Episode 6

15 0 0
                                    

"Fate chooses our relatives, we choose our friends,"
- Jacques Delille -

"Assalamualaikum," ucap Dian sambil membuka pintu rumah homestay yang disewa di kampung itu selama seminggu. Dia mengambil cuti selama seminggu untuk meluangkan masa di kampung halamannya. Hari ini merupakan ulang tahun pemergian umi dan ayahnya. Dia merancang untuk mengadakan majlis tahlil buat mereka berdua, namun kakak-kakaknya pula sibuk. Terpaksalah Dian menguruskan majlis itu seorang diri. Dia telah mengupah orang masjid untuk menjemput orang kampung dan seorang ustaz untuk majlis yang akan diadakan pada malam esok. Makanan pula ditempah melalui khidmat katering. Majlis tersebut akan diadakan di masjid sahaja memandangkan Dian tidak mempunyai kunci rumah umi dan ayahnya itu. Dia agak terkilan apabila alongnya seakan-akan mahu mengawal segala harta peninggalan umi dan ayah mereka. Perbualan telefon dengan kakaknya diingati semula.

"Hujung minggu ni Di free tak? Boleh balik rumah umi kejap? Angah pun ada sekali nanti," Soal alongnya, Hanis di hujung talian.

Dian mengerutkan dahinya. Sudah hampir setahun pemergian umi dan ayahnya dan ini adalah kali pertama Hanis menghubunginya untuk berkumpul di kampung.

"Oh Di free je. Tapi kenapa tiba-tiba je ni along?" Dian berasa agak janggal berbual dengan Hanis. Mereka memang tidak rapat sejak dari kecil akibat jarak umur yang agak jauh iaitu sebanyak 12 tahun. Pemergian umi dan ayah mereka membuatkan hubungan mereka semakin renggang lebih-lebih lagi Hanis kini sibuk dengan suami dan anak-anaknya. Dian agak bimbang sekiranya dia berkahwin suatu hari nanti. Mungkinkah silaturrahim mereka akan terus terputus?

"Macam ni, along dah jumpa peguam untuk bahagikan harta umi dengan ayah, yelah diorang pun tak tinggalkan wasiat. Along bukannya apa, takkan nak biar tanah, rumah tu lama-lama," jawab Hanis dengan tenang. Suaranya agak tegas.

Dian menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia sudah dapat mengagak itu adalah tujuan utama Hanis memanggil mereka untuk berkumpul. Semuanya kerana harta. Dia tidak tahu mengapa setiap kali mereka berbincang tentang harta, hatinya bagaikan berkecai. Rasa seperti mereka tidak sabar menunggu pemergian umi dan ayah mereka. Rasa seperti apa yang mereka lakukan selama ini hanya kerana harta umi dan ayah mereka.

"Along. Dian tak kisah pasal pembahagian harta tu. Kalau boleh, Dian tak nak tahu pun pasal pembahagian harta itu. Cuma Dian nak, kita semua ada hak untuk masuk dalam rumah umi, yelah tu tempat kita membesar, banyak kenangan dengan arwah," suara Dian agak kesat. Dia tidak dapat membendung rasa sedihnya. Dia sedaya upaya mengawal dirinya agar tidak menangis.

"Kalau pasal tu along tak boleh janji. Sebab along ingat nak jual rumah tu dan semua tanah pusaka, hasil daripada tu akan kita bahagikan," jelas Hanis. Dian terdiam. Mengapa Hanis begitu pentingkan diri? Mengapa dia langsung tidak memikirkan tentang nilai yang ada pada rumah itu?

"Along, takkan rumah tu pun nak jual? Itu je kenangan kita dengan arwah. Macam ni lah along, tanah yang lain along jual lah. Rumah tu, Di tak bagi jual," kata Dian dengan tegas. Dia menggenggam tangannya. Geram bercampur sedih. Dia mendengar suara Hanis seperti sedang mengeluh.

"Baik kalau tu yang Di nak. Dengan syarat Di takkan tuntut hak Di pada harta yang lain," Hanis cuba membuat rundingan. Sekali lagi Dian terkesima. Pedih hatinya. Mengapa Hanis seperti dibutakan dengan harta?

"Okey, Di takkan tuntut. Semua tanah tu hak along dengan angah. Okey lah along, Di banyak kerja ni. Assalamualaikum," ucapnya seraya mematikan talian.

Walaupun itu yang telah dipersetujui, namun Hanis tidak mengotakan janjinya. Dia menyimpan kunci dan geran tanah rumah tersebut. Setiap kali Dian menelefonnya untuk bertanya tentang kunci rumah, dia akan berjanji untuk memberikan kunci tersebut apabila mereka bertemu. Sudahlah dia tinggal jauh di Pulang Pinang dan Dian pula di Selangor, memang susah untuk mereka bertemu. Hendak bersuara lebih-lebih, dia takut kalau-kalau itu akan mengeruhkan lagi hubungan mereka. Akhirnya Dian akur dengan permainan Hanis. Biarlah Hanis mengawal semuanya. Selagi rumah itu tidak dijual, dia akan mendiamkan diri.

Sky Changes - Our Different Story Where stories live. Discover now