PROLOG

337 12 0
                                    



Pencak Alam, Tanah Jawa – 1800

MEGAT Zaman Shah berjalan mundar-mandir dengan air muka yang cukup keruh. Tingkahnya serba gelisah. Sesekali terbit keluhan kecil di mulutnya. Sesekali pula dibuang pandang ke wajah isterinya yang sedang mengandungkan anak sulung. Selebihnya dia hanya bermenung jauh.

"Mas, Juwita rasa tidak selesa. Juwita takut," buat sekian kalinya, Mayang Juwita meluahkan isi hati.

Mata Mayang Juwita terkebil-kebil memerhatikan wajah Megat Zaman Shah. Kolam matanya sudah mula digenangi air. Tunggu masanya sahaja untuk dilimpahkan keluar membasahi pipi. Benar. Dia memang takut. Dia takutkan ancaman seseorang. Seseorang yang dahulunya adalah saudara sedaranya. Teman rapatnya. Sahabat baiknya. Kawan sepermainan dengannya.

"Mas, Juwita benar-benar takut," lirih suara Mayang Juwita menikam kolong telinga Megat Zaman Shah.

Megat Zaman Shah lantas mendekat lalu diusap lembut belakang badan isterinya. Cuba disabarkan wanita itu sekuat dayanya. Dia tahu Mayang Juwita perlukan kekuatan dari dirinya saat itu. Seharusnya dia perlu terlihat lebih kuat agar isterinya itu tidak putus semangat.

Rengkung Megat Zaman Shah terlihat bergerak-gerak. Beberapa kali ditelan liur yang dirasakan pahit dilaluan tekak. Seperti Mayang Juwita, Megat Zaman Shah turut merasa gentar. Namun jauh di sudut hati kecilnya dia yakin akan kehendak Yang Maha Pencipta. Dia yang merancang segalanya. Tidak akan bergerak walau sebesar zarah sekali pun tanpa izin-Nya!

"Mas, apa tidak Mas dengar apa yang Juwita bilang?" soal Mayang Juwita sedikit keras.

"Sabarlah Juwita," ujar Megat Zaman Shah, cuba berlembut.

"Bagaimana Juwita mahu bersabar, Mas? Sampai bila? Sabarku ini sudah sampai pada tahap akhirnya! Sumpahan itu sentiasa menghantui kita, Mas! Sentiasa memburu keturunan kita!" bidas Mayang Juwita tegas.

"Juwita, yang namanya sabar itu sifatnya luas, tidak terbatas. Hanya kitalah yang meletakkan batas dindingnya. Sabarlah, sedikit saja lagi. Aku yakin, Allah sentiasa melindungi kita selagi mana kita tidak melupakan Dia."

"Juwita tahu itu, Mas. Tapi, Juwita takut. Juwita khuatir sumpahan Lestari akan mengenai keturunan kita. Lihatlah perutku, Mas! Kandunganku ini semakin membesar hari demi hari. Juwita tidak mahu terjadi apa-apanya pada kandungan ini. Juwita tidak tega, Mas!"

"Aku faham perasaanmu, Juwita. Aku juga buntu mahu apa lagi," keluh Megat Zaman Shah.

"Buatlah apa sahaja, Mas! Lakukanlah agar kandunganku dan keturunan kita terselamat dari sumpahan itu!"

Megat Zaman Shah berdiam diri. Fikirannya berkecamuk memikirkan pelbagai perkara. Dia sendiri tidak tahu keputusan semacam apa yang akan memberikan pulangan terbaik buat dia, Mayang Juwita dan keturunan mereka.

"Apa Mas Zaman tidak khuatir akan nasib kandungan ini? Nasib anak cucu keturunan kita? Pewaris penyambung darah kita?" Lantang Mayang Juwita bersuara.

Bibirnya menggeletar. Badannya menggigil hebat. Sungguh!

Megat Zaman Shah melurut-lurutkan janggutnya yang panjang sejemput. Terlihat misainya bergerak-gerak selari dengan lurutan tangannya. Otaknya segera mencerna segalanya. Baik dan buruk, harus difikirkan semuanya.

