Bab 1

564 44 0
                                        

14 tahun kemudian...

Pagi itu, cahaya mentari terbit menyinari Kampung Angin Biru, membangunkan suasana yang damai dan tenteram. Rayna melangkah keluar dari rumah kayunya yang sederhana, setiap langkahnya ringan namun penuh tujuan. Dia menuju ke kedai Selwah. Udara pagi yang segar menghembus lembut, sedikit sebanyak meredakan kekusutan di fikirannya yang masih bergelut dengan pelbagai persoalan.

"Selamat pagi, Rayna. Nak beli apa hari ni?" Sapa Selwah sambil tersenyum mesra. Wanita berusia lewat 40-an itu dikenali di kampung sebagai seorang yang penyayang dan bersifat keibuan. Kedai kecilnya sentiasa menjadi tumpuan penduduk untuk mendapatkan keperluan harian.

"Saya cuma nak beli beberapa buku roti dan telur," balas Rayna sambil menyerahkan beberapa keping duit syiling. Selwah segera menyediakan pesanan Rayna, memasukkannya ke dalam bakul rotan Rayna.

"Jangan lupa jaga makan, kalau tak nanti senang jatuh sakit," pesan Selwah dengan nada lembut, penuh kasih sayang. Bagi Selwah, Rayna bukan sekadar pelanggan, tetapi seperti anak sendiri. Penduduk kampung juga telah menganggap Rayna sebagai sebahagian daripada mereka, walaupun gadis itu lebih suka menyendiri.

Rayna tersenyum kecil dan mengangguk sebagai tanda terima kasih. Walaupun tubuh badannya kecil dan sering disalah sangka sebagai remaja belasan tahun, jiwa Rayna jauh lebih matang daripada usianya. Kehidupan bersendirian memaksanya membesar dengan cepat, mengajar erti ketabahan dan tanggungjawab sejak usia muda.

Baru sahaja Rayna mahu melangkah pergi, terdengar suara memanggil dari belakang.

"Rayna!" Qira, sahabat baiknya, berlari-lari kecil dengan senyuman lebar di wajah. Qira, anak ketua kampung, sudah lama dianggap seperti kakak sendiri oleh Rayna. Rambut hitam panjang Qira yang beralun menambahkan lagi kemanisan pada wajahnya dan membuatkan sesiapa saja senang dengannya. Sambil memegang bakul rotan berisi anggur, Qira melambai-lambai ceria ke arah Rayna.

"Ada apa kau senyum sampai ke telinga ni?" tanya Rayna dengan nada mengusik.

"Aku baru balik dari ladang Tuan Rum dan dengar sesuatu yang menarik!" Mata Qira bersinar-sinar, jelas tak sabar mahu berkongsi berita yang didengarnya.

Rayna mengerutkan kening sambil memandang Qira yang masih ceria walaupun baru pulang dari kerja pagi di ladang anggur Tuan Rum. Kadang-kadang, Rayna hairan bagaimana Qira boleh sentiasa kekal bertenaga. "Apa yang kau dengar?"

"Ada pertabalan Putera Mahkota! Semua rakyat dijemput ke istana untuk meraikan Putera Caesis!" Qira menjawab dengan penuh semangat, suaranya lantang seolah-olah dia sendiri yang mengumumkan berita itu.

"Oh, begitu..." Rayna menjawab acuh tak acuh, sudah menjangka Qira akan teruja dengan hal-hal istana.

"Rayna, kau tak teruja ke? Ini peluang untuk kita masuk ke istana! Siapa tahu, mungkin kita boleh jumpa Putera Cassis." Qira cuba memancing minat sahabatnya.

Rayna mengeluh kecil. "Kau pergilah dengan yang lain. Aku perlu ke hutan cari herba sebelum musim sejuk tiba. Banyak lagi ubat yang aku perlu buat."

"Sekejap saja. Lepas majlis, kita terus balik!" Qira merangkul tangan Rayna, cuba menyakinkan sahabat baiknya.

Rayna menggeleng perlahan. "Percaya cakap aku, kalau kau kata sekejap, mesti lama. Kau akan ronda seluruh kota dulu sebelum balik."

Qira tertawa kecil, tidak dapat menafikan kebenaran kata-kata Rayna. "Tapi Rayna, takkan kau tak nak tengok putera raja? Dia kan terkenal, tampan dan—"

"Qira," potong Rayna. "Aku tak berminat. Lainlah kalau dia nak turunkan kadar cukai kampung kita, itu lebih berbaloi untuk dipertimbangkan."

Qira menghela nafas, akhirnya menyerah kalah. "Baiklah. Tapi jangan cakap kau rugi tak ikut pula nanti." Dia melepaskan rangkulan tangannya sebelum tersenyum dan meletakkan segugus anggur ke dalam bakul Rayna. Qira kemudian berlalu pergi dengan sedikit kecewa, melambaikan tangan sebelum hilang dari pandangan.

