BAB 2

49 2 0
                                    

SARJAN ROHANA menolak pintu kaca dan masuk ke dalam balai. Seorang anggota polis wanita yang berada di meja aduan menongkat pandangannya kepada Sarjan Rohana.

"Puan." Dia menegur dengan penuh hormat.

Sarjan Rohana menghadiahkan wanita muda itu senyumannya. Kemudian, dia terus bergerak ke bilik soal siasat yang berada di hujung bangunan.

Pintu ditolak, seraya dia meloloskan dirinya masuk ke dalam. Sempat matanya melirik ke arah tiga pemuda yang duduk di meja. Di satu sudut, Detektif Osman sudah menantinya.

"Maaf detektif, saya lambat sikit. Pergi ambil repot." Sarjan Rohana memberikan alasan kenapa dia lambat.

Detektif Osman tidak ambil peduli. Bukan satu masalah baginya.

Sarjan Rohana menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya menghadap ketiga-tiga pemuda di meja tadi. Masing-masing pamer riak tidak selesa. Macam orang bersalah. Toleh ke kiri dirasakan tidak kena. Berkalih ke kanan pula terasa salah. Hati masing-masing dicuit dengan rasa gundah-gulana.

Untuk beberapa detik, tidak ada sesiapa pun bercakap di dalam kamar soal siasat itu. Sarjan Rohana sibuk membuka dan membelek isi fail yang dibawanya tadi. Sekeping lagi diletakkan ke kanan fail yang ternganga itu.

Detektif Osman pula masih lagi berdiri sambil memerhatikan raut ketiga-tiga pemuda itu. Cuba membaca sesuatu menerusi riak yang terlukis. Dia tahu ketiga-tiganya diamuk rasa resah.

Tidak lama kemudian, Sarjan Rohana mendongak dan memandang mereka seorang demi seorang. Tidak ada secubit pun senyuman menghiasi bibirnya. Serius dan nampak agak tegang.

"Kamu semua ni kawan-kawan serumah Amirudin?" Sarjan Rohana memulakan bicaranya.

Mereka saling berpandangan sesama sendiri sebelum masing-masing menganggukkan kepala.

"Bukan kawan satu kolej?" soal Sarjan Rohana lagi.

Jelas renungan daripada wanita itu meresahkan hati pemuda-pemuda yang masih lagi berusia belasan tahun itu.

"Samalah. Kawan serumah dan kawan sekolej. Cuma, dia ni aje belajar kos lain." Pemuda bertubuh kurus dan berjerawat menuding ke arah rakannya yang berbadan gempal.

"Siapa nama kamu?" soalnya kepada yang berbadan gempal itu.

"Borhan... tapi, kawan-kawan panggil Bob aje."

"Kamu?" Sarjan Rohana berkalih kepada yang tengah pula.

Orangnya berkulit agak gelap. Memiliki rambut panjang hingga mencecah bahu.

"Saya Lokman."

Kemudian Sarjan Rohana bertanyakan nama rakan mangsa paling akhir sekali.

"Nama saya Idris," tuturnya tergagap-gagap.

Detektif Osman hanya berpeluk tubuh sambil mengikuti sesi soal siasat itu berlangsung. Belum ada tanda-tanda dia mahu menyampuk atau bersuara.

"Dah lama kamu kenal Amirudin?" Satu per satu wajah-wajah yang ada di depannya ditenung lagi.

"Err..." Lokman mula membuka mulutnya. "Sejak kami belajar satu kolej."

"Dah berapa lama tu?" Sarjan Rohana menyandarkan tubuhnya dan pamer wajah tenang. Sepasang tangannya dilipatkan ke dada.

"Setahun lebih," balas Lokman lagi.

Yang lain hanya terangguk-angguk ibarat burung belatuk.

"Sepanjang kamu kenal Amirudin ni, dia tu macam mana orangnya?" soal Sarjan Rohana lagi.

PANIKWhere stories live. Discover now