningkat beberapa oktaf. Dia sudah tidak kisah kalau Ibu Maryam terjengul keluar. Lantaklah kalau jiran-jiran mahu menelinga. Di hadapan jantan seperti Idlan, Daliya tidak perlu menjaga adab dan tatasusila. Sementelah lelaki itu pun berkurang ajar.

"Woah, tak perlu halau aku sampai macam tu sekali! Aku cuma nak tahu siapa Heidi Isyraf. Itu aje. Kenapa kau nak mengamuk pulak? Kalau betul dia bukan anak haram, kenapa kau diam? Bagitahu ajelah perkara sebenar."

Idlan enggan berganjak. Perubahan Daliya tidak sedikit pun menggugat keberanian. Yang penting, sifat ingin tahu di kepala harus dibubar. Tetapi misinya tertangguh dek peribadi Daliya yang menjengkelkan. Terlalu tegas!

"Kau tak ada hak nak tahu tentang anak aku! Biarlah dia ada bapak ke tak ada pun, aku yang jaga dia. Tak ada bapak pun dia boleh hiduplah! Bapak dia pun tak pernah ambik tahu, yang kau sibuk kenapa?!" Melengking suara Daliya menunjukkan kemarahannya sudah sampai ke kemuncak. Tidak boleh bersabar lagi dengan kerenah manusia seperti Idlan. Muncul tiada diundang, membawa soalan-soalan yang merimaskan.

"Pergi!!"

Dalam terpaksa Idlan bangun juga setelah dua kali dijerkah. Riaknya tegang. Malu apabila diperlakukan begitu oleh wanita di hadapannya. Nampak saja lembut dan sopan tetapi emosi mengalahkan angin puting beliung.

"Papa dia yang tak ambik tahu atau mama dia yang rahsiakan kewujudan Heidi?"

Sepantas kilat penglihatan Daliya beralih ke arah figura seorang lelaki bertubuh tegap yang mendekat. Entah bila lelaki itu menapak masuk ke laman rumah pun dia tidak sedar. Terlalu marahkan Idlan sehingga fungsi deria tergendala.

Lelakimu Yang Dulu [TERBIT] Where stories live. Discover now