Title: Dendam Si Janda
Teller: Eyka Z., Helvy T.R. & Safiyah L.
Picture Resources: Google
Part: 9Aku bangun seawal pukul 6 pagi untuk membersihkan diri. Aku sudah tidak berapa ingat sejak bila aku lupa merapikan diri kerana sibuk meratapi kepergian suami tercinta. Hanya doa tulus ikhlas yang mampu aku kirimkan untuknya semoga tenang di alam sana, sebagai pengubat kerinduanku setiap kali teringat padanya. Aku menyeka setitik dua airmata dengan belakang jari lalu mengukir senyum untuk diri sendiri.
Gayung demi gayung air aku jirus ke tubuh. Rasanya pedih bila terimbas saat para lelaki durjana itu memperlakukan tubuhku sesuka hati. Perasaan benci membuak-buak dalam hatiku saat mereka meratah tubuhku sewenang-wenangnya di hadapan suamiku.
Harus bagaimana aku meluahkan rasa sakit yang mencengkam? Benih dendam sudah mula tertanam dihatiku pada saat suamiku dikatakan tidak bernyawa lagi, dan mereka belum ditangkap polis meskipun laporan telah dibuat. Aku akan membuat perhitungan lebih teruk dari yang mereka lakukan terhadap kami.
Aku membersihkan seluruh tubuh yang kurasa penuh noda dengan linangan airmata. Mereka akan menerima balasan yang setimpal kerana telah menggelapkan masa depanku yang baru mula menapak erti kebahagiaan.
Aku membelek tubuhku di hadapan cermin sebaik saja selesai mengenakan baju kebaya hitam bercorak bunga mawar merah. Rambut ku dandan rapi dan tersanggul kemas, lalu ku sematkan sekuntum bunga kuning menghiasi lamannya. Secalit gincu merah sebagai penyudah seri wajah yang ditemani senyum senget penuh makna.
"Emak, Mayang mahu balik ke rumah untuk mengambil sedikit barang." Ujarku kepada emak yang sibuk membancuh kopi.
"Nanti mak temankan Mayang ke sana."
"Tak apalah mak, Mayang boleh pergi sendiri. Lagipun, hari ni mak perlu menjemput orang kampung untuk kenduri tahlil dan bacaan doa malam ni kan."
Aku menolak pelawaan emak tanpa mengguris hatinya, kerana aku tahu emak sangat khuatir akan keadaan diriku.
"Hati-hati Mayang, balik cepat ya. Banyak kerja perlu disiapkan malam ini." Pesan emak saat aku menuruni tangga.
Aku membuka payung setelah menyandang beg tanganku. Sepanjang perjalanan, aku menyapa dan senyum kepada semua orang. Meskipun ada suara-suara sumbang yang aku dengar, aku abaikan kerana ada matlamat yang lebih utama. Andai aku tidak bisa mengawal emosi saat ini, bagaimana pula nanti saat berhadapan dengan dua durjana itu?
"Eh? Tu kan janda si Khairul?"
"A'ah. Baru mati laki, tapi gaya macam orang bujang saja."
"Jaga laki kamu, nanti kena kebas."
"Janda sekarang upgrade, entah-entah dia yang bunuh laki dia."
"Yalah, mungkin dia yang bawa lelaki pigi rumah, laki kan sudah tua, mahu yang baru bah katakan."
Aku lebarkan senyum dan melenggokkan jalan tanpa menghiraukan pandangan serong mereka terhadapku. Mereka cuma tahu mengata, tapi kebenarannya tersimpan cukup rapi di pelusuk sanubari. Mulut orang memang tak boleh tutup, aku hanya mampu menjalani kehidupan ini apa adanya. Tidak ada yang harus melihat betapa aku lemah dan memerlukan pertolongan.
Sebaik saja membuka pintu rumah, aku mendengar derap kaki dari arah belakang. Aku menoleh dan melihat Rosman mengangkat tangan kepadaku. Aku menuruni tangga untuk bertegur sapa dengannya.
"Hai Rosman. Lama tidak jumpa, apa khabar kau sekarang?"
"Hai Mayang. Aku khabar baik. Mayang apa cerita? Takziah atas kehilangan orang tersayang."
"Terima kasih, Rosman. Aku begini saja, masih hidup dan bernyawa." Aku menguntum senyum paling manis supaya Rosman tidak bersimpati kepadaku.
"Mayang tidak kerja sudah?"