Rayna membelek gelang yang kini melingkari pergelangan tangannya—barang kecil yang diperolehnya daripada seorang peniaga wanita tua ketika dia berjalan seorang diri siang tadi. Udara di pasar ketika itu masih dipenuhi bau rempah dan herba kering, manakala kedai-kedai terus sibuk dengan urusan jual beli seperti biasa.
Dia tidak berniat untuk membeli apa-apa, hanya sekadar melihat-lihat. Namun, Rayna berhenti di hadapan sebuah kedai kecil yang tersembunyi di celah deretan gerai rempah dan tekstil. Daripada luar, ia kelihatan seperti menjual barangan biasa, tetapi deria Rayna menangkap sesuatu yang berbeza. Perbualan antara beberapa pelanggan yang berbisik-bisik, seolah-olah bimbang kata-kata mereka didengar oleh orang yang tidak sepatutnya menarik perhatian Rayna.
"Kenapa kita perlu meraikan putera tak berwajah itu kalau kita tetap tak mampu dapatkan rawatan?" seseorang berbisik geram.
"Kalau Travis tu raja yang adil, kita takkan terpaksa buat semua ni secara sembunyi. Ubat-ubatan sepatutnya untuk semua orang, bukan untuk golongan yang mampu saja."
Di dalam empayar ini, adalah perkara umum bahawa pengedaran ubat dan rawatan untuk kegunaan peribadi atau komersial adalah dilarang sama sekali. Segala bentuk perubatan hanya boleh didapati di Rumah Hijau, pusat rawatan rasmi yang dikawal ketat oleh pihak istana. Namun, kos rawatan yang dikenakan sangat tinggi, terutama bagi golongan Homo Sacer—rakyat biasa yang tidak mempunyai sebarang hak istimewa. Mereka yang tidak mampu hanya boleh berharap pada tubuh mereka sendiri untuk sembuh, atau bergantung kepada penjualan ubat haram yang dilakukan secara senyap-senyap oleh penduduk tempatan tanpa pengetahuan ihak istana.
Sebelum Rayna sempat mencerna kata-kata itu, seorang wanita tua masuk ke kedai itu dalam keadaan terbatuk-batuk. Tubuhnya kelihatan lemah, setiap langkahnya berat seolah-olah seluruh tenaganya telah habis dimamah penyakit. Tubuhnya membongkok sedikit, tangannya menggigil ketika dia menghampiri pemilik kedai. Tanpa banyak bicara, tuan kedai mengeluarkan sebungkus kecil kain hitam dari bawah meja dan menyerahkannya kepadanya.
"Semoga cepat sembuh," bisik tuan kedai, suaranya perlahan tetapi penuh erti.
Wanita itu menerima bungkusan tersebut dengan tangan yang lemah. "Ada tak ubat untuk hilangkan rasa mual?"
Tuan kedai menggeleng. "Minum air halia. Itu saja yang aku boleh sarankan."
Rayna mengerutkan dahi. Walaupun dia tidak asing dengan dunia perubatan, ada sesuatu yang tidak kena dengan situasi ini. Mengapa kerajaan begitu ketat dalam mengawal rawatan? Dan apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam Rumah Hijau?
Saat wanita tua itu melangkah keluar dari kedai, perasaan Rayna semakin kuat—ada sesuatu yang sedang disembunyikan di sebalik sistem ini.
Sebelum kejadian pertemuannya dengan Iker, Rayna sedang menelusuri lorong pasar yang semakin lengang apabila langkahnya terhenti apabila terdengar suara serak seorang wanita tua memanggilnya.
"Anak muda, mari sini. Lihat apa yang aku ada," ujar wanita itu dengan senyum penuh makna, seolah-olah telah menunggu kedatangannya sejak tadi.
Rayna berpaling dan mendapati dirinya berdiri di hadapan sebuah gerai kecil yang usang. Dibandingkan dengan kedai lain yang dipenuhi dengan barangan keperluan harian, gerai ini lebih berbeza—ia dipenuhi pelbagai jenis hiasan dan aksesori buatan tangan, setiap satunya dihiasi batu permata beraneka warna. Ada yang berkilauan seperti bintang, ada yang suram seperti malam tanpa bulan.
Rayna mengerutkan kening. Matanya melirik ke arah wanita tua itu, yang kini sedang meneliti wajahnya dengan pandangan yang tajam, seolah-olah membaca sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh orang lain.
"Kau bukan berasal dari sini, kan?" suara wanita itu lembut tetapi bernada pasti.
Rayna tidak memberikan jawapan, tetapi itu tidak menghalang wanita tersebut daripada terus bercakap.
ANDA SEDANG MEMBACA
RAYNA
FantasyRayna, gadis berusia 16 tahun, hidup bersendirian di sebuah perkampungan kecil jauh dari kota. Berbekalkan ilmu perubatan berasaskan herba yang diturunkan oleh neneknya, dia menyara hidupnya dengan memberi rawatan kepada orang kampung. Selepas kampu...
