Hari ini sekali lagi Nafisa pergi ke tempat Cikgu Bulan walaupun ditegah oleh Encik Nuruddin yang bercuti demi untuk menjaganya. Dia rimas dengan perhatian yang diberikan oleh lelaki itu. Semuanya tak boleh. Macamlah besar sangat pembedahan yang telah dijalani sehingga perlu dijaga rapi.
"Kan cikgu dah bilang jangan datang. Berehat saja di rumah," bebel Cikgu Bulan sebaik ternampak Nafisa.
Nafisa mencemik.
"Cikgu ni sama macam ayah. Risau sangat. Fisa okey. Tak sakit langsunglah."
"Betul ke ni dah tak sakit lagi?"
Cikgu Bulan masih tidak yakin dengan jawapan Nafisa.
"Betul. Sakit lagi berak tau," gurau Nafisa mengusik Cikgu Bulan. Serentak dengan itu satu tamparan lembut hinggap di paha kiri.
"Eh, budak ni! Loyar buruk pula dia."
Nafisa ketawa kuat. Seronok mengusik Cikgu Bulan.
"Apa yang boleh Fisa bantu cikgu?" tanya Nafisa sebaik tawanya reda.
"Tak ada apa. Fisa duduk sajalah. Cikgu nak ke bank. Ada urusan sikit."
"Nak ikut."
Nafisa merengek. Dengan Cikgu Bulan malunya memang tiada. Dia telah mengenali wanita itu sejak berumur dua belas tahun lagi.
"Tak payahlah. Kalau nak tolong sangat, apa kata Fisa jagakan tempat ini untuk cikgu. Takut juga cikgu jika balik lambat. Cikgu-cikgu lain sibuk mengajar," cadang Cikgu Bulan.
"Boleh juga," angguk Nafisa terus bersetuju.
"Kalau ada sesiapa yang datang, Fisa call saja cikgu, ya?"
"Baik," angguk Nafisa lagi.
"Okey. Cikgu pergi dulu." Lambai Cikgu Bulan senang hati ada orang yang menggantikannya.
Tidak sampai setengah jam Cikgu Bulan pergi, Nafisa lihat ada kereta yang masuk ke pekarangan banglo menempatkan sekolah kelolaan Cikgu Bulan itu. Dia ke pintu utama yang berjeriji dan memerhatikan saja kereta Range Rover itu berhenti. Seorang lelaki dilihat keluar dan sebaik lelaki itu berpusing, Nafisa terpanar.
"Doktor Gazza!" jeritnya kuat.
Di pihak Gazza pula, dia pelik mendengar namanya disebut. Diamatinya wajah wanita berselendang biru yang berdiri tegak di muka pintu dan sebaik menyedari siapakah gerangan orangnya, Gazza ternganga.
"Sayyida Nafisa?" katanya tidak percaya.
Masing-masing berpandangan dan tergamam. Betul-betul macam cerita Hindustan. Cuma tiada muzik latar sahaja.
"Pak ngah."
Suara nyaring Amna yang entah bila melompat keluar dari kereta mengganggu tayangan filem sebabak itu. Apabila tersedar, baik Nafisa mahupun Gazza, masing-masing melarikan pandangan. Gazza mendapatkan Amna manakala Nafisa fokus membuka pintu jeriji yang menjadi perisai.
"Assalamualaikum," sapa Gazza memimpin tangan Amna.
Nafisa hanya mengangguk. Dia menjawab salam dalam hati.
"Tak jawab salam dosa." Spontan ayat itu keluar dari mulut Gazza. Ayat zaman tok kaduk yang Gazza sendiri sesal mengucapkannya.
"Dah. Dalam hati."
Nafisa menahan tawa.
Berbeza rupanya karakter Gazza apabila berada di luar. Pemalu sangat. Jangan malu-malu kucing sudahlah.
Gazza menarik tangan Amna. Dia mendekati Nafisa tetapi kedudukan mereka dihalang oleh tiga anak tangga.
"Dah baik?" tanya Gazza menunjuk pipi.
YOU ARE READING
GEGAR HATI BANG GAZZA
General FictionTajuk: Gegar Hati Bang Gazza Penulis: Liz Haliza Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-072-4 Muka Surat : 576 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2018