Kuala Lumpur Tahun 2018
CAHAYA dari sebuah motosikal kelihatan terpancar mendaki bukit kecil itu. Di kiri dan kanan jalan yang sudah terkopak-kapik tarnya hanya ditemani dengan belukar dan pokok-pokok besar. Udara malam berpuput kian dingin. Di langit, awan hitam berarak perlahan. Menutup bulan di dada angkasa. Cahaya itu terus bergerak dan akhirnya berhenti di depan sebuah vila lama yang tersergam di atas puncak bukit tersebut.
Amirudin menanggalkan topi keledarnya. Sejenak matanya tertumpu pada bangunan besar yang sudah pun luntur cat putihnya. Nampak suram dan seram. Angin sesekali bertiup agak keras. Menerbangkan dedauan kering dari pokok-pokok besar yang tumbuh di sekeliling kawasan vila tersebut. Tidak semena-mena hatinya menjadi cuak. Takut datang menjengah. Meskipun begitu, anak muda penuntut sebuah kolej di Kuala Lumpur itu tidak melayani rasa gundah-gulananya.
Dia ke sini kerana ada misi yang perlu dia lunaskan. Mencari entiti halus seperti yang sering dikatakan oleh sesetengah orang. Telinganya sering mendengar cerita yang mengatakan di vila atas bukit itu keras dan berhantu. Tidak ramai yang berani hendak mendekatinya, apatah lagi menjelajah di dalam vila tersebut. Dia yang berminat langsung membuat keputusan untuk melihat dan merasai sendiri jika cerita yang sering dimomokkan itu benar ataupun tidak.
Amirudin turun dari motosikal. Zip pada jaket yang tersarung di tubuhnya dibuka. Kemudian dia mencapai sebuah kamera kecil. Sekali lagi dia memandang vila di depan matanya. Pandangannya merayau hingga ke tingkat atas. Di balkoni tingkat kelihatan kosong. Tumbuhan tumpang kelihatan menjalar di beberapa sudut bangunan itu.
Amirudin yang masih lagi diacah dengan rasa takut membulatkan tekadnya. Alang-alang dia sudah berada di sini, dia harus menamatkan tugasnya. Lagipun, dia perlu menunjukkan kejantanannya setelah dicabar oleh beberapa rakannya di kolej. Tanpa berfikir panjang, Amirudin menyahut cabaran itu. Apatah lagi dia dijanjikan dengan sejumlah wang jika dia berani meneroka vila putih itu berseorangan. Dengan kamera yang ada di tangannya, dia mampu membuktikan keberaniannya. Dengan nafas berat, anak muda berusia 19 tahun itu melangkah masuk ke dalam vila.
Bunyi tapak kakinya berlaga dengan simen kedengaran jelas memantul di setiap sudut di ruang tamu yang cukup besar itu. Amirudin mula menghidupkan kamera di tangannya. Dengan bantuan cahaya lampu dari kamera, dia dapat melihat apa yang ada di depannya. Dadanya bergetar dengan tiba-tiba. Terasa seperti ada mata ghaib sedang memerhatikannya. Cuak juga perasaannya apabila memikirkan kala ini ada makhluk yang tidak kelihatan turut menemaninya di situ. Amirudin cepat-cepat menghalau perasaan itu pergi.
Anak muda itu berlegar-legar di ruang tamu sambil menghalakan lensa kamera ke segenap sudut. Kedengaran suara angin mulai bertiup kencang. Desir daun pokok juga kedengaran jelas. Barangkali hujan bila-bila masa akan turun. Amirudin tidak mempedulikan semua itu.
Sempat dia meninjau ke ruang dapur, namun dia tidak berhasrat untuk masuk ke dalam. Dia menumpukan perhatiannya pada tangga putar yang menuju ke tingkat atas. Lalu, dia bergerak menghampirinya.
Ketika sudah separuh tangga didakinya, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi seperti seseorang berbisik. Timbul tenggelam. Mengucapkan sesuatu, namun tidak tahu hujung pangkalnya. Dadanya makin berdebar-debar. Pendengarannya dipasang lagi dengan hati-hati. Bisikan itu muncul dan kemudian hilang pergi.
Amirudin segera naik ke tingkat atas. Sejenak dia terhenti di ruang atas. Memerhatikan bilik-bilik yang terdapat di situ. Ada angin kuat menerpa masuk melalui pintu di hujung balkoni yang sudah pun terkopak. Pemuda itu bergerak lagi. Melintasi setiap kamar yang ada di situ menuju ke balkoni.
Kakinya terhenti apabila dia mendengar ada bunyi tapak kaki berlari di belakangnya. Segera dia menoleh. Kamera di tangannya turut berkalih sama. Kosong! Tidak ada kelibat sesiapa pun di situ. Kemudian Amirudin melangkah kembali. Baru beberapa tapak diatur, dia terasa seperti ada kelibat berlari dari sebuah bilik masuk ke bilik yang lain. Sepantas kilat Amirudin menoleh. Kosong! Dia mula merasa tidak sedap hati.

ANDA SEDANG MEMBACA
PANIK
Misteri / ThrillerWHATSAPP 013 2588069 WWW.DEARNOVELS.MY Tajuk: PANIK Penulis: ZAIF AB Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-23-3 Dua kes kematian di tempat yang sama dan punca kematian juga sama, membuatkan kes ini semakin rumit. "Menurut abang si mati, sebelum ini...