TAHUN ini Fakrul bakal menduduki peperiksaan yang penting iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Hanya berbaki masa empat bulan sahaja untuk dia membuat ulangkaji pelajarannya. Jadual belajar mereka di asrama juga semakin ketat.
Kehidupan Fakrul di asrama menjadikan rutin hariannya sentiasa penuh dengan membuat ulangkaji pelajaran. Fakrul juga merupakan salah seorang calon pelajar SPM terbaik untuk sekolah ini.
“Rul, kau tak nak turun makan ke?” Tanya Adam.
Adam Mikail merupakan sahabat baik Fakrul sejak mereka bersama-sama belajar di sekolah asrama penuh lagi. Malah mereka berdua sudah berkawan hampir lima tahun.
“Kejap lagi aku turun. Kalau kau lapar, kau pergilah makan dulu.”
Fakrul masih ralit lagi menyiapkan kerja sekolahnya.
“Jomlah makan. Kejap lagilah sambung kerja Sir Chua tu.Nanti kita buat sama-sama ye.” Pujuk Adam. Malas pula Adam hendak turun seorang diri ke kantin asrama.
“Yelah tu. Macamlah aku tak tahu rancangan kau tu. Kononnya nak buat sama-sama. Tapi akhirnya, kau copy paste jawapan dari aku. Bukan niat aku nak membebel, tapi aku risau je nanti bila exam sebenar, kau tak boleh nak jawab.”
Bengang juga Fakrul dengan sikap acuh tak acuh rakan baiknya itu. Terus berubah wajah Adam apabila dibasuh oleh Fakrul.
“Sorrylah. Hari tu je kan aku copy homework kau. Aku penat sangat hari tu main bola. Jomlah kita pergi makan. Aku dah lapar sangat ni.” Sekali lagi Adam cuba memujuk.
“Yelah. Kejap, aku kemas buku aku ni dulu.”
Akhirnya terpaksa juga Fakrul mengalah. Tiba-tiba Fakrul baru teringatkan sesuatu. Dia segera mengambil beberapa keping duit syilingnya dan di masukkan ke dalam poket seluarnya.
Berkerut dahi Adam melihat tingkah laku rakan baiknya. Sudah hampir setahun rasanya Fakrul selalu menghubungi seseorang jika ada masa terluang.
“Ni sah nak bergayut lagi kan. Beritahu aku, minah mana yang kau sangkut lepas balik cuti sekolah tahun lepas. Bukan main lagi aku tengok kau melayan kat public phone tu.” Sakat Adam.
Fakrul sekadar tersenyum lucu.
“Berapa kali aku nak cakap, dia tu adik sepupu aku. Budak sekolah rendah lagi kut. Aku kan tak ada adik, sebab tu aku rapat sikit dengan dia.” Terang Fakrul.
“Ehmm… yelah tu.” Adam masih lagi tidak percaya.
Fakrul sendiri tidak menyangka disebabkan pertemuan di antara Sakinah dan Fakrul di majlis perkahwinan Farhan, mereka mulai rapat sejak dari hari itu. Fakrul langsung tidak menyangka Sakinah akan mula menghubunginya melalui kiriman WhatsApp selepas dia pulang ke Johor.
Sejak dari hari itu, jika ada masa terluang Fakrul akan cuba menelefon Sakinah. Tinggal di asrama menyebabkan dia tidak dapat memegang telefon bimbitnya sendiri kecuali pada hari minggu sahaja.
Sakinah sering mengadu segala masalahnya terutamanya mengenai hal pelajaran kepada Fakrul. Kebetulan tahun ini juga Sakinah bakal menduduki peperiksaan penting iaitu UPSR. Tiada sesiapa pun dalam ahli keluarganya yang tahu tentang hubungan baik mereka.
💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕TERTEKAN Sakinah melihat kerja rumahnya yang masih belum siap. Dia tidak faham cara menyelesaikan kerja rumah matematik yang diberi oleh gurunya. Puas dia cuba menyelesaian tetapi semakin pening kepalanya ketika ini.
