Seperti yang dijangka, doktor di klinik berdekatan rumah telah merujuk kes Nafisa ke general surgeon di hospital. Setelah perbincangan dibuat, Nafisa mengambil keputusan untuk berjumpa dengan general surgeon keesokan harinya juga memandangkan dia mahu cepat tahu apakah masalah tahi lalatnya yang sakit itu walaupun Nadira tidak dapat turut serta menemaninya disebabkan komitmen kerja.
Encik Nuruddin pula tidak diberitahu tentang berita ini kerana Nafisa tidak mahu ayahnya itu mengambil cuti semata-mata mahu menemaninya di hospital.
Disebabkan oleh itu, tika dan saat ini jantung Nafisa sedang berdegup dengan laju di dalam unit multidisiplin di Pusat Perubatan Prince Court. Ini pengalaman pertamanya datang ke hospital seorang diri. Manalah dia tidak cuak.
Di dalam unit multidisiplin ini ada terdapat empat bilik doktor pakar. Nafisa telah dijadualkan untuk berjumpa dengan Doktor Ibrahim Gazza. Bilik yang mana satu, Nafisa tidak tahu. Yang dia tahu saat ini adalah dia sangat menyesal mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan seorang diri di hospital tanpa ditemani oleh sesiapa.
"Sayyida Nafisa Nuruddin."
Dalam sibuk melayani perasaan gemuruh, Nafisa dengar namanya dipanggil.
"Saya," sahutnya laju.
Nafisa bangun. Dia memandang sekeliling. Eh, siapa pula yang memanggil?! Tak nampak rupa pun, bebelnya dalam hati.
"Sini, cik."
Nafisa laju memandang ke kiri. Dia muka pintu sebuah bilik, dia nampak seorang jururawat berpakaian ungu sedang menggamitnya supaya datang dekat.
Jauh benar. Patutlah tak nampak, bebel Nafisa dalam hati. Dia bergerak ke arah jururawat tersebut.
"Kita ambil berat badan dan tekanan darah dulu, cik."
Nafisa berjeda. Dia pelik. Dia datang ke situ kerana masalah tahi lalat yang sakit. Rasanya tak perlu mengambil tekanan darah pun.
"Saya datang bukan sebab masalah darah tinggi."
Jururawat yang bertugas terus tersengih.
"Prosedur biasa, cik. Memang wajib ambil tekanan darah dan berat badan dahulu sebelum berjumpa dengan doktor."
Merah pipi Nafisa mendengarkan tentang itu. Hesy, kalau dia mengikut saja tadi kan senang. Tak payahlah nak membangkang.
"Maaf."
"Tak apa. Cik duduk situ."
Arah jururawat tersebut. Nafisa mengikut. Dia duduk di atas kerusi yang ditunjuk. Tekanan darahnya diambil. Selepas itu beratnya ditimbang. Sepanjang kedua-dua proses berlangsung, Nafisa hanya diam membisu.
"Cik tunggu semula di sana sehingga nama dipanggil, ya?"
Nafisa akur lagi. Dah tak mahu cakap banyak macam tadi. Kaki diatur ke sofa yang diduduki awal tadi tetapi belum pun sempat punggungnya dilabuhkan, seorang jururawat yang bertanda nama Jihan datang mendekati.
"Cik Sayyida Nafisa, mari ikut saya."
Nafisa menarik nafas panjang. Debaran di dadanya yang sudah pun kendur tiba-tiba datang menyerang tetapi dia tetap juga gagah mengekori langkah Jihan.
Sepanjang perjalanan ke bilik doktor, banyak perkara yang Nafisa fikirkan. Apakah yang akan berlaku jika hasil pemeriksaan menyatakan bahawa dia menghidap penyakit kronik? Bagaimana harus dia memberikan reaksi? Satu demi satu soalan datang silih berganti sehinggakan Nafisa tidak sedar dirinya diperhati.
"Assalamualaikum."
Satu suara garau kedengaran di telinga. Nafisa tersentak. Dia memandang ke depan. Seorang lelaki berkemeja biru sedang tersenyum memandang wajahnya sambil duduk bersandar di kerusi berwarna merah hati. Nafisa memerhatikan sekeliling pula. Dia mahu memastikan di manakah dia berada.
YOU ARE READING
GEGAR HATI BANG GAZZA
General FictionTajuk: Gegar Hati Bang Gazza Penulis: Liz Haliza Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-072-4 Muka Surat : 576 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2018