Bab 186-Ular Hitam Jelmaan Jin

1.5K 28 1
                                    

LORI kecil terus melanda dada jalan dengan lancar sekali. Pemandunya sudah berubah selera. Dia mula berkasidah, suaranya boleh tahan juga membuat saya terpesona. Tetapi, dia tetap berhatihati dan waspada mengendalikan lori yang dipandunya. Laju lorinya diperlahankan bila memasuki selekoh yang tajam atau mendaki bukit.

Adakalanya, lori terpaksa berhenti secara mengejut untuk memberi laluan kepada kumpulan beruk besar menyeberangi jalan. Kumpulan beruk besar itu kelihatan tertib melintas, buat tidak kisah dengan lori kecil yang berhenti.

"Beruk- beruk di sini semuanya jinak, bersopan santun di jalanraya. Mereka melintas dengan baik," kata Abu Zaharin sambil ketawa terkikih.

Lori kecil bergerak kembali, kali ini agak laju. Ketika mahu memasuki satu selekoh yang tajam, pemandu lori kecil menekan berek secara mengejut. Akibatnya, saya dan Andi Kamarool terdorong ke depan. Dahi kami terkandas di cermin. Aduh sakitnya. Tetapi, rasa sakit itu terus hilang dengan serta akibat kemunculan mendadak tiga ekor gajah dari rimbunan pokok sebelah kiri kami. Muka saya dan Andi Kamarool jadi pucat dan terus berdebar. Pemandu lori tetap tenang, membiarkan tiga ekor gajah itu menyeberang jalan dengan aman.

"Perkara macam ini, perkara biasa bagi saya. Binatang dan alam Kerinci masih terperlihara," tutur pemandu lori.

Kali ini perjalanan agak lancar, kami melintasi beberapa kawasan perkampungan kecil. Kami sering saja berselisih dengan motorsikal dan agak jarang berselisih dengan kereta. Kebanyakkan motorsikal yang mereka gunakan adalah buatan dari Eropah yang berbadan besar dan mempunyai kuasa kuda yang agak tinggi (masa itu motorsikal Jepun belum popular lagi) seperti jenis Triumph, BSA. Norton dan sebagainya.

Setelah menuruni kawasan berbukit, saya lihat pemandu lori nampak resah semacam. Tidak tenteram seperti tadi, apa yang dibuatnya serba tidak kena. Dia selalu saja menekan berek dan minyak, akibatnya laju lori tidak seimbang, kami jadi tersengguk- sengguk. "Kenapa?" Tanya Andi Kamarool.

"Entah mengapa, tiba-tiba saja hati saya berdebar cemas. Berpandukan pada pengalaman dulu perkara macam ini membawa pertanda kurang baik. Saya harap tak ada perkara buruk terjadi".

" Insya Allah kita selamat pandu dengan cermat," jawab Andi Kamarool.

"Saya juga harap macam tu" tingkah Abu Zaharin, setering kereta di paut erat dan kejap sekali.

KABUS

DIBAWAH sinaran matahari yang kian mencacak itu, saya renung kiri dan kanan. Lori kecil sedang melalui kawasan hutan tebal. Suasana sekitar terasa sepi, tidak ada kenderaan yang lalu kecuali lori yang kami naik, walaupun cahaya matahari bersinar terang tetapi, kawasan sekitar jalanraya agak gelap dengan kabus yang menebal.

"Harimau." jerit Abu Zaharin.

Dengan serta merta dia menekan berek kecemasan. Saya dan Andi Kamarool jatuh terperosok di celah bangku. Lori kecil dengan empat roda terpaku di dada jalanraya. Saya dan Andi Kamarool segera bangun dan duduk. Dan apa yang kami lihat di jalanraya ialah seekor harimau Sumatera sedang terbaring, berguling di atas batu jalan sesuka hati tanpa mempedulikan lori kecil yang berhenti tidak sampai sepuluh kaki darinya.

"Kita dalam bahaya Abu." kata saya perlahan.

"Bertenang saudara".

Harimau berbadan besar itu berdiri, merenung ke arah kami sambil menguap. Giginya yang tajam jelas kelihatan. Misainya yang panjang dan keras bergerak- gerak. Kemudian harimau itu duduk mencangkung lalu menjilat-jilat kuku ditelapak kakinya. Abu Zaharin turun dari lori.

"Mahu ke mana Abu?" Andi Kamarool bersuara cemas.

"Biar aku suruh dia ke tepi".

"Merbahaya Abu," celah saya.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 14 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now