Kuala Lumpur, Malaysia – 2017
MATA Airis Zulaikha terkelip-kelip memandang sekeping kad berwarna merah jambu. Di kepala berlegar-legar tentang isi kandungannya. Nak pergi ke tak ni? Bisik si hati kecil. Pelbagai kenangan lama kini tercuit di hati membuatkan diri tanpa sedar mengulum senyuman kecil.
Serta-merta lamunannya singgah di saat dia bersama saudara-saudaranya. Ah! Indahnya waktu itu. Terlalu indah dan amat sukar untuk dilupakan. Sekejapan, minda tanpa paksa mengukir kenangan-kenangan manis tatkala bersama saudara sedarah. Kenangan yang sentiasa bermain diingatan dan akan disimpan di lubuk hati buat selamanya.
Sedang dia kesibukkan melayani kenangan silam yang menerpa ruang sanubari, bahu kanannya ditepuk lembut. Airis Zulaikha menoleh. Tersengih-sengih Zarra Airina memandangnya lalu mengambil tempat di sisi. Si adik kembar yang hanya lewat sepuluh minit darinya itu terlihat ceria.
"Laikha..." tegur Zarra Airina perlahan.
Airis Zulaikha sekadar memandang tanpa bersuara walau sepatah kata. Agak lama mereka berdiam. Sengaja membiarkan sepi menguasai suasana antara mereka berdua.
"Dapat undangan tak?" sambung Zarra Airina membuah tanya, memulakan bicara.
Dikerling akaknya di sisi. Airis Zulaikha sekadar mengangguk sebagai balasan tanpa ada niat untuk mengukir kata. Ditunjukkan juga sekeping kad undangan yang sedari tadi ditenung tanpa jemu. Kad yang berukir bunga mawar di bahagian bawah. Cantik.
"Pelikkan, Laikha. Kad undangan ni warnanya merah jambu. Bukan selalunya berwarna putih ke? Putih yang membawa makna, bersihkan jiwa-jiwa yang hilang ditelan kerakusan dunia?" ujar Zarra Airina.
Jiwanya sesak dek rasa ingin tahu. Airis Zulaikha hanya memandang sekilas sebelum dilemparkan kembali pandangannya ke arah hadapan. Malas mahu melayan celoteh si adik walau dia sendiri tertanya-tanya tentang perkara itu.
"Nak pergi ke tak?" soal Zarra Airina lagi.
Bulat matanya memandang Airis Zulaikha yang sedari tadi berdiam diri sebelum dikerling kepingan kad undangan yang ada. Di hati dia memasang harapan agar si akak turut serta di dalam undangan yang mereka terima.
"Tak tahu lagi," balas Airis Zulaikha ringkas.
Dia masih mencongak-congak sama ada mahu pergi atau pun tidak. Hati terasa ringan mahu menyertai tetapi akal seolah memberat tidak membenarkan. Dia berbelah bahagi. Entah mengapa, tiba-tiba dadanya berdebar tanpa punca. Dapat dirasakan semacam ada sesuatu yang tidak kena.
"Pergi jom. Rindulah dekat dia orang semua. Kitakan dah lama tak jumpa," balas Zarra Airina seakan memujuk sambil menyengih memandang si akak.
Semenjak menerima kepingan kad undangan berwarna merah jambu tempoh hari, hati Zarra Airina sudah meronta-ronta mahu menghadiri. Bukan senang mahu berkumpul bersama saudara sedarah. Bukan senang juga mahu menunjukkan bakat yang dia ada. Bakat yang hanya diwarisi buat darah keturunan Megat Zaman Shah.
"Jomlah Laikh.a. Lagi pun, dah lama kita tak berseronok."
Zarra Airina terus-terusan memujuk. Dimimik-mimikkan mukanya dengan pelbagai riak. Turut dikembung-kembungkan pipi sambil membulatkan mata. Ingat comel sangatlah buat macam tu...ejek hati kecil Airis Zulaikha.
"Well, why not."
Airis Zulaikha meleretkan senyuman kecil. Selamba dia bangkit dari duduknya lalu berjalan melenggang meninggalkan Zarra Airina. Tidak lama, adik kembarnya itu turut mengukir senyuman lebar. Hatinya berbunga riang. Segera dia mengatur langkah laju mendapatkan si akak yang sudah beberapa tapak jauh di hadapan.
YOU ARE READING
Bisikan Paranormal
Horror"Dendam lama berdarah kembali..." Akibat dendam dan sumpah generasi lalu, keturunan ketujuh Megat Zaman Shah terpaksa menanggung sengsara. Cemburu, dendam, cinta dan kasih sayang dirangkum menjadi satu lalu mengheret keturunan ketujuh jauh dari Vill...