Sakinah mengeluh lemah. Kadang-kadang dia cemburu juga dengan kawan-kawan sekolahnya yang pandai. Dia sudah memberikan tumpuan yang penuh semasa di dalam kelas. Namun, dia masih gagal mendapat keputusan yang baik.
“Macam mana ni? UPSR lagi dua bulan. Tapi aku langsung tak bersedia…” Bebel Sakinah seorang diri.
Bagi menghilangkan rasa tertekannya, Sakinah mengambil buku lukisannya yang disembunyikan di bawah katilnya. Dengan cara melukis sahaja hatinya akan menjadi lebih tenang.
Setelah hampir setengah jam dia melukis, terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Lekas Sakinah menjawab panggilan itu. Hanya Fakrul sahaja yang sentiasa menghubunginya pada masa ini.
“Abang Arul...” Meleret Sakinah memanggil Fakrul.
“Waalaikummusalam Kinah.” Perli Fakrul di hujung talian.
Tersengih-sengih Sakinah saat tersedar dirinya yang terlalu gelojoh.
“Assalammualaikum. Abang Arul sihat?” Tanya Sakinah sambil berbaring selesa di atas katilnya.
Sudah hampir seminggu juga mereka tidak berhubung. Semuanya gara-gara Fakrul yang bertegas supaya Sakinah fokus dengan pelajarannya itu.
“Alhamdulillah, Abang Arul sihat je. Macam mana setakat ni study? Ada kemajuan tak” Tanya Fakrul dengan prihatin.
Sakinah semakin serba salah. Kepala yang tidak gatal digarunya. Cuba memikirkan jawapan yang terbaik diberikan kepada Fakrul.
“Err… baru-baru ni, result Matematik dan Sains Kinah lemah lagi.” Akhirnya Sakinah berterus terang tentang keputusan percubaaannya baru-baru ini.
“Kinah tak bagi perhatian ke dalam kelas?” Soal Fakrul lagi. Dia sudah mula risau dengan masalah pelajaran Sakinah. Peperiksaan UPSR hanya tinggal dua bulan sahaja lagi.
“Dah Abang Arul. Tapi macam Kinah selalu cakaplah, selalu ada je Kinah terlupa. Tertekan Kinah dengan masalah yang sama setiap hari.” Adu Sakinah dengan manja.
Sudah menjadi kebiasaan buat Sakinah akan mula bersikap manja dengan Fakrul jika dia mahu mengadu sesuatu masalah.
Fakrul berasa kesian dengan Sakinah. Pasti sukar buat Sakinah untuk cuba mendapatkan keputusan yang baik.
“Kinah jangan terlalu tertekan. Banyakkan buat latihan dan usaha lagi. Yang penting, solat dan doa jangan lupa.” Pesan Fakrul sambil menitipkan nasihat.
“Ye, Kinah ingat. Terima kasih Abang Arul. Dengar suara Abang Arul pun dah buat Kinah hilang rasa stress.” Dadanya terasa lapang setelah mendengar nasihat Fakrul.
Mungkin dia perlu bersikap lebih santai selepas ini. Tidak perlu memikirkan masalahnya sehingga menyebabkan dirinya tertekan.
“Baguslah. Jangan lupa pesan Abang Arul tu. Nanti ada masa, Abang Arul call lagi. Jaga diri. Assalammualaikum.”
“Waalaikummusalam.” Balas Sakinah dan terus talian dimatikan.
Kini, dia mula bersemangat untuk membuat kerja rumahnya kembali. Buku lukisannnya disimpan ke tempat asalnya. Sekarang dia hanya perlu cuba berusaha untuk menyelesaikan kerja rumahnya sahaja.
💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕
YOU ARE READING
Rahsia Hati Mrs. Fakrul ( Ready Stok) Cover Baru
Romance~Spin off dr kisah Piah di hati Mr.Beku.~ Fakrul seboleh-bolehnya tidak mahu menjadi seperti kisah abangnya, Walaupun ada rasa di dalam hatinya terhadap Sakinah Dia cuba menjauhkan dirinya dengan perasaan itu kerana menolak dirinya dari berkahwin d...