Sesekali, diperhatikan isterinya yang sudah terhinjut-hinjut bahu menahan tangis yang menggila. Diperhatikan juga wajah isterinya yang memucat. Hampir hilang seri wajah Mayang Juwita yang mampu menambat hatinya waktu itu.

"Kita ke Tanah Melayu, ya Juwita?" usul Megat Zaman Shah.

Hanya itulah satu-satunya cara yang dapat dia fikirkan. Membawa lari isteri tercinta jauh dari Pencak Alam. Dia perlu membina kehidupan baru jauh dari situ agar sumpahan seseorang itu mampu terhakis dengan sendirinya.

Dia tidak sanggup melihat anak cucu keturunannya terpaksa menderita akibat keputusannya waktu itu. Semerta ingatannya jatuh pada peristiwa hitam yang memberi kesan buat dia dan isterinya. Satu-satunya peristiwa yang tidak mampu untuk dia ubah takdirnya.

***

"MAS, Lestari cintakan, Mas."

Raden Lestari merayu. Berjuraian air mata gugur di pipinya. Megat Zaman Shah jadi serba salah. Apa yang harus dilakukan? Perlukah dia bersimpati kepada Raden Lestari sedangkan kasihnya sudah tertumpah buat Mayang Juwita?

Tangisan wanita itu yang mendayu-dayu bertukar lolongan yang berpanjangan. Naik seram dibuatnya. Meremang habis reroma Megat Zaman Shah. Terkumat-kamit mulutnya membaca ayat suci pelindung diri. Dia berserah sebulat-bulatnya kepada Yang Maha Berkuasa. Tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah.

"Juwita, sampai hatimu merampas calon tunanganku. Mas Zaman Shah milikku Juwita, pulangkan dia kepadaku," rintih Raden Lestari penuh syahdu.

Dia merayu-rayu, memohon simpati. Air mata yang berjuraian mengaliri pipi langsung tidak dihiraukan. Dia terus-terusan menagih pengharapan. Namun, Megat Zaman Shah mahu pun Mayang Juwita langsung tidak menghiraukannya.

Melihatkan Megat Zaman Shah langsung tidak berganjak dari tempat dia berdiri di sisi Mayang Juwita, segera Raden Lestari menyeka air mata yang berguguran. Renungan sayunya bertukar tajam. Matanya semerta menjadi merah menyala. Mulutnya turut terkumat-kamit membaca mantera. Rambutnya yang panjang mengurai semerta mengerbang. Dia menyeringai garang. Dadanya turut berombak menahan sejuta rasa marah yang mencengkam jiwa.

"Kalau aku tidak dapat memiliki kau, Zaman Shah! Keturunan aku yang akan memiliki keturunan kau! Dendam kesumat aku akan membalas segala apa yang telah kau lakukan padaku! Ingat Zaman Shah! Sampai waktu pewaris keturunan ketujuh aku dan kau lahir ke dunia, segalanya akan terbalas! Aku bersumpah atas nama ibuku! Aku bersumpah atas nama Tuhanku! Akan aku binasakan kau dan keturunanmu!"

Sebaik selesai melafazkan kata, sekonyong-konyong asap hitam memenuhi ruang udara. Sekejapan itu juga menyebar bau yang meloyakan menerpa ruang penafasan. Hanyir dan hamis.

Raden Lestari menggigit hujung ibu jarinya lalu darah yang mengalir pekat diletakkan di tengah telapak tangan. Mulutnya terkumat-kamit melagu sumpah mantera. Megat Zaman Shah yang melihat turut membaca ayat-ayat suci pelindung diri. Dia perlu melindungi dirinya dan juga Mayang Juwita yang bakal menjadi isterinya dari segala apa yang mendatang.

Sebaik kepulan asap hitam menghilang, sekujur tubuh Raden Lestari juga turut tiada. Bauan hanyir yang meloyakan perlahan-lahan beredar. Terpinga-pinga Megat Zaman Shah dan Mayang Juwita melihatkan keadaan itu.

Bisikan ParanormalWhere stories live. Discover now