Bila situasi tegang dapat diamankan, secara diplomasi Andi Kamarool menceritakan secara terperinci tentang apa yang saya alami malam tadi. Dan Andi Kamarool juga menceritakan bagaimana dirinya terbabit dalam kejadian itu.
"Memang sudah ditetapkan, Tamar seorang saja berdepan dengan pengawal rumah. Tetapi, semasa dia mahu menghubungi penunggu rumah secara ghaib, tiba-tiba saja dia seperti kena rasuk dan terus balik ke rumah. Dia kejutkan aku suruh sembahyang subuh, katanya hari sudah siang. Pada hal masa itu baru pukul dua pagi," Andi Kamarool mengulangi kisah yang saya lalui menjelang subuh.
"Kemudian apa terjadi?" Mia kelihatan tidak sabar.
"Aku tenteramkan perasaannya. Kemudian aku ajak dia kerumah batu lama. Masa aku dan Tamar mahu mengelilingi rumah batu lama, kami bertembung dengan Kak Sun. Dia menunggu kamu di pintu belakang" sambung Andi Kamarool.
"Tunggu aku? Kenapa dia tunggu aku?"
"Iya, tunggu kamu selesai hiaskan diri,"
"Hias diri? Mahu kemana?" Mia seperti merungut.
"Nak pergi ke kubur di bawah pokok buluh. Kejadian selanjutnya seperti apa yang Tamar sebutkan tadi. Tak payahlah aku ulangi lagi, nanti kau marah pula Mia," Andi Kamarool berhenti bercakap. Dia menelan air liur.
"Ohhhhh.....,"
Mia seperti terkejut dan tidak mahu meneruskan kata-kata. Saya dan Andi Kamarool berpandangan. Nyanyian beburung pagi, di luar rumah, tidak menarik perhatian kami berdua, Mia menundukkan muka, merenung lantai.
Hampir lima minit berlalu, tiada sepatah perkataan yang terungkap dari mulut kami bertiga (Mia,saya dan Andi Kamarool). Suasana dalam ruang terasa amat sepi sekali.
Kalau ada jarum yang jatuh dapat didengar. Mia masih merenung lantai. Entah apa yang bermain dalam tempurung kepalanya. Entah apa tindakan selanjut yang bakal dilakukan Mia? Apakah kemarahannya akan meletup dengan tiba-tiba. Mungkinkah dia akan menafikan apa yang dialaminya? Semua berkecamuk dalam kepala saya.
" Andi, Tamar ."
Serentak saya dan Andi Kamarool mengarahkan biji mata kewajah Mia. Perasaan saya tersentuh melihat air jernih bertakung di kelopak matanya dan mengalir membasahi cerun-cerun pipi. Kedua belah sayap bahubergegar menahan sedu.
"Kenapa nangis, Mia?" tanya saya.
"Aku tak buat perkara yang kamu sebutkan tadi, Tamar."
"Tapi, aku tengok dengan mata kepala aku sendiri. Kamu melakukan nya Mia."
"Susah nak aku jelaskan, Tamar."
Saya segera merenung muka Andi Kamarool. Dengan memberi isyarat mata, saya minta Andi Kamarool membantu.
"Lupakan semua yang berlaku Mia," Andi Kamarool cubamenenangkan keadaan. Dengan jarijemari kanan, Mia mengesat air mata yang mengalir lembut di pipi.
"Inilah masaalah yang aku hadapi. Beberapa orang pekerja pernah melihat aku berjalan malam, sedangkan aku tidak melakukannya. Ada macam-macam cerita yang menakutkan tentang aku. Padahal aku tak buat perkara macam itu," Mia menangis tersedu.
Bagi mengatasi situasi tersebut, Andi Kamarool memperlihatkan kematangan dan kesabarannya. Dia berjaya menjalankan peranannya dengan baik sekali, penuh sopan dan kelembutan. Tangisan Mia berjaya dileraikan.
"Kak Sun tak pernah cerita apa-apa kepada kamu ?" Tanya Andi Kamarool sesudah Mia berjaya mengawal perasaannya.
"Tak pernah," Mia gelengkan kepala.
"Sedikit pun dia tak pernah cerita?" saya mencelah.
"Dia cuma kata..." Mia tidak meneruskan kata-kata. Saya dan Andi Kamarool tidak mendesak. Kami ambil jalan mudah, kalau Mia meneruskan cerita kami bersyukur. Kalau dia tidak mahu, kami tidak akan memusuhinya.
YOU ARE READING
Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 14 )(COMPLETE)
TerrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...