PROLOG

127 4 0
                                    

Vila Rose, pinggir Kuala Lumpur 1966

DIA memandang dua tubuh yang terbaring kaku di atas katil di dalam sebuah bilik. Kamar itu hanya diterangi dengan cahaya lampu tidur yang dipasang pada sisi setiap katil. Di luar hujan lebat masih lagi menggila. Sesekali panahan cahaya kilat menerangi suasana di dalam vila batu itu. Sejak tadi dia langsung tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Leka memerhatikan dua tubuh kanak-kanak berusia sekitar empat dan lima tahun yang bergelimpangan di atas katil. Darah membuak-buak keluar daripada luka akibat hirisan pada leher mereka. Membasahi dada dan meleleh hingga memenuhi permukaan tilam.

Bibirnya menyeringai menggambarkan akan kepuasan hatinya apabila melihat mayat-mayat itu tidak lagi bergerak. Pisau di tangannya yang terdapat kesan darah segar masih lagi digenggam erat. Ada titisan merah jatuh ke lantai dari hujung mata pisau tersebut. Kilat yang memancar disusuli dengan dentuman guruh di langit tidak dihiraukan. Masih ada tugas lain yang perlu dia selesaikan malam ini juga. Dia tidak punya masa yang banyak.

Perlahan-lahan susuk tubuh gadis berusia 15 tahun itu berpusing dan melangkah keluar dari kamar. Pintu kamar kemudiannya ditutup dengan perlahan. Tidak ada sebarang bunyi yang kedengaran.

Sepasang kakinya diayun menuju ke arah sebuah lagi bilik di sebelah hujung ruang di tingkat atas. Setapak demi setapak dia mendekati kamar itu. Darah pekat yang menitis dari mata pisau berbekas di atas lantai kayu. Mengikut sepanjang kakinya melangkah.

Dia terhenti betul-betul di depan pintu bilik yang tertutup rapat. Untuk beberapa detik gadis berambut lurus dan panjang itu hanya berdiri tanpa melakukan apa-apa. Suara angin yang mendesah keras tidak dipedulikan sama sekali.

Tangannya mula memegang tombol pintu. Perlahan-lahan pintu dibuka sedikit demi sedikit. Serentak dengan itu, sepasang matanya dihalakan ke dalam. Melihat pada dua susuk tubuh yang berbaring di atas tilam empuk. Sedar kedua-duanya sedang dijamu dengan lena yang cukup mengasyikkan. Lebih-lebih lagi ketika hujan begini. Rasa dingin melata hinggap ke segenap ruang dan sudut. Apatah lagi ketika lena disulam dengan mimpi yang indah.

Setapak demi setapak dia mendekati katil. Masih lagi memandang tajam dan penuh dendam pada dua susuk tubuh kepunyaan seorang wanita dan seorang lelaki. Bibirnya yang kering diketap tanda marah. Dia sedar kedua-dua empunya jasad itu mahu menghalau dia pergi dari sini. Sesekali dia tidak akan mengalah.

Dia menoleh ke arah lelaki yang sedang berbaring dalam keadaan amat nyenyak. Perlahan-lahan dia mendekati lelaki itu. Pisau di tangannya mula diangkat. Diletakkan mata pisau itu betul-betul di kerongkong lelaki yang bertubuh agak bulat itu. Tangan kirinya segera menekup mulut lelaki itu dan tanpa menunggu lama lagi, dia terus menarik dan menyorong pisau pada kerongkong lelaki malang itu. Darah menyembur keluar dan terpercik mengenai tubuhnya lagi.

Sepantas kilat lelaki itu membuka matanya seraya terbeliak besar. Mulutnya dibuka, namun tidak ada suara yang kedengaran melainkan hanya desah nafasnya yang mula terputus-putus. Kedua-dua tangannya menekap bekas luka di lehernya. Namun, itu tidak membantu menghentikan aliran darah yang makin banyak membuak-buak keluar. Ketika lelaki itu bergelut dengan nyawanya, dia mula bergerak menghampiri siperempuan pula. Sekali lagi dia melakukan perbuatan yang sama. Sedetik kemudian kedua-duanya menggelupur menyabung nyawa yang tinggal tidak seberapa itu sebelum terkulai dengan darah memenuhi katil.

Melihat apa yang terjadi, bibirnya menguntum senyum. Senyum yang menzahirkan rasa puasnya. Usai melakukan apa yang dirancang, gadis belasan tahun itu meninggalkan bilik tidur tersebut.

Dia menuruni tangga menuju ke tingkat bawah. Di luar, hujan masih lagi lebat menimpa bumi. Guruh sesekali berdentum mencelah. Tidak ada tanda-tanda akan berhenti.

Tiba di ruang tamu, dia tercegat sebentar. Kemudian dia menoleh ke satu arah. Gadis berambut panjang dan kusut itu bergerak menghampiri dinding di satu sudut. Matanya tajam memandang senapang yang diletakkan kemas di situ. Pisau segera dilepaskan. Tangannya mengambil senapang tersebut. Tanpa berkata sepatah pun, dia meletakkan hujung laras senapang itu ke dalam mulutnya. Ini adalah tugasan terakhirnya malam ini. Ibu jarinya sudah mendarat pada picu. Tanpa menunggu lagi, picu itu ditekan lalu letupan kuat bergema mengisi ruang tamu sambil disambut dengan bunyi petir di langit.

Dengan kepala berlubang di belakang, gadis itu rebah terlentang di atas lantai. Senapang sudah tercampak ke bawah. Darah pekat mengotori lantai marmar. Suasana menjadi sepi semula.

PANIKWhere stories live. Discover now