BAB 5

88 4 0
                                    


"KENAPA undangan kali ni kat kampung? Kenapa, tokki? Kenapa?" soal Finadya bertalu-talu.

Menonong Finadya melangkah keluar dari rumah pusaka itu mendapatkan Toyota Camry berwarna emas miliknya. Langsung tidak dihiraukan hujan yang sedang mencurah-curah membelasah alam. Enjin dihidupkan, lalu dia menghilang dari pandangan.

"Apa masalahnya dengan kampung? Seronok apa," bidas Zarra Airina.

Dia mencebik, meluat melihat kerenah Finadya yang dirasakan entah apa-apa. Bagi Zarra Airina, di mana pun tempat undangan ditetapkan, bukanlah satu masalah untuknya. Dan padanya, Desa Senandung punya tarikan yang tersendiri. Sebuah desa perkampungan yang tenang dan mendamaikan.

Desa Senandung seperti hari-hari selalunya, sentiasa sibuk. Walaupun tidak semeriah kota-kota besar seperti Kuala Lumpur ataupun Johor Bahru, namun masih penuh dengan pelbagai urusan yang entah bila akan selesai.

Setiap penghuninya ada cerita yang ingin disampaikan. Ada tujuan tersendiri yang ingin dituju. Termasuklah lima orang anak muda itu. Setelah menempuh perjalanan jauh selama hampir enam jam, akhirnya mereka tiba juga diperkampungan Melayu. Perkampungan yang letaknya jauh dari hiruk-pikuk kesibukan kota raya.

Seperti semalamnya, hujan masih mencurah-curah turun dengan lebat. Seakan-akan tidak mahu berhenti sahaja lagaknya. Guruh dan petir saling sabung-menyabung. Seperti melengkapi hukum alam yang satu. Namun, hal itu langsung tidak mematahkan hasrat lima anak muda itu. Kerja tetap diteruskan, pencarian tetap dilakukan.

Walau apa rintangan yang akan dihidangkan di depan mata, mereka pasti akan tetap meneruskan apa yang telah mereka mulakan. Itulah prinsip lima bersaudara itu.

Hari itu merupakan hari pertama mereka melakukan tugasan mereka di rumah pusaka itu. Kerja yang punya geruh tersendiri. Kerja yang pastinya memberikan cabaran tersendiri.

Airis Zulaikha ralit memerhatikan air hujan yang pada mulanya hanya rintik biasa, kemudian perlahan-lahan melebat. Irhann sesekali menoleh kepadanya. Tingkahnya kelihatan teragak-agak sama ada mahu meneruskan kerjanya atau mahu mendapatkan gadis itu.

Akhirnya dia membuat satu keputusan. Sudahkan kerja yang sedang dilakukan secepat mungkin. Kemudian, barulah dia melangkah mendapatkan gadis itu, sebelum menegurnya lembut.

"Laikha, macam mana dengan Medan Undangan kali ni? Kau ada dapat apa-apa petanda ke?"

Soalan Irhann serta-merta menghentikan lamunan panjang Airis Zulaikha. Dia tersentak. Sekilas, Airis Zulaikha menoleh ke arah Irhann yang sedang menatapnya dengan kening yang bertaut. Dia mengganguk kecil, mengiakan pertanyaan lelaki itu.

Kerutan di kening Irhann semakin jelas kelihatan sebaik sahaja matanya terkesan akan anggukan kecil itu. Terlihat rengkung halkumnya bergerak-gerak, setara dengan lelehan liur yang dirasa pahit apabila ditelan.

"Kau dah dapat petanda dan kau masih mendiamkan diri, Laikha?" tanya Irhann perlahan, namun kedengaran cukup keras di telinga Airis Zulaikha.

Shakir dan Zarra Airina hanya memerhati tingkah mereka berdua. Hanya telinga sahaja yang dipasang, mendengar bait demi bait bicara yang dilafazkan dua bersaudara itu. Airis Zulaikha memandang tepat ke anak mata Irhann yang bergerak-gerak dan berbaur resah. Aku bukan sengaja tak nak beritahu. Bisik Airis Zulaikha dalam hati. Dia tahu, Irhann pasti mendengar apa yang dibisikkan hatinya itu. Sememangnya diharapkan begitu.

Irhann menghempaskan keluhan berat sebaik sahaja telinganya disapa suara hati Airis Zulaikha. Tidak lama kemudian, dia mencapai lengan gadis itu lalu dituntun merapat ke kerusi yang terletak di hujung beranda berdekatan pintu utama rumah pusaka itu. Kedua-duanya saling berpandangan.

Bisikan ParanormalWhere stories live. Discover now