BAB 5

45 3 0
                                    

YA! Memang ada yang menarik perhatiannya sejak dia mula membaca laporan yang ditulis oleh Sarjan Rohana di tangannya ketika itu. Dari tadi lagi dia leka membaca isi fail yang terbuka di atas mejanya. Mengingatkan dia pada sesuatu. Sesuatu yang telah lama dia tinggalkan. Sesuatu yang hampir-hampir saja luput daripada ingatannya.

Pangkal dagunya yang licin sesekali dilurutnya lembut dengan tangan. Langsung bola matanya tidak diangkat. Makin lama dia membaca, makin dia tenggelam dalam arus fikirannya sendiri. Tidak bergerak langsung dari kerusi di dalam pejabatnya.

Setelah merasa matanya letih, dia bersandar sebentar. Kedua-dua kelopak matanya diurut perlahan-lahan dengan jari. Cuba menghilangkan rasa berpinar yang tiba-tiba menyerang. Tidak lama. Kembali dia menumpukan perhatiannya pada isi laporan di atas meja.

Inspektor Borhan menyisip kembali kenangan lama ke dalam kotak mindanya. Saling tak tumpah. Misteri yang pernah menyelubungi mindanya sejak dulu masih lagi belum berjawab. Masih kekal sebagai misteri. Kini, misteri kematian itu bagaikan muncul kembali. Itulah yang dia rumuskan dalam benaknya saat itu.

Setelah selesai membaca laporan yang dihantar oleh Sarjan Rohana semalam, dia bangkit dari kerusi. Terus dia menuju ke kabinet yang menempatkan fail-fail lama. Tercari-cari sesuatu sebelum menarik salah satu laci yang ada di situ. Pantas pula jari-jemarinya menyelak setiap helaian fail di dalamnya.

Akhirnya,dia menarik dua keping fail lama dari dalam laci, lalu dibawa ke mejanya. Inspektor Borhan membuka salah satu fail dan mula memberikan tumpuan pada isinya. Usai membaca, dia mencapai sekeping fail lagi. Sesekali kepalanya terangguk-angguk.

Kesimpulan yang ada dalam kotak fikirannya adalah kes itu hampir sama dengan kes baru ini. Inspektor Borhan menarik nafas panjang sebentar. Ada sesuatu yang berlegar-legar dalam tempurung kepalanya. Hati lelakinya pula bagaikan didesak sesuatu. Sesuatu yang perlu dia lakukan secepat mungkin. Tanpa berkata sepatah pun, dia bangun dari kerusi lalu berjalan keluar dari pejabat.

Sarjan Rohana mendongak apabila mendengar bunyi ketukan di pintu pejabatnya. Cepat mindanya mencari siapa yang berada di sebalik pintu itu. Mungkin Detektif Osman?

"Masuk!"

Pintu terkuak dan terjengul kepala Inspektor Borhan. Melihat lelaki itu, terus Sarjan Rohana bangun dan memberikan tabik hormat. Tertanya-tanya juga dia kenapa lelaki itu berada di situ. Tentu ada sesuatu. Ada kerisauan terlukis pada wajahnya. Hatinya juga gundah-gulana.

"Sibuk pagi ni?" tegur Inspektor Borhan seadanya. Sekadar membuka pintu bicara. Sempat dia menjeling meja Sarjan Rohana.

"Sikitlah tuan." Sarjan Rohana tersipu-sipu.

Inspektor Borhan mengambil tempat duduk di depan wanita bertubuh agak besar itu. Tiga keping fail yang dibawanya tadi diletakkan di atas meja. Sarjan Rohana tidak bersuara. Orang bawahan sepertinya hanya menunggu perintah dan arahan. Tidak lebih dari itu.

Inspektor Borhan menarik dan menghulurkan salah satu fail, lalu diserahkan kepada Sarjan Rohana.

"Sarjan yang tulis laporan siasatan ni kan?"

Suara Inspektor Borhan bagaikan halilintar di hujung pendengaran sarjan wanita itu. Lambat-lambat dia mengangguk. Rasa risau makin bercambah di dasar hatinya. Fikirannya mula tidak tenang. Barangkali ada sesuatu yang tidak kena yang dia telah lakukan? Tidak ada lain, hanya itu saja persoalan yang bertandang dalam benaknya.

"Maafkan saya, tuan. Ada yang tak kena ke?" Suaranya bergetar.

"Ya, memang ada yang tak kena," balas Inspektor Borhan dengan suara yang kedengaran tegas. Seperti lazim, tidak ada secubit senyuman pun menghiasi bibir lelaki itu. Tegang dan serius sepanjang masa.

Masak aku macam ni, rungut Sarjan Rohana dalam hati. Bukan perkara aneh jika dia dibambu dengan pihak atasan. Sudah menjadi asam garam dalam kerjayanya. Dia cuba mengawal perasaannya.

"Laporan saya tak lengkap ke tuan? Maafkan saya." Seakan-akan tidak keluar suaranya ketika menuturkan kata-kata itu.

Baru kali ini dia melihat Inspektor Borhan tersengih. Itu pun sedikit. Acuh tak acuh saja kelihatannya.

"Bukan pasal laporan kamu, tapi pasal siasatan kamu dalam kes ni."

"Mungkin ada yang tertinggal dan terlepas pandang?" terkam Sarjan Rohana yang tiba-tiba menjadi kalut.

Gelengan di kepala lelaki berwajah agak bulat itu mula melegakannya. Jadi, apa lagi yang tidak kenanya? Terdetik pertanyaan itu dalam hatinya. Raut wajah Inspektor Borhan ditenungnya lama.

Inspektor Borhan dapat membaca bahasa tubuh orang bawahannya itu. "Bukan pasal siasatan yang kamu jalankan, tapi tentang kes ni."

Lalu, dua fail yang ada di depannya ditolak ke arah wanita separuh umur itu. Teragak-agak pula Sarjan Rohana menyambutnya.

"Sarjan baca laporan siasatan kes lama tu. Kemudian bagi tahu saya, apa yang sarjan nampak," arah Inspektor Borhan.

Kerana tidak ada pilihan, Sarjan Rohana akur. Lalu dia menurut perintah daripada orang atasannya itu.

"Macam mana?" soal Inspektor Borhan setelah Sarjan Rohana selesai membaca kedua-duanya.

"Ada dua kes kematian di vila tu."

Inspektor Borhan angguk. "Vila Rose," tambah lelaki itu lagi.

"Tapi, kes tu masih lagi tak berjawab," lanjut Inspektor Borhan dengan wajah tenang.

Sarjan Rohana pula tidak berkata apa-apa. Sekadar membatukan diri.

Menurut daripada apa yang dia ketahui setelah membacanya, kedua-dua mangsa ditemui mati di dalam vila di atas bukit di pinggir kota raya itu. Punca kematian diklasfikasikan sebagai mati mengejut. Berpunca daripada kegagalan jantung. Sama seperti kematian pemuda bernama Amirudin Sidek. Dia melihat seolah-olah ada mata rantai yang menghubungkan ketiga-tiga kes tersebut. Hanya masa saja yang menjarakkannya.

"Saya ingat ia tak berlaku lagi. Tapi, rupa-rupanya saya silap. Kematian Amirudin menjadikan ini adalah kes yang ketiga." Inspektor Borhan menceceh lagi.

"Siapa yang siasat kes ni dulu tuan?" Teruja pula Sarjan Rohana mahu tahu.

"Sarjan Razali. Sebelum dia tamat berkhidmat."

"Saya rasa ada benda yang tak kena dengan ketiga-tiga kematian mereka," ujar Inspektor Borhan lagi. Meluahkan rasa peliknya di depan wanita itu. "Kalaulah saya tahu akan punca sebenar kematian mereka." Suaranya kedengaran makin perlahan.

"Ya. Kita dapat tahu punca kematian mereka ada kaitan dengan jantung. Tapi, tentu ada penjelasan yang munasabah kan?" Soalan itu disantakkan ke telinga Sarjan Rohana.

Mahu tak mahu, terpaksa juga wanita mengangguk.

"Kebetulan mangsa memang mempunyai masalah jantung?" Terluah pula pendapat itu di mulutnya.

Inspektor Borhan menjeling tajam. "Itu yang saya nak tahu. Seseorang kena ambil perhatian pasal ni. Nampak aneh sangat kes ni."

Sarjan Rohana terkejut mendengarnya. "Tuan nak buat apa? Kes dah selesai." Rasa ragu-ragu memaksa wanita itu bertanya lagi.

Inspektor Borhan mengeluh. Kemudian dia bangun setelah melihat jam di tangannya. Masih ada lagi kerja yang perlu dia selesaikan hari ini. Tidak boleh bertangguh.

"Ya, kes memang sudah dianggap selesai. Tapi, saya masih tak puas hati." Lalu dia berjalan ke arah pintu. Sebelum dia keluar, sempat dia berpaling semula kepada Sarjan Rohana.

"Daripada rumor yang pernah saya dengar, vila tu ada penunggunya." Kemudian dia hilang di sebalik pintu.

Sarjan Rohana pula terkedu di kerusi. 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 14, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

PANIKWhere stories live. Discover now