Bab 10: Ego Wanita

2.6K 122 0
                                    

10

NADHRAH terasa dirinya dimalukan sekali lagi. Dia sekadar melihat sahaja lelaki yang sedang sibuk meneliti failnya. Sesekali lelaki itu mengangkat cawan plastik berisi kopi panas yang dibeli daripada mesin di pejabat tadi kemudian disuakan ke bibir. Dia meneliti fizikal Raffi daripada hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki. Melihat penampilan Raffi yang agak kemas, Nadhrah dapat mengagak yang sudah pasti lelaki itu seseorang yang mementingkan rupa. Dia juga merasakan yang Raffi seorang yang pengemas. Gaya dah stylo, tapi perangai hampeh!

Raffi mengerling ke arah Nadhrah yang masih lagi berdiri di platform sendirian sambil mindanya melayang entah ke mana. Kadang-kadang dia tidak mengerti dengan sikap gadis itu. Nadhrah seperti ada banyak personaliti. Sewaktu dia terjumpa gadis itu secara kebetulan di restoran tempoh hari, pada matanya Nadhrah seorang yang baik hati. Sanggup menolong orang yang tidak dikenali langsung. Sewaktu bersama klien pula, Nadhrah akan menjadi seorang yang tegas dan tidak boleh mengalah. Apabila gadis itu bersama Valerie dan Aiman, secara automatik dia akan menjadi seorang yang kuat merungut dan adakalanya dingin.

Kalau dengan aku, dia tunjuk belagak. Raffi tersenyum sinis kemudian berdehem perlahan. "Kerusi punyalah banyak." Dia mengetuk-ngetuk ruang kosong di sebelahnya menggunakan pen hitam yang dia pegang tadi. Secara tidak langsung, dia mempelawa gadis itu untuk duduk di sampingnya. Raffi kembali meneliti kes-kes yang baru dia dapat daripada Valerie tengah hari tadi.

Nadhrah buat muka menyampah sambil menjuihkan bibirnya. Nak ajak aku duduk tapi punyalah sombong. Dia melipatkan tangannya ke dada kemudian menoleh semula ke arah landasan LRT. "Tak payah. Kejap lagi sampailah LRT tu." Dia menggaru-garu lengannya yang baru digigit nyamuk tadi sambil mulutnya tidak henti-henti merungut.

Raffi kembali memandang fizikal gadis yang sedang berdiri di hadapannya itu. Jika Nadhrah tidak memberitahu yang dia sudah berumur 29 tahun, sudah pasti Raffi akan menganggap gadis itu sebaya dengannya. "Kalau didapati bersalah, Naziera akan dikenakan hukuman penjara 10 tahun. Tapi disebabkan dia bawah umur, Naziera akan dihantar ke institusi pemulihan dulu dan hukuman penjara akan dijatuhkan sebaik sahaja dia keluar nanti."

Telinga Nadhrah pantas menangkap maklumat yang diberikan oleh lelaki yang sedang duduk di belakangnya itu. Dia memalingkan kepalanya ke arah Raffi sambil tangannya masih lagi dilipatkan ke dada. Nadhrah mengangkat sebelah keningnya. "Jadi, betullah cakap saya yang Naziera bersalah?" Dia menyoal lelaki itu.

Raffi menggelengkan kepalanya. "Naziera tak bersalah." Dia menjawab ringkas dan masih lagi dengan pendiriannya.

Nadhrah meleraikan tangannya kemudian meraup wajahnya sejenak. "Apa yang awak nak buktikan sebenarnya Raffi? Dah terang-terang saya betul, awak salah. Bukti dekat mahkamah pun dah jelas menunjukkan yang Naziera bersalah! Apa lagi yang awak nak?" Dia mula melangkahkan kakinya ke arah lelaki itu.

Raffi pandang wajah gadis itu dengan pandangan kosong. "Sebab Naziera memang betul-betul tak bersalah. Dia kena perangkap dengan mangsa tu sendiri." Sekali lagi lelaki itu menjawab dengan wajah tenang. Langsung tidak wujud riak bimbang di situ.

Nadhrah mengeluh perlahan. Dia ni tak faham bahasa agaknya! "Buktikan dekat saya!" Jika benar apa yang dikatakan oleh Raffi, dia mahukan bukti supaya dia dapat menyokong kenyataan lelaki itu nanti.

Raffi mengangguk perlahan kemudian meletakkan pen hitam yang dia pegang tadi di atas fail. "Nak dengar satu cerita tak?" Lelaki itu melontarkan pandangan ke luar tingkap. Fikirannya kembali kepada waktu dia bersembang dengan Azlin di hospital tempoh hari.

SARAH menutup rapat pintu apartmennya dan terus mengatur langkahnya ke arah sofa di ruang tamu. Dia melayangkan tubuhnya di atas sofa yang empuk itu dan terus memejamkan matanya dengan erat. Kakinya terasa lenguh sekali akibat banyak berjalan menggunakan kasut tumit tinggi. Sesekali dia mengurut kakinya yang lenguh itu kemudian kembali berbaring di atas sofa untuk melelapkan matanya sebentar. Sarah kembali terduduk di atas sofa sambil mencampak beg tangannya ke tepi.

Prima Facie [TERBIT] (Tajuk Lama: Mahkamah Cinta)Where stories live. Discover now