Bab 9

11.2K 145 13
                                    

PERASAAN tidak selamat menyelubungi. Mendorong Daliya menyelak pintu dari dalam. Risau jika Hazrul bertindak gila. Merempuh masuk ke dalam kamarnya.

Melekapkan belakang kepala ke daun pintu, Daliya melorot ke lantai. Melepaskan pandangan ke atas. Hembusan nafas kasar ikut terlucut. Saat ini, bermacam rasa yang menjalar di sanubari. Buntu. Kesal. Sedih. Terluka. Semuanya bercampur-aduk. Membolak-balikkan sekeping hati yang mula diunggis sangsi.

'Betul ke apa yang aku buat?'

Hebatnya seorang Hazrul hingga mampu mengocak seluruh ketenangannya. Kekuatan yang dihimpun selama dua tahun bagai melebur. Tersungkur di bawah kaki si suami yang tegar menghancurlumatkan kasih dan cintanya.

Beberapa minit dia sekadar pegun melayani perasaan. Namun jelmaan figura Heidi menuntutnya segera membuat panggilan. Memaklumkan pada Ibu Maryam akan kegagalannya menjemput wanita itu malam ini.

Enggan membiarkan Hazrul berlama-lama, terus Daliya menyalin pakaian. Menyarung baju T dan seluar panjang. Penampilan selekeh adalah lebih baik ketika terpaksa berdua-duaan dengan Hazrul. Seboleh mungkin dia akan memastikan diri sendiri tidak akan melancarkan sebarang godaan pada lelaki itu.

Tidak lupa, sepucuk revolver diselitkan di bahagian belakang seluar. Sebagai pertahanan dan langkah berjaga-jaga.

Hazrul sedang menikmati minuman ketika Daliya menghampiri. Liar bola mata memerhati penampilan Daliya yang ringkas tetapi cukup memikat. Lebih-lebih lagi saat bertemu dengan kulit mulus si isteri. Helaian rambut hitam pekat berikal di hujung mencuri perhatian.

Melabuhkan duduk agak jauh, Daliya disapa rasa tidak selesa. Renungan sepasang mata berbentuk kacang badam itu mencetuskan rusuhan di sangkar dada. Bagai dapat ditebak perkara yang berlegar-legar di benak Hazrul.

Dalam gentar, Daliya segera mencekak rambutnya. Ingin diikat satu.

Bersandar tenang, mata Hazrul ibarat radar. Tajam mengesan kecanggungan dalam ulah Daliya.

"You should keep your hair loose, mi amor."

Garau suara Hazrul mematikan pergerakan. Mencorongkan pandangan, Daliya menagih penjelasan.

"Sorry?"

Bibir Hazrul menyenget. Kerdip matanya berubah rentak. Menggoda.

"It reminds me of our sweet time together. A session after our passionate lovemaking."

Di hujung bicara, Hazrul menyeringai. Sekadar cukup menampakkan beberapa batang gigi atas sahaja. Menakutkan.

Daliya telan liur. Patah kata Hazrul berjaya membuatnya putus nafas. Tak semena-mena mukanya membahang. Malu yang teramat. Lelaki itu sengaja mengheret ingatannya pada memori manis berdua yang pernah dikongsi bersama.

'Shit!'

Seranah hanya di dalam hati. Kesal menumbuk bertubi-tubi. Hancur berkecai tekadnya untuk tidak menggoda.

Tanpa bertangguh, terus sahaja rambutnya diikat. Tidak mengendahkan Hazrul yang mahu bermain-main.

"Jangan buang masa. We're here to discuss!"

Jelas dan tegas. Mengharamkan ruang yang memungkinkan dia dan Hazrul bertaut semula. Posisi mereka kala ini boleh disifatkan sebagai sangat bahaya. Ibarat berdiri di tepi cenuram. Bila-bila masa sahaja boleh tergelincir ke bawah.

Lelakimu Yang Dulu [TERBIT] Where stories live. Discover now