Bab 15

1K 26 1
                                    

Gazza merenung Menara Kembar Petronas di depan mata dari balkoni kondominiumnya. Menara kembar itu nampak kukuh dan utuh. Berbeza dengan hatinya yang hancur berderai dek peristiwa petang tadi. Dia ke mari membawa hati yang lara. Membawa hati yang disiat-siat oleh ibunya sendiri.

"Amna bukan disleksia. Dia keturunan mama, keturunan Ghaz dan Gina. Keturunan bijak pandai," tengking Puan Syatilla terkejut dengan berita yang Gazza bawa. Mana mungkin anak seorang doktor didiagnos sebagai penderita disleksia. Tidak mungkin!

"Apa salahnya jika Amna penderita disleksia? Mereka bukannya bodoh. Cuma menghadapi sedikit masalah dengan bahasa."

"Disleksia itu OKU, Ghaz."

"Mama... Jangan sekali-kali bercakap tanpa ilmu!" kata Gazza juga menengking. Dia kecewa dengan sikap Puan Syatilla yang mudah menjatuhkan hukum.

"Jika OKU sekali pun, apa salahnya? Hina sangatkah menjadi OKU?"

Puan Syatilla mencerlung memandang Gazza. Mendidih darahnya mendengar Gazza meninggikan suara.

"Semestinya mama malu. Mana mama nak letakkan muka mama ni di hadapan saudara mara dan rakan-rakan? Sudahlah selama ini mereka asyik bertanyakan tentang Gina, kini anaknya pula memberi masalah," bentak Puan Syatilla melepaskan geram.

"Ma..."

Gazza ketap bibir menahan diri daripada menyambung kata-kata dibimbangi sesuatu yang tidak elok keluar. Walaupun sangat marah tetapi dia tahu batas-batas agama. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata kesat kepada wanita yang telah bertarung nyawa melahirkannya.

"Mama tak kira. Mama tetap tidak akan mengizinkan Ghaz menghantar Amna menghadiri terapi disleksia. Mama tak mahu kita dicemuh. Cukup-cukuplah dengan apa yang mama hadapi dulu."

Gazza bangun. Dia cuba menenangkan diri. Orang kata jika tengah marah ubahlah posisi supaya rasa marah itu berkurang.

"Habis tu, mama nak biarkan saja Amna tidak dibantu?" tanyanya dengan suara yang sudah mula kendur.

"Mama tetap dengan pendirian mama. Amna akan mama asuh mengikut cara mama sendiri. Ghaz tak perlu masuk campur."

"Cara apa, ma? Cara apa yang mama maksudkan? Memaksa, memaksa dan terus memaksa. Itu cara mama, kan?"

Gazza meninggikan suara semula. Pada waktu ini tahap kesabarannya cukup nipis. Lebih nipis daripada kulit bawang.

"Jika mama tidak memaksa, adakah Ghaz akan jadi seperti apa yang Ghaz jadi sekarang?"

"Apa yang Ghaz jadi, ma? Apa yang boleh Ghaz banggakan?!" jerit Gazza semakin kuat.

"Ghaz mungkin berjaya dalam kerjaya tetapi Ghaz gagal. Ghaz membina keluarga Ghaz sendiri. Ada mama terfikir betapa sunyinya hidup Ghaz? Ada, ma? Ada?"

"Jangan kurang ajar dengan mama, Ghaz."

"Sebab sikap memaksa mama itulah Gina pergi. Sebab sikap pentingkan diri mama itulah juga papa kahwin dengan perempuan lain dan meninggalkan mama send..."

Pang!

Serentak dengan itu Gazza rasa pipinya pedih. Dia tergamam.

"Kurang ajar punya anak. You're too much, Ibrahim Gazza."

Gazza cuba untuk bersuara tetapi kerongkongnya terasa seperti tersekat. Dia naik ke tingkat atas mengambil kunci motosikal berkuasa besarnya dan berlalu pergi meninggalkan Puan Syatilla yang masih lagi menyinga.

Dan di sinilah dia sekarang. Di dalam kondominium yang dibelinya sejak beberapa tahun lalu. Di sinilah tempat dia menyendiri menenangkan diri setiap kali bergaduh dengan Puan Syatilla. Di sinilah tempat dia mengubati hati sendiri setiap kali dilukai. Kondominium ini menyaksikan esak tangis dan air matanya yang tumpah ke bumi.

"Mama memang tidak mungkin akan berubah," keluh Gazza sayu.

Dalam hiba mengenangkan nasib, Gazza terasa kocek seluarnya bergetar. Dia mengeluarkan telefon pintar dan memandang ke skrin. Pesanan WhatsApp daripada Nafisa dibaca.

Saya dah dengar lagu tu.

Gazza tidak membalas. Dia merenung wajah Nafisa di penjuru kiri telefon. Wajah itu dibesarkan dan direnung lebih lama.

Sejak pertemuan pertama mereka, Gazza terasa seperti pernah berjumpa dengan Nafisa tetapi dia gagal mengingati momen itu.

"Mungkin pelanduk dua serupa."

Gazza menyedapkan hati.

Wajah manis itu direnungnya lagi. Gazza dapat merasakan keserasian antara mereka. Ya, mungkin dia terlalu cepat membuat andaian tetapi dia percaya kepada gerak hati. Sejak berjumpa dengan Nafisa, hatinya yang kosong terasa seperti diisi. Argh, terlalu sukar untuk dia meluahkan perasaan itu. Hanya si empunya diri saja yang mengerti dan merasai.

"TAK reply pun."

Nafisa muncung. Tanda blue tick sudah kelihatan tetapi tiada sebarang balasan diterima.

"Aku tengok dia Online tapi..."

Nafisa diam. Kepalanya serta-merta terfikirkan sesuatu.

"Dia tengah layan siapa malam-malam buta begini?" fikirnya sedikit kecewa. Tidak sepatutnya Nafisa mempunyai perasaan itu tetapi dia tidak boleh menipu dirinya sendiri.

Nafisa mengubah posisi. Kali ini mengiring ke kanan. Telefon pintar masih lagi dipegang dan direnung tajam.

"Dah pukul sebelas setengah. Biasanya malam-malam begini orang layan awek. Takkan nak layan saudara-mara kut," keluh Nafisa lagi.

"Lagu teman tu ditujukan kepada aku kerana aku sedia membantu pada saat dia memerlukan pertolongan. Bukannya sebab dia ada hati dengan aku. Hailah, Nafisa. Tak payah nak perasan sangat. Dia siapa? Kau siapa? Kau hanya seorang teman."

Telefon pintar dicampakkan ke sebelah. Nasib baik tidak melantun jatuh ke atas lantai. Nafisa memejamkan mata cuba untuk tidur tetapi bayangan wajah Gazza tetap bermain dalam fikiran. Perbuatan sweet Gazza yang menyelitkan nota di dalam sampul surat dan menipunya menyatakan yang itu salinan keputusan biopsi begitu mengesankan. Dia gagal memadamkan kenangan itu.

Nafisa mengiring pula ke kiri. Dia cuba mengosongkan fikirannya tetapi Gazza tetap kukuh di situ. Tidak langsung memberi ruang untuk dia lena.

"Tolonglah pergi. Tolonglah," rayu Nafisa mengharap agar bayangan wajah Gazza hilang tetapi usahanya itu ternyata sia-sia kerana sehingga ke subuh Nafisa gagal melelapkan mata. Gazza masih lagi utuh dalam fikirannya.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 26, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

GEGAR HATI BANG GAZZAWhere stories live. Discover now