Prolog

1K 50 0
                                        

Ini adalah sebuah karya fiksyen. Nama, watak, tempat, dan kejadian yang dipaparkan adalah rekaan semata-mata. Sebarang persamaan dengan individu sebenar, hidup atau mati, atau dengan peristiwa sejarah adalah secara kebetulan dan tidak disengajakan.

-----

Rayna menarik hud merahnya lebih rapat ke kepalanya, cuba menenangkan dirinya dalam suasana yang semakin tegang. Dia merasakan ini adalah detik paling cemas dalam kehidupan 9 tahunnya. Mereka berada di dalam sebuah pondok kecil yang usang, tersembunyi jauh di dalam hutan. Pondok itu hampir runtuh, dengan dinding kayu yang sudah lapuk dan atap yang bocor di beberapa tempat. Cahaya matahari senja menembus celah-celah dinding yang retak, menghasilkan bayang-bayang panjang yang menambah suasana hening.

Di sudut terpencil pondok itu, Seiya berlutut di hadapan Rayna. Dia menariknya ke ruang sempit di antara almari kayu lama dan dinding yang hampir roboh. Pondok itu kecil, dan badan Rayna yang kecil memudahkannya untuk menyelit di ruang tersembunyi itu. Debu berterbangan di udara, memberikan bau hapak yang kuat.

"Dengar, duduk sini senyap-senyap. Jangan sesekali keluar. Faham?" kata Seiya, suaranya berbisik namun penuh ketegasan. Mata keemasan Seiya kelihatan bersinar dalam kegelapan pondok yang redup, memperlihatkan kegelisahannya yang cuba disembunyikan.

Rayna mengangguk perlahan, matanya tidak dapat lari daripada menatap wajah Seiya yang dipenuhi kebimbangan. Jantungnya berdegup kencang seolah-olah dapat merasakan ada bahaya besar di luar sana. Suara dedaunan yang bergesel di luar menambah rasa tidak selesa di dalam dirinya.

"Seiya, kau nak pergi mana?" Suara Rayna bergetar ketika dia menarik lengan baju Seiya. Tidak... dia tidak sanggup membayangkan apa yang mungkin terjadi kalau Seiya tidak kembali.

Seiya bangkit dengan berhati-hati, seakan-akan setiap pergerakan perlu dilakukan dengan penuh waspada. Sebelum keluar dari pondok, dia menoleh semula ke arah Rayna.

Seiya memaksa senyuman, satu senyuman yang langsung tidak dapat menenangkan hati Rayna. "Aku janji aku tak pergi mana-mana. Mana aku sanggup tinggalkan kau." Kata-katanya seperti ingin memberi jaminan, tapi hanya menambahkan kegusaran Rayna.

Sebelum Rayna sempat membantah lebih lanjut, Kazuki berpaling dan menutup tempat persembunyian Rayna dengan beberapa papan kayu tebal. Dalam sekelip mata, dia hilang dari pandangan, meninggalkan Rayna dalam kesunyian yang semakin menekan.

Rayna menahan nafas, merasakan dada seakan dihimpit oleh rasa takut yang semakin memuncak. Apa sebenarnya yang Seiya sembunyikan daripadanya? Mangunya dalam hati. Wajah Seiya yang penuh kegusaran tadi bermain-main di fikiran Rayna. Segalanya terasa serba tidak kena.

Sebaik sahaja Seiya meletakkan papan terakhir untuk memastikan Rayna tersembunyi dengan selamat di ruang sempit itu, pintu pondok yang sudah usang terbuka perlahan dengan bunyi berkeriut. Dalam kegelapan yang semakin pekat, satu bayang hitam muncul melangkah masuk, diikuti oleh beberapa lagi lelaki berpakaian seragam gelap. Nafas Seiya terhenti seketika ketika melihat mereka—setiap seorang memegang parang besar yang berkilauan, memantulkan sisa cahaya matahari yang masuk melalui celah-celah pondok.

Mereka mengenakan kulit serigala yang lengkap dari kepala hingga ke ekor dibelakang mereka seperti mantel. Kulit serigala itu memberi kesan menakutkan seolah-olah mereka adalah bayangan dari makhluk liar yang sama. Setiap langkah mereka bergema di lantai kayu yang sudah reput, seakan melodi kematian yang semakin menghampiri.

Seiya berdiri kaku, cuba menahan degupan jantungnya yang semakin laju. Dia tahu dia perlu berdiam diri, tetapi kehadiran musuh yang begitu dekat membuatkan adrenalinnya melonjak. Pandangannya beralih kepada papan yang menyembunyikan Rayna, cuba meyakinkan dirinya bahawa dia telah melakukan yang terbaik untuk melindungi gadis itu.

RAYNATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang