6
"KALAU awak rasa nak meringkuk dalam penjara tu selama sepuluh tahun, awak boleh tipu saya dan cakap awak tak bersalah!"
Amukan Nadhrah mengisi seluruh pelosok ruang pejabat peguam bela awam itu. Aiman dan Valerie sudah terbiasa dengan sikapnya dan buat tidak kisah sahaja dengan gadis itu. Tetapi, bukan Raffi. Lelaki itu mengangkat wajahnya dan memandang ke arah Nadhrah yang sudah menghempapkan tangannya ke atas meja sambil memandang ke dalam anak mata kliennya. Gadi itu sudah mula menangis.
"Saya tak buat! I swear to God I did not do it! Tolonglah percayakan saya!" Pelajar perempuan itu merayu. Dipeluknya lengan Nadhrah sekuat yang mungkin. Dia mahu wanita itu mempercayainya.
Nadhrah menghela nafasnya kasar. Tangan gadis itu ditolaknya perlahan. Setelah meneliti semula bahan bukti yang terkandung di dalam fail yang Valerie berikan tempoh hari, Nadhrah yakin yang gadis itu bersalah. Hampir kesemua bukti menjurus ke arahnya sebagai pesalah. Nadhrah melabuhkan punggungnya semula ke atas kerusi. Dia tersenyum sambil memegang tangan gadis yang sudah menangis teresak-esak di hadapannya. Walaupun dia kasihankan gadis itu, tetapi Nadhrah tidak mahu kalah di dalam mahkamah. Dia bukan jenis yang suka kalah.
Tangan gadis itu diusap perlahan. "Macam ni ajelah, dik. Kan senang kalau awak mengaku aje yang awak bersalah? Akak boleh tolong kurangkan paling tak pun tiga empat tahun daripada hukuman penjara tu."
Mulut Raffi sedikit terlopong. Dia tidak percaya yang Nadhrah akan bertindak sedemikian. Semata-mata untuk menang di mahkamah, Nadhrah sanggup memaksa gadis itu untuk mengaku bersalah. Sedangkan gadis itu sudah bermati-matian memberitahu yang dia tidak bersalah. Ini bukan peguam yang aku tengok dekat kafe semalam. Peguam yang dia lihat di kafe semalam amat berbeza dengan Nadhrah yang ini. Wanita di kafe semalam sanggup menghentikan satu pergaduhan walaupun dia tidak mengenali siapa orang itu. Wanita yang Raffi jumpa semalam juga sempat memberikan wang kepada pelayan kafe yang sudah cedera itu.
Tetapi, kenapa Nadhrah yang semalam tidak ada pada Nadhrah di hadapan matanya kini?
Gadis itu bangun daripada duduknya sambil mengesat matanya yang basah itu. Dia tidak percaya dengan apa yang baru sahaja dia dengar. "Akak ni sepatutnya bela saya! Bukannya paksa saya untuk mengaku bersalah! Berapa kali saya nak cakap? Saya tak bersalah! Saya tak tolak dia jatuh dari tingkat tiga! Saya tak buat!"
Nadhrah sudah hampir hilang sabar. "Dengar sini! Kamu datang sini sebab kamu tak mampu untuk bayar peguam bela kamu sendiri. Kamu ingat akak ada masa ke nak layan defendan macam kamu ni? So, either you do it according to my way or you're going to stay in jail for ten years. Decide wisely!" Dia mencampakkan fail yang mengandungi maklumat kepada kes gadis itu ke atas meja.
Nadhrah lihat ada tangan yang menarik fail yang dia campak ke atas meja tadi. Dia memandang ke atas sambil melihat Raffi yang sudah berdiri di hadapan mejanya. Nadhrah masih lagi tidak bergerak. Dua pasang anak mata itu bertentang. Bibirnya masih lagi terkunci rapat.
"Bukan macam ni cara layan klien, Cik Nadhrah. Tak apa, dik. Saya akan ambil kes awak. Jangan risau. Here, this way." Raffi memberitahu sambil menarik fail yang gadis itu campak tadi ke dalam pegangannya. Sebelum dia makan budak perempuan ni, lebih baik aku selamatkan dia. Raffi menundukkan badannya ke arah gadis yang sedang menangis tadi. Dia memanggil pelajar perempuan itu tadi ke mejanya.
Nadhrah terasa seperti dirinya diperlekehkan. Aiman dan Valerie juga terkejut dengan tindakan Raffi tadi. Selama lima tahun Nadhrah bekerja di situ, tidak ada seorang pun yang pernah memarahi atau memperlekehkan dirinya sebegitu sekali. Tindakan Raffi tadi benar-benar menghina Nadhrah sebagai seorang peguam. Dengan kaki yang masih bengkak, Nadhrah berjalan terhinjut-hinjut ke arah Raffi yang sedang mendapatkan maklumat daripada gadis berumur 17 tahun itu tadi. Dia melipatkan tangannya ke dada.
YOU ARE READING
Prima Facie [TERBIT] (Tajuk Lama: Mahkamah Cinta)
RomantikPRIMA FACIE SHERA ZULGHAFAR Sem. Malaysia RM26.00 Sabah/Sarawak RM29.00 Sinopsis: Agaknya apa yang terjadi apabila dua orang peguam kepala batu bertemu? Takdir menemukan Nur Nadhrah dan Ahmad Raffi sebagai rakan sepejabat di firma guaman yang sama...