Bab 7

10.9K 145 15
                                    

RESAH! Semuanya gara-gara Hazrul. Kalau bukan kerana lelaki itu mendedahkan hubungannya dengan Hajah Dian, tentu Daliya tidak perlu berada di tengah-tengah keramaian meraikan majlis ulang tahun perkahwinan ibu bapa angkat lelaki itu. Lebih baik dia duduk di rumah, meluangkan masa berkualiti bersama anak bujang kesayangan.

Namun keinginannya terpaksa ditolak ke tepi. Membiarkan Ibu Maryam berada di sini dengan kehadiran Hazrul yang tidak dapat dijangka tingkahnya membuatkan Daliya tidak mampu bernafas dengan tenang.

Maka sebab itu dia rela tersepit di rumah agam asing ini. Bermacam-macam alasan disua pada Ibu Maryam demi memastikan wanita itu berada di rumah. Menjaga Heidi untuknya.

"Hai."

Pantas dia berpaling. Senyuman kekok dihulur pada seorang gadis cantik yang menyapa.

"You assistant Ibu Maryam, kan?"

Tangan dihulur untuk bersalaman setelah Daliya mengangguk kecil.

"I Faiqa, anak Hajah Dian. Actually, I-lah yang cadangkan mintak my parents tempah langsir khas sempena majlis hari ni. I suka dengan jahitan you. Sangat kemas. Maybe next time I boleh tempah langsir dengan you lagi. Mungkin untuk raya nanti."

Kembang hati Daliya menerima pujian lebih-lebih lagi daripada anak seorang usahawan yang disegani. Tetapi reaksi yang terpampang sekadar biasa-biasa saja. Tidak mahu dilabel bangga diri.

"Kedai kami sentiasa mengalu-alukan tempahan dari Cik Faiqa."

Sekadar berbasa-basi, menghargai kesudian Faiqa menaruh kepercayaan padanya.

"No, just Faiqa. You buat I stress sebab teringat office."

Daliya tertawa kecil. Senang dengan perwatakan Faiqa yang selamba. Dia hanya mengangguk ketika Faiqa meminta keizinan untuk duduk di sebelah. Siapa dia mahu menghalang keinginan anak perempuan Haji Fuad dan Hajah Dian, pasangan veteran yang dirai.

"Mummy sangat cerewet kalau bab pilih tukang jahit. Tapi dia suka dengan langsir yang you jahit. Maksudnya, hasil kerja you memang bagus dan boleh dipuji. Bukan senang tau nak buat mummy I impress."

Daliya menyimpan senyum di hujung bibir. Perasaan kesal menerima undangan dari keluarga besar itu beransur-ansur pergi. Kehadiran Faiqa mengundang selesa.

"Sebenarnya abang angkat I yang recommended kedai you. Mulanya I pelik jugak sebab orang macam Hazrul tu boleh tahu kedai jahit. Setahu I, dia tu pandai main dengan besi aje. Tak sangka pulak dia kenal kedai you. Atau..."

Faiqa berpaling, menentang bola mata Daliya.

"...you kawan dia?"

Terkejut. Kaku. Dapat Daliya rasakan degup jantungnya jadi tak menentu saat nama Hazrul meniti di bibir Faiqa. Tidak percaya ikut terselit sama. Hazrul yang mencadangkan kedai Ibu Maryam?

'Kenapa? Untuk buat dia terharu?'

Persoalan yang mengetuk fikiran segera bubar. Renungan Faiqa mengharapkan jawapan balas. Dikerah benak menyusun patah kata yang sesuai untuk didendangkan di telinga gadis itu.
"Err...tak adalah. I kenal Encik Hazrul pun masa dia datang kedai hantar sample kain. Mungkin sebelum ni dia dah biasa dengan Ibu Maryam."

Bohong! Namun Daliya mengeraskan hati, memaksa lidah memberi 'persembahan' terbaik agar berjaya mengaburi mata-mata umum daripada menghidu hubungannya dengan Hazrul. Tidak perlu disingkap ikatan yang tersurat kerana zahirnya Daliya dan Hazrul sudah lama berpisah.

Dahi berlapis. Sangsi menerima jawapan Daliya.

"In fact, Hazrul tak duduk sini tau. Dia datang bila ada hal penting aje."

Lelakimu Yang Dulu [TERBIT] Where stories live. Discover now