3
Hakim dan pendakwa lelaki itu tergamam saat mendengar kata-kata Nadhrah. Sembunyi dalam almari waktu pelajar-pelajar lain tengah sibuk tengok mangsa yang dah tak sedarkan diri dalam bilik kuliah? Kedua-duanya tidak percaya. Linda sudah tidak keruan. Kalau boleh dia mahu terus berlari pergi dari tempat itu. Kau masuk perangkap buaya, Lin. Dia memberitahu dirinya sendiri.
"Yang Arif. Cik Linda memberitahu yang dia ke kafeteria untuk membeli minuman sejurus sahaja kelas tamat. Saya ada mendapatkan maklumat daripada setiap pengusaha di kafeteria. Mereka memberitahu yang Cik Linda tidak ada ke kafeteria pada petang itu. Teman sebiliknya juga ada memberitahu saya yang Cik Linda pulang sewaktu jam sudah hampir pukul 5 petang. Nak tahu kenapa? Sebab Cik Linda sedang bersembunyi di dalam almari kelas sewaktu pelajar lain sedang sibuk melihat mangsa yang sudah tidak sedarkan diri."
Nadhrah berdehem perlahan sebelum menyambung semula. "Waktu itu sudah hampir jam tiga petang dan Razlanlah yang melihat kelibat Cik Linda keluar dari kelas yang sudah lama kosong. Semua ini adalah perbuatan Cik Linda yang bermotifkan dendam!" Nadhrah menundingkan jarinya ke arah Linda yang sudah lama termangu. Gadis itu menggenggam tangannya sekuat hati. Dia melihat Linda yang masih lagi tidak bergerak. Nadhrah mengukir senyuman kemudian berjalan ke arah mejanya semula.
Bukkk!
Nadhrah terjelepok ke atas lantai saat Linda menerkamnya dari hadapan. Entah bila gadis itu melompat keluar dari kandang saksi juga dia tidak tahu. Nadhrah terasa rambutnya ditarik oleh gadis itu dan lehernya pula dicekik oleh sebelah lagi tangan Linda. Nafas Nadhrah sudah tersekat. "Tak guna punya perempuan! Tak guna!" Nadhrah terasa tangan gadis itu semakin lama semakin kuat mencengkam lehernya. Dia terbatuk-batuk sambil cuba mencari nafas. Beberapa saat kemudian, Nadhrah terlihat tubuh Linda ditarik oleh dua orang pegawai polis yang bertugas. Untuk seketika, Nadhrah terasa lega. Dia mengusap-usap lehernya yang masih lagi terasa pedih.
"Tolong bawa Cik Linda keluar sebelum dia mencederakan orang lain! Perbicaraan akan disambung semula esok jam sembilan pagi. Semua boleh bersurai." Dengan pantas, hakim mengetuk papan kayunya. Dia bangun daripada duduknya lalu beredar keluar.
Nadhrah bangun semula sambil membetulkan belakangnya kemudian tersenyum. Sekali lagi dia melibaskan rambutnya yang sepanjang paras bahu itu ke belakang. "Oops, I did it again." Setelah melihat orang ramai sudah beransur pergi, dia mengangkat tangannya ke udara lalu menari seperti anak kecil di dalam bilik perbicaraan itu.
BIPPP!
Setelah memasukkan kata kunci yang betul, pintu apartmennya terbuka. Raffi melangkah masuk ke dalam apartmennya itu bersama dengan beg yang digalas di bahu juga bagasi hitam yang ditarik di tangan. Dia tersenyum. "Assalamualaikum." Dia memberi salam sebelum menutup semula pintu apartmennya itu.
Raffi mengatur langkahnya ke arah sofa dan terus melayangkan tubuhnya ke atas sofa empuk di ruang tamu apartmennya itu. Ya Allah, penatnya! Dia meregangkan tangannya sejauh mungkin kemudian diletakkan semula ke sisi. Sudah hampir tujuh tahun Raffi tidak pulang ke Malaysia. Dia rindukan negara kelahirannya itu. Walaupun dia sudah tidak mempunyai kedua-dua ibu dan bapanya, Raffi masih lagi mahu tinggal di Malaysia dan berkhidmat di negara sendiri. Dia teringat akan kata-kata ayahnya sewaktu dia kecil dahulu.
"Raffi." Encik Zaki meraih wajah halus anak lelakinya yang seorang itu. dia mengukir satu senyuman. Cepat benar masa berlalu. Dia terasa seolah-olah baru semalam Raffi dilahirkan. Kini, anak lelakinya itu sudah pun berumur tujuh tahun.
Raffi mengangguk perlahan. "Ye, ayah?"
Encik Zaki mengusap ubun-ubun anaknya dengan penuh kasih. "Grow up to be a good person that can change the world into a better place. Be a lawyer. Always remember to service above self. Make ayah and mama proud, okay?" Dia menasihati anaknya. Entah kenapa hari itu dia rasa tidak sedap hati.
YOU ARE READING
Prima Facie [TERBIT] (Tajuk Lama: Mahkamah Cinta)
RomancePRIMA FACIE SHERA ZULGHAFAR Sem. Malaysia RM26.00 Sabah/Sarawak RM29.00 Sinopsis: Agaknya apa yang terjadi apabila dua orang peguam kepala batu bertemu? Takdir menemukan Nur Nadhrah dan Ahmad Raffi sebagai rakan sepejabat di firma guaman yang sama...