BAB 4

39 1 0
                                    

BUNYI tapak kasut bergesel dengan lantai gelanggang memenuhi ruang besar itu. Begitu juga dengan bunyi bulu tangkis dipukul keras mencelah. Menjadikan keadaan di gelanggang badminton itu bising. Tidak cukup dengan itu, sesekali dicemari juga dengan suara jeritan dan lolongan daripada pemain yang ada di situ. Dewan yang memuatkan tiga gelanggang badminton itu agak ramai pengunjung pada petang itu. Ketiga-tiga gelanggang sudah dipenuhi. Jika ada yang datang untuk bermain terpaksa menunggu hingga tamat tempoh sewaan pemain tersebut.

Di tepi gelanggang yang paling hampir dengan pentas dewan, Khair dan Saiful duduk sambil melepaskan penat masing-masing. Mereka baru saja menghabiskan dua set perlawanan. Kini gelanggang yang disewa oleh mereka digunakan oleh Jason dan Mokhtar pula. Lincah kedua-dua anak muda itu menguasai gelanggang masing-masing.

Saiful yang memandang sesekali tersengih. Rupanya bukan mudah untuk Mokhtar menewaskan Jason yang bertubuh tinggi lampai itu. Dihantar bulu tangkis ke kiri, pantas Jason menyambutnya. Dihalakan ke kanan pula, masih sempat Jason membalas semula. Berpeluh Mokhtar cuba memenangi perlawanan itu.

"Kau agak kau boleh kalahkan si Jason ni ke?" tempelak Saiful dengan nada mengejek.

Sengaja menaikkan darah muda Mokhtar. Anak muda berambut keriting itu tidak memberikan perhatian pada kata-kata Saiful. Perlawanan yang sedang berlangsung harus diberikan tumpuan.

Khair yang kehausan meneguk air masak dari bekas minuman yang dibawanya. Kemudian peluh yang masih lagi lencun di dahi dan lehernya dikesat dengan tuala kecil. Saiful pula masih lagi asyik memerhatikan Jason dan Mokhtar yang sedang bertarung hebat.

Khair tiba-tiba memandang ke belakang apabila mendengar ada bunyi tapak kaki menghampiri mereka. Dia tersengih tatkala melihat Salleh muncul di situ.

"Sempat jugak kau singgah sini," ujar Khair sebaik saja Salleh mengambil tempat di antara mereka berdua.

Butang kemejanya di bahagian dada dibuka. Petang itu, bahangnya terasa lain macam. Asalnya dia turut dipelawa untuk beriadah dengan teman-teman yang lain.

Pagi tadi pun semasa dia mahu ke pejabat, dia sudah memunggah set badmintonnya ke dalam kereta. Meskipun begitu, nasib tidak menyebelahinya petang itu. Tidak semena-mena dia diminta menyiapkan kerja yang perlu dibereskan hari ini juga. Terpaksa dia membuat kerja lebih masa. Sebelum pulang, dia sudah menghubungi rakan-rakannya yang dia terpaksa membatalkan kedatangannya.

"Ha'ah. Saja aku singgah sini kejap." Mukanya yang berminyak dilurut dengan tangan. Dia tersentak tatkala mendengar jeritan kuat daripada Mokhtar.

Rupanya bulu tangkis yang dihantar oleh Jason di sudut tepi belakang gelanggang gagal disambutnya. Sekali gus memberi mata tambahan kepada lelaki berketurunan Tionghua itu. Jason tersengih bangga. Mokhtar pula bermasam muka.

Saiful sudah gelak. "Payah kau nak kalahkan si Jason ni," kata Saiful di hujung ketawanya.

Salleh tidak memberikan sebarang reaksi. Sebaliknya, dia berkalih kepada Khair. Lantas bahu lelaki itu ditepuknya dengan kasar. Membuatkan Khair tersentak dan berpaling.

"Malam ni free? Jumpa aku," usul Salleh dengan wajah tenang.

"Free tu memanglah aku free, tapi kenapa?" Khair bertanya dengan dahi berkerut.

Saiful ikut menoleh.

"Ada benda yang aku nak tunjukkan kat kau orang," sambut Salleh selamba.

"Benda apa Leh?" tanya Saiful berminat. Muka Salleh direnungnya lama-lama.

Seperti ada yang lucu, Salleh tersengih halus. "Adalah. Malam nanti kita jumpa, baru aku cerita. Menarik ni," pancing Salleh lagi. Berharap benar yang mereka dapat berkumpul bersama.

PANIKWhere stories live. Discover now