PREVIEW OF COMPLETE CHAPTERS FOR THE BOOK

526 13 2
                                        

HILANG

Hasil Nukilan: J. Md Noor

PROLOG

Lelaki itu menggenggam erat pemegang tempat duduknya di saat kapal terbang yang dinaikinya melalui kawasan pergolakan awan. Kelihatan riak bimbang di wajahnya sambil mengalir sedikit titisan peluh di sekeliling dahinya. Keadaan di mana kapal terbang itu bergegar dan lampu kabin yang kadang-kala terpadam itu jelas mencabar tahap keberanian lelaki itu. Dia menjeling ke kiri dan kanannya di mana dia dapat melihat lelaki dan wanita lain yang turut kelihatan gelisah. Suasana itu menambahkan lagi perasaan risau di dalam hatinya. Tambahan pula, ini merupakan kali pertama dia menaiki kapal terbang. Kekurangan pengalaman menjadi kelemahannya hari ini. Tiba-tiba, pesawat itu bergegar lagi dengan lebih kencang berbanding yang sebelumnya. Lelaki itu dapat mendengar suara jeritan daripada beberapa orang penumpang di dalam pesawat itu. Dia sendiri tidak tahu sama ada perkara ini biasa atau luar biasa namun dia masih cuba bertenang. Lampu di dalam kapal terbang itu mula berkelip-kelip seperti saat lampu itu mula dibuka. Hanya Tuhan yang tahu betapa berdebarnya hati lelaki itu pada ketika itu. Dia mula merasakan tarikan graviti yang memaksa pesawat itu menjunam ke bawah secara kuat dan tiba-tiba. Suara jeritan penumpang kedengaran lagi, cuma lebih kuat pada kali ini. Setelah beberapa saat, kapal terbang itu mula terbang semula dengan keadaan biasa dan lelaki itu berasa amat lega. Kapten pesawat turut membuat pengumuman bahawa perjalanan kembali lancar dan meminta penumpang bertenang. Lelaki itu menghembuskan nafas yang panjang tanda syukur kepada Allah S.W.T.

BAB 1 – NURUL

Sekarang...

Aku cuma memerhatikan orang ramai yang lalu lalang di hadapan Kafe Starbuck di mana aku sedang menikmati minuman ku. Ini adalah antara waktu terbaik untuk aku menikmati minuman Caramel Mocha kegemaranku kerana aku tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan. Fikiran aku pun mula melayang ke suatu ketika dahulu. Telah sekian lama aku tinggalkan memori-memori dan wajah-wajah yang aku terkenangkan kini. Hakikatnya, aku jauh lebih matang dan aku bukan lagi diriku yang dulu yang selalu tercari-cari siapa diri aku yang sebenarnya. Mungkin benar, pengalaman merupakan guru yang terbaik. Selang seketika, kedengaran bunyi pengumuman dari corong pembesar suara yang terdapat di sekitar Kafe. Aku masih lagi menanti sehingga pengumuman tersebut melibatkan penerbangan aku. Mungkin memori-memori lalu ini kembali kerana hati ini yang sudah tidak keruan merindui kampung halaman yang begitu jauh di mata.

Entah mengapa, hati aku tiba-tiba terusik untuk pulang bertemu rakan-rakan lama yang telah aku tinggalkan. Lantas, aku terbayangkan wajah-wajah remaja mereka berbaju kurung putih, bertudung putih dan berkain biru iaitu pakaian seragam sekolah aku bagi yang beragama Islam. Di bangku sekolah dulu, pasti rakan-rakan aku itu ada bersama ku di mana sahaja aku berada. Masih terngiang-ngiang di telinga aku saat mereka memanggil nama ku, “Nu’un!!” Aku tersenyum memikirkan rakan-rakan lama ku itu. Laila, Sufiah, Tarishni, Zaiton, Ros dan Erin. Kalau hendak bercerita tentang diriku sendiri, tiada apa-apa yang menarik. Cuma perbezaan antara aku yang dulu dan aku yang sekarang sahaja yang amat ketara. Dulu, aku begitu digemari di kalangan rakan-rakan aku. Aku bukannya seorang yang pendiam seperti sekarang. Aku sendiri pun tidak pasti sejak bila aku mula berubah sikap menjadi seperti ini. Mungkin kerana aku telah selesai mencari siapa diri aku. Mungkin aku telah selesai mencuba semua perkara yang ingin aku cuba. Tapi sekarang, aku cuma rindukan saat-saat yang bahagia itu. Aku rindukan semua yang sanggup aku tinggalkan atas angan-angan kosong dan cita-cita palsu yang cuba aku kejar. Teringin rasanya untuk aku putarkan masa dan melakukan semuanya semula dengan tindakan yang berbeza. Walaupun aku mempunyai sebab yang kukuh untuk menyepi dulu, ia tidak dapat memberi justifikasi terhadap apa yang aku telah lakukan kepada insan-insan yang tiada apa-apa salah pada ku. Aku langsung tak pernah terfikir kalau tindakan aku itu menyakiti mereka. Aku begitu angkuh dan pentingkan diri sendiri. Yang ada kini hanyalah sesalan.

HILANG (Malay Language) - CompleteWhere stories live. Discover now