Bab 3

390 35 0
                                        

Rayna hanya berjalan tanpa arah tujuan, membiarkan kakinya membawa menjelajah kawasan baru ini. Suasana lengang di sekitar gerai akibat perarakan membolehkan Rayna menikmati kebebasan tanpa perlu bersesak dengan orang ramai. Baginya, ini mungkin kali pertama dan terakhir dia dapat berada di kota Wokok, jadi dia mengambil kesempatan untuk meneroka kawasan baru ini.

Namun, kegembiraannya tidak bertahan lama. Tiba-tiba suasana bertukar riuh-rendah. Orang ramai mula berbisik dan bergerak ke tepi, memberi laluan kepada seseorang yang sedang berjalan di tengah-tengah. Rayna memerhatikan dari kejauhan, tertanya-tanya apa yang berlaku. Perlahan-lahan, dia melihat seorang lelaki berjalan dalam keadaan berdarah. Tangannya menekan perut, dan darah mengalir deras, meninggalkan jejak merah di sepanjang jalan.

Tiada siapa pun yang tampil membantu lelaki itu. Mereka sekadar memerhati dari jauh, berbisik-bisik tanpa bertindak. Rayna menarik hudnya lebih rapat ke wajah, cuba untuk tidak terlibat. Fikirannya berputar, memikirkan risiko jika dia masuk campur dalam situasi seperti ini.

Dari jauh, Rayna nampak beberapa pengawal yang bergerak pantas ke arah lelaki tersebut setelah mendengar berita tentang kejadian itu. Lelaki itu menyedari kehadiran pengawal dan segera cuba melarikan diri, merempuh orang di sekelilingnya. Rayna segera bergerak ke tepi, cuba menjauhkan diri dari kekacauan yang semakin meningkat.

Namun, dalam sekelip mata, lelaki berdarah itu sudah berada betul-betul di hadapan Rayna. Matanya yang lemah seakan mencari pertolongan, sebelum dia hilang kawalan dan rebah ke arah Rayna. Kekuatan lelaki itu yang sudah hampir tiada menyebabkan mereka berdua jatuh ke tanah. Rayna tergamam, tangan dan pakaiannya kini berlumuran darah.

Kecederaan lelaki itu nampak parah, seolah-olah dia ditikam berkali-kali. Nafasnya semakin lemah, dan dalam keadaan keliru, Rayna hanya mampu memandang wajahnya yang penuh dengan kesakitan. Orang ramai mula berkumpul, tetapi tiada siapa yang berani mendekat atau membantu.

Rayna tahu dia perlu buat keputusan—untuk membiarkan lelaki itu di situ dan melarikan diri seperti orang lain, atau mempertaruhkan segalanya untuk membantu lelaki yang mungkin sedang diburu ini.

Pengawal tiba dengan cepat, segera mengepung Rayna dan lelaki yang sudah tidak sedarkan diri itu. "Tangkap dia!" arahan tegas salah seorang pengawal membuatkan Rayna berasa tertekan. Mereka memandang Rayna dengan curiga, siap sedia untuk bertindak.

Dalam keadaan cemas, Rayna meraba tubuh lelaki itu dan merasakan sesuatu yang sejuk dan keras—seperti logam berbentuk segi empat tepat. Hatinya berdebar-debar. Jika apa yang dirasakannya betul, logam ini bukan sembarangan benda.

Dengan cepat, Rayna mengeluarkan logam itu dari dalam pakaian lelaki tersebut dan mengangkatnya untuk ditunjukkan kepada pengawal. "Tolong...!" Dia cuba bersuara, berharap pengawal akan memahami situasinya.

Dua orang pengawal itu saling berpandangan, dan setelah beberapa ketika, mereka mengangguk. Salah seorang daripada mereka berkata dengan nada yang lebih lembut, "Maaf sekiranya berlaku kekasaran. Kami akan bawa kamu berdua ke Bangunan Hijau segera."

Rayna mengangguk dengan penuh kesyukuran. Dia sudah menduganya. Logam di tangannya itu adalah bukti pengenalan diri yang biasanya dimiliki oleh Homo Altus—golongan aristokrat Wigazia. Logam ini bukan milik sembarangan orang. Nama "IKER" terukir dengan indah pada permukaannya, dihiasi dengan corak bunga lili yang melambangkan status tinggi pemiliknya. Ini adalah petunjuk bahawa lelaki ini, walaupun tidak sedarkan diri, mempunyai kedudukan yang tinggi dan penting di kalangan aristokrat.

Rayna menarik nafas dalam, cuba menenangkan dirinya di tengah situasi yang semakin tidak terkawal. "Hah... Aku cuma nak jalan-jalan dengan tenang..." dia menggumam, nada suaranya mencerminkan kekecewaan kerana hari yang sepatutnya damai kini berubah menjadi kekacauan yang tak dijangka.

RAYNATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang