DETEKTIF OSMAN melangkah menuju ke kantin di hujung balai. Ketika dia sampai, dilihatnya suasana di situ tidak ramai. Hanya ada beberapa anggota polis yang duduk sambil menikmati minuman masing-masing. Berbual sambil sesekali gelak ketawa mereka menyapa telinganya. Detektif Osman tidak ambil pusing. Dia terus ke kaunter dan mencapai beberapa ketul karipap. Sebelum berlalu, dia memesan teh tarik kepada salah seorang pekerja kantin.
Detektif Osman memilih sebuah meja yang agak terpisah daripada pelanggan yang lain. Sengaja dia mahu duduk bersendirian sambil melepaskan rasa lelahnya. Fikirannya juga perlu direhatkan untuk seketika sebelum dikerah untuk berfikir bagi menyelesaikan kes yang tertampuk di bahunya. Sempat dia duduk mengelamun sebentar.
Detektif Osman terkejut apabila sedar-sedar, pelayan kantin meletakkan gelas berisi teh tarik yang dipesannya tadi. Ketika telaga mata mereka bertemu, dia sempat menghulurkan senyumannya buat perempuan separuh umur itu.
"Makan karipap aje tuan?" tegur Mak Bedah.
Karipap yang masih lagi bersisa dalam piring dijelingnya.
"Ha'ah, Kak Dah. Nak makan perut kenyang lagi," sambut Detektif Osman dengan ketawa halusnya.
"Bukan sebab nak jaga badan?" Sempat pula Mak Bedah atau dalam kalangan anggota yang bertugas di balai itu dipanggil Kak Dah.
Makin keras ketawa Detektif Osman apabila mendengar omelan itu. "Dah tua-tua macam ni nak jaga badan apanya Kak Dah."
"Huisy... tua apanya. Muda lagi tuan ni," gurau Mak Bedah lagi.
Detektif Osman tidak menyahut. Kalau disambut lagi kata-kata, mahu berborak panjang pula. Sedangkan dia mahu duduk sendirian sekejap.
Melihat Detektif Osman tidak menyahut, Mak Bedah segera meninggalkan lelaki itu. Lagipun masih ada kerja yang perlu dia bereskan di belakang sana.
Usai menelan sisa karipap di dalam mulut, Detektif Osman mencapai gelas teh tariknya. Masih lagi panas. Lalu dihirupnya perlahan-lahan. Ulas bibirnya tersengat dengan rasa panas. Gelas teh tariknya diletakkan kembali.
Imej mayat Amirudin yang ditemui mati di dalam vila di atas bukit di pinggir bandar raya Kuala Lumpur kembali menghantui fikirannya. Cuba meneka apa yang terjadi sehingga membawa kepada kematian anak muda itu. Daripada keterangan yang diperolehi oleh teman-teman si mati, Amirudin bertandang ke vila itu untuk memburu entiti asing.
Detektif Osman mengeluh. Anak muda zaman sekarang. Macam-macam aktiviti yang dilakukan demi mengisi masa lapang. Kadang-kadang seperti tidak masuk akal. Zaman dia kecil-kecil dulu di kampung, cukup takut dengan hantu. Pantang jika terdengar ada hantu mengganas di persekitaran kampung. Pasti kanak-kanak tidak berani hendak keluar rumah. Lebih-lebih lagi pada waktu malam. Hendak keluar mengaji pun berteman.
Zaman yang meniti usia waktu membuatkan segala-galanya mula berubah. Daripada takut hantu jembalang kini menjadi buruan pula. Bukan dia tidak sedar akan kewujudan kumpulan-kumpulan pemburu entiti halus ini. Dia ada terbaca di sana-sini. Pantang dengar tempat itu keras dan berpenunggu, pasti kumpulan-kumpulan ini akan muncul dan cuba meneroka. Ingin mencari kesahihan dengan cerita-cerita yang tersebar.
Jarinya memegang dinding gelas. Apabila merasa teh tariknya sudah sejuk, diteguknya sedikit. Meskipun begitu, dia tidak merasakan wajar apa yang sedang bersarang dalam relung kepalanya saat itu. Munasabahkah andai hendak dikatakan yang si mati terkorban akibat daripada perbuatan hantu? Detektif Osman menutup mulutnya dengan tangan. Menahan ketawanya sendiri. Tak masuk dek akal!
Sepanjang hidupnya, dia sekadar mendengar manusia diganggu dengan pelbagai peristiwa seram. Hanya diganggu. Tidak pernah terjadi mangsa mati akibat digigit hantu. Ini bukan cerita dracula di layar perak atau puntianak yang hauskan darah manusia. Dalam dunia realiti, semua ini tidak berlaku. Hanya omongan kosong di kaca TV atau layar di panggung. Itu pun sekadar hiburan semata-mata. Tidak ada yang serius. Kalau diberitahu kepada orang lain, siapa yang mahu percaya? Mati hidup balik pun haram tak akan ada yang percaya. Jadi bahan lawak, mungkin!
YOU ARE READING
PANIK
Mystery / ThrillerWHATSAPP 013 2588069 WWW.DEARNOVELS.MY Tajuk: PANIK Penulis: ZAIF AB Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-23-3 Dua kes kematian di tempat yang sama dan punca kematian juga sama, membuatkan kes ini semakin rumit. "Menurut abang si mati, sebelum ini...