Bab 1: Hero Feminin

11.6K 276 6
                                    

1

Nadhrah berjalan ke arah kawan-kawannya yang sedang menanti di salah sebuah meja milik kedai kopi Starbucks itu. Dia tersenyum gembira. Hari ini merupakan hari terakhir bagi dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan selepas ini dia akan bebas daripada buku-buku sekolah. Dia tidak sabar untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat universiti nanti. Nadhrah bercita-cita untuk menjadi seorang peguam.

Setelah sampai di meja, Nadhrah meletakkan dulang plastik berwarna coklat yang berisi dua kapucino ais dan satu vanilla latte ke atas meja. Dia mengangkat sedikit baju kurungnya ke atas sebelum melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

"Nah, ni untuk kau orang semua. Hari ni aku belanja!" Dia menghulurkan air yang dibelinya tadi sambil menyilangkan kakinya di bawah meja.

"Thank you, Nad! You're the best!" Dengan pantas, Laila meraih cawan plastik berisi vanilla latte ke arahnya. Dia menyuakan penyedut minuman itu ke bibirnya lalu air itu disedut perlahan.

"So, apa rancangan kau cuti ni? Kau nak kerja ke?" Mira menanya sambil bermain dengan penyedut minumannya. Matanya meliar ke arah pelayan lelaki yang baru sahaja melintasinya sebentar tadi.

Nadhrah mengangkat bahunya. "Entah. Aku ingat nak mula ulangkaji untuk ujian kelayakan A-Level nanti." Telefon bimbit yang tersimpan di dalam beg sandang dibawanya keluar. Dia menghantar satu khidmat pesanan ringkas kepada ibunya mengatakan yang dia sedang berada di luar bersama-sama kawannya.

Hampir tersedak Laila apabila mendengar yang kawannya itu hendak mula mengulangkaji semula. Matanya membulat lalu dia mencekak pinggangnya dan pasang muka bengang. "Kau ni biar betul, Nad? Kita baru habis SPM ni tau! Lagi pun, kau tu tak payah belajar pun dah boleh luluslah ujian tu. Kau kan pandai."

Mira mengangguk laju. "Iyelah, Nad. Setahun ni kau dah korbankan diri kau untuk buku-buku tu. Aku rasa lebih baik kau rehat." Dia memberi cadangan. Dia tidak pernah risau dengan Nadhrah. Gadis itu sudah sering berada antara yang terbaik di dalam kelas dan dia pasti yang Nadhrah akan berjaya suatu hari nanti.

Nadhrah sekadar mengukir senyuman. "Eh, jomlah balik! Nak dekat pukul lima dah ni. Nanti mak aku risau pula." Dia bingkas bangun daripada duduknya lalu menarik beg sandang yang dia sangkut di tepi kerusi.

Laila dan Mira juga menuruti langkahnya. Mereka bertiga berjalan keluar dari kedai kopi Starbucks sambil mulut masih lagi ligat berbicara. Nadhrah melontarkan pandangannya ke atas jalan raya. Dia terfikir akan masa depannya. Mampu ke aku jadi yang terbaik untuk mak? Untuk jadi anak mak yang pertama yang jejak kaki dekat universiti?

Tiba-tiba langkah Nadhrah terhenti. Matanya tajam melihat kelibat seorang budak lelaki yang berumur lingkungan 12 tahun yang berdiri tidak jauh darinya. Budak lelaki itu sudah terduduk di atas padang bola yang kosong itu. Nadhrah terasa ada yang tidak kena dengan budak itu.

"Lai, Mira. Kau cuba tengok tu." Dia menundingkan jarinya ke arah budak lelaki yang sedang dikelilingi oleh lima orang budak lelaki lain yang berumur lingkungan 14 tahun. Ada di antara mereka yang memegang kayu besbol.

"Ada apa?" Mira mula menoleh ke arah tempat yang dimaksudkan oleh Nadhrah. Matanya mencari-cari apa yang dilihat oleh kawannya itu sebentar tadi. Mira jadi bingung apabila tidak melihat apa-apa.

Nadhrah mulai cuak. "Kita kena tolong budak tu!" Dia mula mengangkat kakinya dan berjalan ke arah budak lelaki itu tetapi dihalang oleh Laila dan Mira. Dia menoleh semula ke belakang.

"Nad, janganlah! Bahaya tau tak? Budak-budak tu kaki buli agaknya! Ada yang pegang kayu besbol lagi! Tak payahlah!" Laila menarik pergelangan tangan Nadhrah dengan pantas. Dia tidak mahu Nadhrah terlibat dengan masalah dan yang pasti dia tidak mahu terlibat dengan masalah juga.

Prima Facie [TERBIT] (Tajuk Lama: Mahkamah Cinta)Where stories live. Discover now