Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin
Beberapa orang tempatan yang berada di situ mula beredar. Barangkali mereka tidak mahu campur tangan dalam urusan yang tidak menguntungkan itu.
"Huh, penakut."
Terdengar suara protes. Tidak tahu dari mana datangnya. Saya cuba mengesan tetapi, tidak berhasil sama sekali. Hati kecil yakin, suara itu datangnya dari lelaki berwajah keras.
Ada dua alasan yang kuat kenapa saya mengatakan suara itu datangnya dari lelaki yang berwajah keras. Pertama, dia tidak begitu suka seperti menaruh dendam pada simati. Kedua, dia seperti tidak puas hati dengan tindak tanduk si ulama berbadan kecil.
"Hummmmmm....."
Terdengar dengusan.
Kali ini saya berjaya mengesan si pendengus tersebut, Tidak lain, tidak bukan ialah lelaki berwajah keras. Dia tidak berpuas hati kerana tidak menerima penjelasan segera dari si ulama berbadan kecil. Dan protes itu dilahirkan dengan berbagai-bagai cara untuk perhatian orang ramai terutama dari si ulama.
Apa juga yang dilakukan oleh lelaki berwajah keras, tidak dipedulikan oleh si ulama berbadan kecil. Keadaan demikian, membuatkan saya resah semacam, mungkin orang lain juga mengalami seperti apa yang sayaalami.
Lelaki berwajah keras bertambah agresif. Dia bercakap ikut suka hati. Meluahkan sindiran tajam dan pedih secara tidak langsung ditujukan kepada si ulama berbadan kecil. Mulutnya cukup celupar. Apa yang menariknya, si ulama tidak bertindak balas. Tetapi tenang dan bersahaja. Malah saya pula yang panas telinga.
"Saudara."
Semua biji mata tertumpu ke arah Pak Imam yang berdiri dengan wajah berkerut.
"Kenapa?" sanggah lelaki berwajah keras.
Dia dapat merasakan Pak Imam memperkatakan sesuatu terhadapnya. Lalu dia memusingkan tubuhnya menghadap ke arah Pak Imam. Dada dan muka mereka bertentang,
"Dengan izin Allah, tidak ada perkara pelik di muka bumi ini, Allah berhak melakukan apa saja terhadap makhluk ciptaannya, janganlah kita persoalkan kekuasaan Allah," tambah Pak Imam dalam nada suara yang keras dan lantang.
Tindakan Pak Imam itu mengejutkan datuk, Syed Hamid Al-Hadad juga si ulama berbadan kecil. Memang mereka tidak menduga Pak Imam yang banyak diam dari bercakap itu mahu mengambil dan menjalankan peranannya sendiri.
"Tidak baik mengungkit dan memperkatakan tentang orang yang sudah matui, perbuatan itu mencerminkan kerendahan akhlak diri sendiri, lagi pun perbuatan demikian di tegah oleh agama," Pak Imam menyambung kuliah singkatnya di depan para tetamu.
Tersentak dengan penjelasan Pak Imam, lelaki berwajah keras terdiam. Tidak memperlihatkan sebarang reaksi. Malah tunduk terus sehingga majlis ucapan terima kasih itu selesai. Tetapi, saya dan Harun tetap waspada, mungkin orang lain juga demikian. Mana tahu, dalam diam lelaki berwajah keras yang merasakan dirinya diperkecilkan bertindak di luar dugaan.
BERGERAK
Penduduk setempat mula bergerak. Mula bersalaman dengan ahli rombongan dari Masjid Raya, termasuk Syed Hamid Al-Hadad, Pak Imam dan datuk. Saya dan Harun orang terakhir tidak membabitkan diri dalam acara itu, masih sendirian dan duduk mencangkung atas tunggul buruk, macam beruk jantan nanti beruk betina melintas di depan. Saya kira katakata dari Pak Imam meninggalkan kesan yang mendalam pada dirinya.
"Terima kasih."
Dengan pantas ayah Ali Usman menyambar telapak tangan yang dihulurkan oleh Syed Hamid Al-Hadad, Telapak tangan mereka berlaga kulit, jari jemari bercantum erat. Kelopak bibir mengukir senyum dalam pelukan persaudaraan sesama Islam, penuh erat, penuh mesra.
YOU ARE READING
Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 1)(COMPLETE)
УжасыSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...