Rayna tersenyum nipis, namun fikirannya kembali kepada hal-hal penting. Baginya, hutan dan herba adalah dunia yang lebih menarik daripada istana dan putera raja. Perjalanannya pulang ke rumah disambut dengan ketenangan pagi yang masih menyelubungi kampung itu.

Setibanya di rumah, Rayna segera menumpukan perhatian pada buku herba yang diambilnya dari rak. Buku itu ditulis dengan tulisan tangan yang halus dan penuh dengan petua kuno. Setiap ramuan perlu diikuti dengan tepat, atau ubat yang dihasilkan mungkin tidak berkesan. Rayna merasa kagum dengan kesabaran dan dedikasi penulisnya. Di sebalik halaman buku itu tersembunyi ilmu yang berusia beratus tahun.

Namun, ketukan di pintu mengganggu tumpuannya.

Rayna segera membuka pintu dan menyambut kehadiran seorang wanita berusia yang dikenali ramai di kampung itu. Dengan wajah ramah dan garis-garis halus di sekitar matanya, Makcik Tia yang bertubuh sederhana tersenyum lembut, menyerlahkan aura penyayangnya. Rambutnya yang sudah mulai beruban disanggul kemas di belakang kepala, dan dia memakai baju kurung berbunga halus yang kelihatan selesa namun kemas.

"Makcik Tia, masuklah," pelawa Rayna sambil memberi ruang.

Makcik Tia tersenyum sambil menghulurkan periuk kecil berisi bubur jagung. "Makanlah, Rayna. Makcik tahu kamu sibuk, tapi jangan lupa makan."

Rayna tersentuh dengan kebaikan Makcik Tia dan penduduk kampung yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya. "Terima kasih, makcik. Susah-susah saja..."

"Tak ada apalah, Rayna." Makcik Tia melangkah masuk dan duduk di kerusi berhampiran, meluruskan kainnya dengan tertib. "Makcik dengar anak-anak gadis kampung nak ke istana?"

Rayna mengangguk walaupun dia tidak begitu berminat. "Ya, mereka teruja nak tengok pertabalan Putera Mahkota."

Makcik Tia tersenyum kecil, jelas memahami sikap Rayna yang lebih gemar mengutamakan perkara praktikal berbanding hal-hal seperti itu.

Makcik Tia tersenyum, namun nadanya berubah sedikit, kini lebih serius, seolah-olah ingin menarik perhatian Rayna. "Dulu, kawan makcik pernah kerja di istana. Dia cerita tentang taman herba di sana... Katanya, ada segala jenis tumbuhan yang jarang ditemui. Bahkan, ada herba yang biasanya tak tumbuh di musim ini."

Rayna terkejut mendengar maklumat itu, walaupun dia cuba menyembunyikan minatnya. "Oh... begitu, ya?"

"Jangan berahsia dengan makcik. Makcik tahu kamu bukan berminat nak tengok putera raja, tapi herba di taman tu, kan?" Mata Makcik Tia bersinar nakal, cuba memancing Rayna. Dia tahu gadis itu lebih tertarik kepada ilmu perubatan berbanding acara-acara istana, tapi niatnya juga ingin melihat Rayna menikmati zaman mudanya, seperti gadis-gadis lain.

Rayna kaget mendengar dakwaan itu. Dia menggaru kepala, cuba mencari alasan untuk menafikan, tetapi melihat wajah Makcik Tia yang penuh keterujaan, dia hanya mampu tersenyum hambar.

"Tapi, ingat, nak berkeliaran di istana bukan mudah. Lagi-lagi waktu pertabalan macam ni, kawalan sangat ketat. Kalau kamu nak cuba tengok taman tu, berhati-hatilah. Makcik doakan kamu berjaya." Makcik Tia menutup nasihatnya dengan tepukan lembut di bahu Rayna, seakan-akan memberi galakan sebelum melangkah keluar dengan senyuman.

Rayna termenung seketika di depan pintu. Kata-kata Makcik Tia terus terngiang dalam fikirannya. Sejauh manakah teknologi di istana mampu menanam herba yang sepatutnya tak tumbuh di musim sekarang? Fikirannya terus melayang, merisik kemungkinan yang memanggil rasa ingin tahunya.

Namun, dia tahu istana bukanlah tempat yang selamat—lebih-lebih lagi bagi seseorang seperti dirinya, yang sepatutnya kekal tersembunyi. Mungkin... hanya mungkin, adakah ada sesuatu di istana yang boleh memberikan jawapan yang dia cari? Rayna menutup pintu perlahan-lahan, hatinya berbelah bagi antara keinginan yang tak dapat dilawan dan ketakutan yang menghantui setiap langkahnya.

*******

[Last Published: 27/5/2019]

[Update: 14/2/2025]

RAYNATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang