Pilot : Bagaimana Cerita Ini Boleh Bermula...

33.6K 61 0
                                    

Ketika matahari telah lama tenggelam di pantai barat, kelihatan seorang aku yang sedang melepaskan lelah di hujung sebuah anak tangga. Dari beranda rumah, kami seisi keluarga sedang lepak berehat minum malam sambil menghabiskan air dalam cawan masing-masing, juga sedang menghabiskan saki baki sisa umur kami.

Di mataku, terbayang bagaimana segala kepenatan ini bermula.

Adik bongsu - perempuan  - kahwin!

Empat perkataan di atas cukup untuk menggambarkan betapa aku dalam kepenatan, lebih penat dari menyertai perhimpunan tunjuk perasaan membantah keputusan kerajaan yang tidak cantik di mata pembangkang. Apa pun, mungkin korang rasa aku tidak ikhlas atau mungkin aku agak mengada, namun apa saja sangkaan korang, kalau korang sedia untuk mendengar, mari sini aku cerita selebar dunia.

Dalam keluarga yang seramai 16 orang adik beradik, perkahwinan adalah umpama acara tahunan. Kejap-kejap yang tu kahwin, kejap-kejap yang ni kahwin, lepas tu anak saudara pula kahwin, kemudian sepupu kahwin. Yang meriahnya,  dari tahun ke tahun, cara mengadakan majlis dan hidangan menjadi semakin besar dan kerja yang kian bertambah. Sementelah lagi bila adik sendiri yang berkahwin,  dengan orang jauh pula, ditambah dengan tekanan ketiadaan arwah ibu serta ayah yang uzur, maka kami adik beradiklah yang harus fikir dan uruskan segalanya.

Aku memandu TIGA HARI TIGA MALAM baru sampai ke majlis kahwin. Tanpa rehat dan tidur yang cukup, aku terus berkecimpung dalam sebuah majlis perkahwinan.

Ceritanya terus rancak dengan pengorbanan seekor lembu. Kami sama-sama sembelih dan melapahnya, mencincang tulang, menyiat kulit dan memotong seluruh daging lembu kepada cebisan-cebisan kecil.

Perut lembu kami tanam dalam-dalam.

"Kejap kejap kejap!  Stop!  Saya macam terbaca tadi, Encik Hamka ada cakap. Tiga hari tiga malam? Kenapa jauh benar memandu ke majlis perkahwinan adik Hamka?  Setahu saya, jika kita duduk di Perlis negeri paling jauh di semenanjung pun, 12 jam boleh sampai ke Pantai Timur. Kenapa jadi tiga hari tiga malam?"

Aku menghembus nafas yang panjang. Ternyata keluhan aku itu bukan ditujukan kepada kepenatan mengharungi majlis meriah walimatul urus siang tadi, bukan juga pada kepenatan memandu dalam jarak perjalanan yang jauh. Tapi kisah TIGA HARI TIGA MALAM aku menempuh suka duka dalam misi membantu cinta ini, ternyata membuatkan aku mengeluh jika ada pasangan yang bercerai setelah mengenangkan betapa susah payahnya para tetamu diuji sepanjang perjalanan menuju ke kenduri kamu.

Maka pesan aku pada semua laki bini di luar sana,  sebelum minta cerai atau lafaz talak, sebelum menggunakan alasan yang tidak munasabah menolak cinta, sila renung kisah salah seorang dari ribuan tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan kamu. Bagaimana susahnya mereka hendak tiba ke tapak kenduri anda, dengan luka di hati dan keringat di dahi,  juga penyeksaan zahir dan batin di jalanan. Namun mereka akhirnya tiba melihat anda berbahagia makan bersuap sedang derita di hati,  hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Baiknya mereka, tidak pula nengadu pada anda. Cukup Allah membalas segalanya. Namun buku ini tetap aku tulis, bukan dituju kepada adik bongsu aku seorang, malahan kepada semua laki bini di seluruh dunia termasuk aku sendiri, dengan sedikit pesanan.

"Kerisauan sebenar bukan untuk dunia. Bantulah pasangan anda selamat dari azab api neraka. Semoga WOHA sampai syurga. "

Maka bermulalah cerita,  mengimbas kembali tiga hari yang lalu...
































Pesanan : Jangan bimbang,  sebab kisah dalam buku ini tidak akan ada iklan produk kecantikan yang berulang-ulang diantara cerita.

Woha!

Kisah Laki BiniWhere stories live. Discover now