Gazza memejamkan mata sambil bersandar ke kerusi menggunakan sepenuhnya sedikit masa terluang yang dia ada untuk melepaskan lelah. Hari ini Gazza tidak dapat membawa Amna berjumpa dengan Doktor Anjali seperti yang dijanji. Pukul dua nanti dia perlu melakukan satu pembedahan. Sebelah malamnya pula dia ada satu pembedahan lagi.
Gazza tidak risau tentang itu. Sebulan lagi dia akan bercuti selama dua minggu. Dia ada misi yang perlu diselesaikan. Misi mencari Gina.
Gina adalah satu-satunya kakak yang Gazza ada. Gina hanya tua setahun daripadanya. Jika Gazza dilihat sebagai anak yang mentaati kedua-dua orang tuanya, Gina pula dilihat punya sikap yang berbeza.
Gina suka memberontak. Gina suka menimbulkan masalah. Namun begitu, Gina masih lagi mengambil jurusan perubatan seperti mana yang Puan Syatilla mahukan dan menjadi doktor. Gina juga mengahwini lelaki yang dipilih oleh keluarga walaupun jodohnya dengan lelaki itu tidak panjang.
Selepas bercerai, Gina mengalami kemurungan sementelah pula dia diceraikan sewaktu sarat mengandungkan Amna. Tetapi kemurungan Gina tidak lama. Setelah Amna dilahirkan, Gina bangkit semula.
Gazza berasa sangat gembira melihat kebahagiaan Gina tetapi kebahagiaan Gina itu tidak lama setelah Puan Syatilla asyik mendesak Gina untuk menyambung pelajarannya supaya menjadi kebanggaan keluarga seperti mana Gazza. Walaupun sedih mahu meninggalkan Amna, Gina terpaksa juga akur dengan kemahuan ibu mereka. Gina ke Ireland selepas menyambut ulang tahun kelahiran Amna yang keenam dan semenjak itu Gina tidak lagi pulang.
Gazza pernah ke Ireland untuk mencari Gina tetapi dia terkejut apabila Gina tiada di alamat yang diberi. Bagaikan orang gila Gazza mencari Gina di merata tempat. Dia akhirnya pulang ke Malaysia dengan tangan kosong. Seminggu selepas pulang, Gazza menerima e-mel daripada Gina yang dirinya selamat dan minta Gazza berhenti mencarinya.
Gazza puas memujuk dan merayu Gina supaya pulang tetapi Gina tetap dengan pendiriannya. Dia hanya akan pulang setelah hatinya terbuka untuk berbuat demikian.
"Ghaz akan cari Gina sampai dapat," tekad Gazza berjanji pada diri sendiri.
"Sunyi saja bilik ni, doktor."
Gazza terkejut. Dia menjeling ke pintu yang tidak bertutup. Di situ Jihan sedang berdiri sambil tersenyum manis.
"Ada apa, Jihan?" soalnya rasa terganggu. Jihan memang selalu muncul tiba-tiba tanpa mengetuk dahulu pintu biliknya.
"Nak bagi doktor ni."
Tupperware berwarna hijau diletakkan di atas meja.
"Terima kasih."
Gazza buat wajah serius. Langsung tidak menunjukkan reaksi seronok menerima pemberian itu.
"Doktor tak nak tengok ke apa yang saya masak?"
Jihan masih lagi tidak faham bahasa. Dia masih lagi pegun di tepi meja.
"Sekejap lagi saya tengok. Saya sibuk sikit."
"Sibuk sampai lagu pun lupa nak pasang ya, doktor?"
Gazza senyum segaris. Selepas itu pandangannya hanya difokuskan ke skrin komputer.
"Saya keluar dulu ya, doktor? Jangan lupa makan."
Gazza angguk mengeyakan pesanan Jihan. Matanya masih lagi difokuskan ke tempat yang sama.
"Keluar pun."
Kata Gazza lega sebaik Jihan meninggalkannya. Gazza tahu Jihan sukakannya lebih daripada biasa. Layanan yang Jihan berikan tidak seperti layanan yang selayaknya seorang doktor dapat. Gazza tidak suka dengan layanan itu. Hubungan sesama rakan sekerja bukan sesuatu yang diminatinya. Dia mahu mencari wanita yang berada di luar bidang kerjayanya. Barulah pemikiran akan jadi lebih berkembang dan perbualan akan jadi lebih besar. Tak adalah topik yang sama saja dibincangkan apabila berjanji temu.
YOU ARE READING
GEGAR HATI BANG GAZZA
General FictionTajuk: Gegar Hati Bang Gazza Penulis: Liz Haliza Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-072-4 Muka Surat : 576 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2018